PKR dakwa Dewan Malaysia di Australia dibeli 58% lebih mahal
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendakwa Kementerian Pendidikan Tinggi membayar 58 peratus lebih mahal daripada harga asal berhubung pembelian sebuah bangunan di Perth, Australia.
Menurutnya, kerajaan membeli bangunan dari syarikat Miltech International Pty Ltd dengan harga AUD10.271 juta (kira-kira RM30 juta) pada 16 Disember 2013.
Rafizi berkata harga bangunan itu lebih mahal berbanding harga asal yang dibeli oleh Miltech International iaitu pada AUD6.5 juta.
Menurut Rafizi, kerajaan persekutuan membeli bangunan daripada Miltech International yang beralamat 268, Newcastle Street, Perth untuk dijadikan Dewan Malaysia bagi tujuan penginapan pelajar negara ini.
“Syarikat ini (Miltech International) membuat keuntungan sehingga 58 peratus dalam tempoh sembilan bulan selepas mereka membeli bangunan ini.
“Saya mempunyai maklumat lengkap siapa yang mendapat untung dan pemilik syarikat yang menjual bangunan ini.
“Oleh itu saya memohon supaya Kementerian Pendidikan memberikan jawapan secepat mungkin bagaimana penyelewengan ini berlaku dan menamakan siapa yang bertanggungjawab dalam perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Selain itu, Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan berkata, walaupun jumlah terlebih bayar hanya RM11 juta, namun penyelewengan yang berlaku menunjukkan amalan rasuah berleluasa dibawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pada tahun lalu, dalam jawapan bertulis kepada Rafizi berhubung soalan pembelian hartanah oleh kerajaan di luar negara, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman memberitahu kementerian luar tidak terlibat dengan pembelian hartanah oleh agensi/kementerian yang lain di luar negara.
Bagaimanapun, kementerian luar negeri telah merujuk perkara itu kepada semua Perwakilan Malaysia dan terdapat satu pembelian bangunan di Perth untuk dijadikan penginapan pelajar Malaysia oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kos keseluruhan termasuk ubahsuai sebanyak AUD10.271 juta.