Majoriti akui Dr M akan dapat sokongan Melayu singkir Najib – tinjauan
Sejak Deklarasi Rakyat ditandatangani pada 4 Mac lalu, pemimpin Umno bermati-matian mempertahankan teori mereka kononnya gabungan pembangkang bersama Dr Mahathir dan serpihan Umno tidak mendapat sokongan rakyat, terutamanya kaum Melayu.
Tinjauan yang dilakukan oleh Suara pakatan daily (SPD) baru-baru ini mendapati sebaliknya. Majoriti rakyat Malaysia pelbagai bangsa menyokong tindakan Dr Mahathir berkenaan.
SPD bertanya soalan: ‘Adakah Tun Dr Mahathir mampu meraih sokongan masyarakat Melayu?’ kepada 10 orang Melayu, 10 orang Cina dan 10 orang India daripada pelbagai latar belakang, termasuk pemandu teksi dan golongan profesional yang bekerja di bank serta firma guaman.
Kesemuan responden Cina dan India yakin Dr Mahathir akan berjaya mendapat sokongan Melayu dalam gerakannya.
Mereka merumuskan kejayaan awal Dr Mahathir mengenepikan fahaman politik untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang merupakan satu pencapaian yang patut dikagumi.
Bagaimanapun, di antara 10 orang Melayu yang diwawancara, hanya 7 orang berasa yakin, sementara 3 lagi berpendapat orang Melayu tidak selesa melihat Dr Mahathir bekerjasama dengan DAP.
7 Melayu yang berasa yakin itu berhujah “minda Melayu bukan seperti dulu. Melayu sudah bijak dan celik berpolitik. Oleh itu, kerjasama dengan DAP bukan satu isu”.
“Saya sering pergi ke Pejabat Tanah di Kuala Lumpur dan selepas menyelesaikan kerja pemfailan, saya akan bersembang dengan rakan-rakan saya dari firma guaman yang lain.
“Mereka semua berpendapat bahawa Dr Mahathir patut diberi sokongan kerana beliau telah 22 tahun berjasa kepada negara dan sudah pastinya beliau amat arif mengenai hal-hal yang bersangkut-paut dengan pengurusan dan pentadbiran negara,” kata seorang kerani firma guaman, Azizul yang berusia 50 tahun.
Beliau memberitahu bahawa sekarang ramai Melayu di kawasan bandar berpendapat langkah Dr Mahathir bekerjasama dengan semua pihak adalah 100% betul, baik dan patut disokong.