SHAHBUDIN HUSIN
Tengahari tadi Zaid Ibrahim telah mengadakan sidang akhbar mengumumkan secara terperinci program Kongres Rakyat yang akan diadakan pada 27 Mac depan.
Turut hadir dalam sidang akhbar di kediaman Zaid itu ialah Mahfuz Omar, Teresa Kok, Ambiga Sreenevasan, Tamrin Ghafar, Khairuddin Abu Hassan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Dr Marzuki.
Secara rasmi, Kongres Rakyat yang bertema "Selamatkan Malaysia" adalah program tertutup dan bukannya perhimpunan terbuka sebagaimana andaian sesetengah pihak, akan diadakan di SACC atau Shah Alam Convention Centre bermula jam 12.30 tengahari hingga 6.30 petang.
Ucaptama akan disampaikan oleh Tun Mahathir Mohamad, manakala antara pembahas ialah Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir, semua pemimpin utama parti-parti dalam Pakatan Harapan serta pemimpin masyarakat sivil yang kini sudah berganding bahu untuk menyelamatkan negara ini.
Zaid juga mengumumkan bahawa selepas Kongres Rakyat di Shah Alam itu nanti, pihaknya akan turun ke negeri-negeri dan kawasan Parlimen di seluruh negara untuk menerangkan matlamat program "Selamatkan Malaysia" sambil berusaha mendapatkan sebanyak mungkin tandatangan terhadap Deklarasi Rakyat yang sudah diumumkan sebelum ini.
"Kesemua program di peringkat negeri telah mendapat persetujuan untuk kehadiran Tun Mahathir dan tarikh-tarikhnya akan diumumkan kemudian oleh pihak sekretariat," jelas Zaid lagi.
Untuk tujuan melibatkan komitmen rakyat dalam program "Selamatkan Malaysia" ini, Zaid juga mengumumkan sebuah tabung telah dibuka untuk setiap warganegara yang prihatin menyumbang sebanyak RM10 bagi tujuan murni itu.
"Selain kita mahu program ini dekat dan melibatkan komitmen rakyat, kita juga tidak ada Jho Low atau Putera Raja Arab yang sedia memberi derma dalam amaun yang besar kepada kita," kata Zaid berseloroh.
Menurut beliau, derma yang diperolehi nanti akan digunakan untuk program-program yang bakal dijalankan, namun yang penting ialah untuk melihat komitmen rakyat terhadap semangat perubahan dan pembaharuan dalam negara ini.
"Katalah kita dapat mengumpulkan komitmen sejuta orang yang sedia menyumbang RM10 setiap seorang dan dengan jumlah RM10 juta yang dapat dikumpul itu sudah memberi erti yang sangat besar dari segi keinginan rakyat terhadap perubahan dan pembaharuan yang kita sama-sama perjuangkan," tegasnya dengan penuh semangat.
Selain tabung-tabung akan digerakkan semasa Kongres Rakyat di SACC dan di semua program anjurannya nanti, Zaid juga memberitahu, beliau bersama Syed Azman dan seorang akauntan telah membuka akaun atas nama GREAT COUNTRY VENTURE di CIMB BANK dengan nombor akaun 8007-9444-02 untuk kemudahan orangramai menyalurkan derma mereka.
Ahh...bukan banyak mana pun, cuma RM10 saja. (SH 17/03/2016).