DARIPADA BALING GELAS TAK PECAH, SEMUA KINI TERLIHAT KELAM-KABUTNYA



Betapa UMNO dan pimpinannya sedang kelam kabut dek tamparan Deklarasi Rakyat kini sedang menjadi tontotan di mana-mana dan ia bukan lagi sesuatu yang boleh disembunyikan.

Daripada pelbagai cubaan mahu mengalihkan perhatian dengan menakut-nakutkannya seolah-olah agenda DAP dan Lim Kit Siang sedang menuju kemenangan dan deklarasi itu bagi memenuhi kehendak peribadi Tun Mahathir Mohamad semata-mata,  dalam masa yang sama Ketua, Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian terpaksa tampil sekali lagi menyatakan sokongan terbuka kepada Najib Razak.

Beberapa bulan dulu mereka sudah bersolidariti menyatakan ikrar sokongan kepada Najib, kini sekali lagi ditampilkan ulang tayang wayang yang sama semata-mata untuk mendamaikan jiwa Perdana Menteri yang gundah gulana. 

Tidakkah ini sesuatu yang kelakar? Berapa kali mahu berikrar dan bersolidariti dalam setahun?

Jika sebelumnya apabila Tun Mahathir keluar UMNO, beliau dikatakan hanya mengulangi taktik lama sambil memperlekehkannya sebagai negawaran tua yang sudah berusia 91 tahun dan dikatakan "baling gelas pun tak pecah", ternampaknya sekarang "pukulan pertama" bekas Perdana Menteri itu tetap kuat bisanya.

Itu baru langkah pertama yang diambilnya, belum lagi beberapa kejutan lain yang dipercayai akan terus dilakukan  oleh Tun Mahathir dalam usahanya memastikan Najib dapat diturunkan daripada tampuk kuasa Perdana Menteri.

Sesungguhnya, kejayaan menghasilkan Deklarasi Rakyat yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir adalah suatu sejarah bagi negara. Ia buat pertama kali telah berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh ternama daripada UMNO dan pembangkang untuk bersetuju dalam satu perkara demi kepentingan negara.

Jika diikut logik, adalah lebih baik parti-parti pembangkang tidak menyertai deklarasi itu kerana dengan imej Najib yang semakin buruk dan ditambah dengan  pelbagai isu yang sedang membelitnya, membiarkan saja Tun Mahathir melakukan asakan secara berasingan adalah suatu kelebihan kepada mereka untuk memenangi pilihanraya akan datang.

Tetapi, kenapakah pemimpin-pemimpin pembangkang setuju untuk bekerjasama?

Tidakkah apabila Najib berjaya disingkirkan, UMNO lebih berpeluang membaiki imejnya dan seterusnya harapan untuk memenangi pilihanraya juga kembali cerah?

Setelah Najib berjaya disingkirkan dan UMNO dipulihkan, di mana parti-parti pembangkang ketika itu nanti?

Dalam hal ini, terbukti bahawa parti-parti pembangkang tidak mementingkan diri sendiri. Sudah tentu kerjasama itu didorong oleh keinginan  untuk sama-sama memainkan peranan dalam menyelamatkan negara ini.

Dua tahun sebelum pilihanraya, jika Najib terus dibiarkan mentadbir negara, kita pun tidak tahu berapa banyak lagi kerosakan yang diakibatkan olehnya. 

Kita juga tidak tahu berapa banyak lagi hutang negara dan cengkaman atas nama undang-undang dan akta yang akan digubal untuk menyelamatkan kuasanya.

Lebih dibimbangi, jika semua kerosakan itu, kalau pun pembangkang berjaya memenangi pilihanraya, ia sudah terlalu sukar untuk dipulihkan semula.

Di sinilah letaknya  jiwa besar parti-parti pembangkang yang sedia menyambut huluran tangan Tun Mahathir bagi sama-sama menandatangani dan menggerakkan Deklarasi Rakyat itu.

Yang penting, setelah Najib berjaya diturunkan, sama ada selepasnya BN terus berkuasa atau kerajaan peralihan yang mengambilalihnya, pemulihan dan reformasi institusi haruslah dilakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat semua.

Di pihak Tun Mahathir, kerjasama ini juga bukanlah kerja gila sebagaimana yang didakwa oleh seorang Tengku campuran Acheh dan Melaka, tetapi suatu gerak kerja luar biasa yang melampaui pemikiran parti dan anutan hari-hari kebanyakan rakyat negara ini.

Segala-galanya kerana keinginan yang sama untuk menyelamatkan negara dan tidak mahu melihat Malaysia menjadi lebih buruk keadaannya.

Jika Tun Mahathir seorang atau bersama pemimpin-pemimpin pembangkang masih tidak cukup kuat melakukannya, kita sebagai rakyat yang tentunya sama-sama sayangkan negara inilah yang boleh memastikan "gelas benar-benar dapat dipecahkan"  akhirnya. (SH 14/03/2016).