Dana RM42 juta SRC : Mana betul, Najib atau Peguam Negara?
Seorang ahli Parlimen PKR hari ini menggesa peguam negara menjelaskan jejak aliran wang di antara SRC International dan Datuk Seri Najib Razak, memandangkan kini firma itu menafikan mengetahui mengenai dana yang dipindahkan ke dalam akaun perdana menteri.
Wakil rakyat Kelana Jaya Wong Chen berkata, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang medianya 26 Januari lalu mengesahkan dana daripada syarikat milik Kementerian Kewangan itu didepositkan ke dalam akaun Najib.
Tetapi Najib, yang juga menteri kewangan, hari ini berkata SRC International tidak tahu apa-apa mengenai dana yang dipindahkan ke dalam akaun beliau itu.
“Kalau hendak dikatakan, jawapan daripada menteri kewangan itu mengejutkan kerana ia merupakan penafian keseluruhan mengenai adanya pemindahan RM42 juta yang didakwa dibuat ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.
“Penafian keseluruhan itu juga bertentangan dengan kenyataan akhbar rasmi peguam negara berkenaan isu SRC, di mana beliau mengakui pemindahan SRC wujud tetapi perdana menteri tidak akan didakwa,” kata Wong Chen kepada pemberita di Parlimen hari ini.