Blok Kuasa Ketiga Pas hanya pecah belahkan pembangkang – Khalid Samad
‘Blok Kuasa Ketiga’ yang ditaja Pas membentuk gabungan pembangkang baharu disifatkan pemerhati politik sebagai percubaan untuk memecahbelahkan kerjasama antara parti-parti pembangkang di tanah air.
Ketua Biro Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Samad berkata, gerakan seperti itu tidak akan mendapat sokongan rakyat, sebaliknya hanya akan memecahkan undi dan menjamin BN terus berkuasa untuk selama-lamanya di Malaysia.
“Adalah lebih baik PAS menyertai BN kerana langkah mereka untuk membentuk satu gabungan pembangkang baru dengan penyertaan parti politik dan badan bukan-kerajaan (NGO – non-government organisation) adalah satu langkah yang memang nampak jelas akan memecahbelahkan pihak pembangkang,” kata Khalid Samad.
Khalid juga berpendapat, sehingga hari ini semua langkah politik yang diambil oleh Pas adalah langkah yang mengugat Pakatan Harapan tetapi menguntungkan pihak musuh.
“PAS sekarang kelihatan sudah tidak tentu arah. Adakah PAS hendak menyebelahi pihak pembangkang atau menyebelahi BN?” tanya Khalid lagi.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas penyokong Pakatan Harapan (PH) menemukan soalan: “Apakah agenda PAS?”. Penyokong PH merasakan kewujudan blok pembangkang yang baru adalah taktik atau muslihat pihak musuh untuk melemahkan pihak pembangkang terutamanya di kerusi-kerusi majoriti Melayu.
“Adakah strategi PAS sebenarnya untuk memecahbelahkan pembangkang supaya yang untung ialah pihak musuh?” tanya seorang penganalisis politik dari kalangan masyarakat Cina.
Hal itu bersesuaian dengan tinjauan komen mengenai pembentukan gabungan baru oleh Pas dari sebuah laman berita online yang mendapati ramai Melayu tidak mempercayai PAS lagi kerana mereka berpendapat “pendirian PAS tidak teguh, PAS tiada hala tuju dan PAS sudah jelas berpihak kepada pihak musuh”.