Blok ketiga: ‘Pas akhirnya akui ijtihad Mat Sabu’
Pemuda AMANAH Selangor menyifatkan kepimpinan PAS secara tidak langsung memperakui kewibawaan dan ijtihad Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang menganjurkan teori pakatan politik.
Sehubungan itu, pergerakan itu mengucapkan tahniah kepada PAS ekoran pengumuman rasmi kerjasama politik dengan parti Ikatan yang lebih dikenali sebagai ‘blok ketiga’.
“Sebagai parti politik, Pemuda AMANAH Selangor mengalu-alukan pembentukan blok ketiga itu di atas menjunjung semangat demokrasi dan menunjukkan bahawa demokrasi akan terus mekar di Malaysia,” kata pengarah pilihan rayanya, Mohamed Azlan Ahmad Zambry.
“Pemuda AMANAH Selangor juga menyifatkan bahawa kepimpinan PAS, secara tidak langsung memperakui kewibawaan dan ijtihad Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, yang menganjurkan teori pakatan politik yang berkeupayaan mengambil alih pemerintahan di Putrajaya,” tegasnya.
Justeru itu, katanya, pergerakan itu tidak berasa gentar dan gerun dengan pengumuman terbaru itu, kerana keyakinan rakyat terhadap AMANAH semakin meningkat setiap hari.
Pergerakan itu, katanya, menyeru semua pihak agar mengamalkan politik matang, sederhana dan berakhlak “agar generasi akan datang dapat di bentuk sejajar dengan konsep Islam Rahmat Untuk Semua”.
“Pemuda AMANAH Selangor mengucapkan selamat datang kepada parti Ikatan ke dalam landskap politik Malaysia,” katanya.