Warga asing semakin mendominasi Kuala Lumpur, DBKL berdiam diri?
Warga asing semakin mengambil alih landskap Kuala Lumpur. Di sesetengah tempat warga asing boleh dikatakan mendominasi aktiviti penduduk dengan menguasai perniagaan, penempatan dan pengangkutan awam.
Tinjauan sebuah portal pada petang 13 Februari lalu di sekitar Jalan Masjid India mendapati kelibat warga asing yang menjinjing beg plastik Mydin berada di mana-mana, dan jauh lebih ramai berbanding rakyat tempatan di kawasan tumpuan orang ramai membeli-belah itu.
Menjejaki dua flat lama yang diberi nama Malayan Mansion dan Selangor Mansion di kawasan itu, difahamkan kedua-dua penempatan itu telah dihuni warganegara asing sejak lebih 10 tahun lalu.
Mengikut Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang dikeluarkan oleh DBKL, kedua-dua flat itu dianggap “tidak lagi ekonomik dari segi kegunaan tanah dan seterusnya menjejaskan imej Bandar Raya.”
Menggunakan panggilan “perumahan usang”, rumah pangsa masing-masing lapan dan tujuh tingkat itu dilihat tidak ‘diusik’ oleh pihak DBKL walaupun Flat PKNS Empat Tingkat Kampung Kerinchi yang dihuni lebih 430 keluarga tidak jauh dari Angkasapuri telah dirobohkan pada 2012 selepas mengusir secara paksa baki 34 keluarga.
Di flat Malayan Mansion, tinjauan mendapati pelbagai jenis perniagaan giat berjalan termasuk agensi pelancongan, syarikat pengedaran video, stor barangan am serta kedai gunting rambut sehingga ke tingkat dua bangunan itu.
Selain itu, perniagaan berasaskan tekstil, perkhidmatan wang berlesen, pemborong pakaian pengantin serta pemborong peruncit keperluan barangan juga terdapat di sini. Situasi hampir sama wujud di flat Selangor Mansion yang terletak di belakang Balai Polis Masjid India.
Menyusuri tangga flat terbabit dapat dilihat kebersihan berada di tahap tidak memuaskan dengan bungkusan sampah terbiar di merata-rata tempat selain kesan kunyahan daun sirih bersama pinang diludah di sudut tangga.
Sekali lagi, tinjauan selama sejam bermula pukul 4.30 petang itu menyaksikan tidak ada mana-mana anggota penguatkuasa berkeliaran apa lagi serbuan ketika beberapa warga Bangladesh dilihat memandu kereta menghantar bungkusan barangan dekat deretan bangunan Wisma Yakin.
Di sepanjang bazaar di jalan itu juga, pengunjung tempatan kelihatan ‘tenggelam’ dalam lautan warga asing yang dikatakan sebagai tenaga kerja di negara ini bersiar-siar tidak jauh dari masjid yang dikatakan dibina pada 1863 itu.
Tidak cukup itu, warga asing juga tidak ragu-ragu mendekati rakyat tempatan untuk meminta sedekah. Seorang gadis belasan tahun yang mendakwa dirinya, orang Rohingya mendekati Malaysia Dateline sambil menawarkan buku kecil surah Yaasin. Ujarnya, dia yang menetap di Ampang sudah tiga tahun berada di negara ini.
Berdasarkan tiga hari tinjauan Malaysia Dateline ini, dapat dirumuskan tiadanya pemantauan dan kawalan daripada pihak berwajib mengakibatkan warga asing di negara ini terutama di ibu kota bukan lagi suatu fenomena asing.
Sehubungan itu, tindakan kerajaan memeterai perjanjian dengan Bangladesh untuk membawa masuk lagi 1.5 juta rakyat negara itu yang jauh melebihi penduduk negeri Melaka dan Perlis dibimbangi memburukkan lagi keadaan serta menjejaskan hak rakyat tempatan untuk bekerja dan mendapatkan tempat tinggal selesa.