Kemungkinan
Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin digantung daripada jawatannya
dalam mesyuarat MT petang ini semakin sukar dielakkan.
Selain
Nazri Aziz yang berdegar-degar mahu membawa usul penggantungan itu,
beberapa pemimpin yang lain juga nampaknya tidak keberatan untuk memberi
sokongan kepada cadangan itu.
Untungkah Najib Razak jika Muhyiddin digantung dan tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan UMNO?
Selain
isu berkaitan 1MDB, derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta yang masih
belum selesai, tidak dinafikan penggantungan Muhyiddin mungkin
menyebabkan Najib lebih diserang, dikecam dan dibenci rakyat.
Dari
segi UMNO, kalau pun tidak berpecah dua, penggantungan pemimpin nombor
dua itu sedikit sebanyak akan menjadikan parti tambah bergolak dan
menyukarkan lagi penyatuan bagi menghadapi pilihanraya akan datang.
Dalam
keadaan itu, Najib tentu akan terus cemas dan terumbang-ambing untuk
memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang berpihak
kepadanya.
Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal
tanpa ragu-ragu melihat tindakan menggantung Muhyiddin hanya untuk
kepentingan pemimpin tertentu sahaja.
Dalam hal
ini, seperti Shafie dapat merasakan penggantungan Muhyiddin bukan
semata-mata untuk menyelamatkan Najib, meskipun luarannya seolah-olah
begitu.
Untuk kepentingan siapakah penggantungan Muhyiddin itu jika bukan untuk mengukuhkan Najib?
Lihat...belum pun sah Muhyiddin digantung, siapa yang bakal untung sudah pun mula ditunjukkan secara terang-terangan.
Untung
kepada Najib tidak pernah diperkatakan, tetapi rezeki kepada Zahid
Hamidi awal-awal lagi sudah mula dikompangkan ke seluruh kampung.
Bagaimana
jika dengan penggantungan Muhyiddin, kedudukan Najib terus lemah,
goyang dan semakin sukar untuk menggapai kemenangan, tidak mustahilkah
gerombolan yang sama yang menolak Muhyiddin ini akan melakukannya kepada
Najib pula? (SH 26/02/2016).
Shahnudin Hussein