Himpunan 365 #BebasAnwar : Pas tak beri sokongan
Himpunan 365 #BebasAnwar #BebasRakyat sempena genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara di Sungai Buloh malam tadi menyaksikan tiada seorang pun pemimpin PAS hadir memberikan sokongan.
Sebaliknya, sekurang-kurangnya 15 pemimpin politik pembangkang daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menyampaikan ucapan secara bertali arus di atas pentas sementara di depan pintu masuk penjara itu.
Jurucakap penganjur daripada kumpulan yang menggelar diri mereka “Pro98 Reformis Malaysia”, Dr Badrulamin Bahron berkata, mereka menjemput PAS bermesyuarat untuk penganjuran acara malam ini sejak 2 bulan lalu tetapi tidak diendahkan.
“Saya rasa terkilan kerana sepanjang perjalanan program daripada mesyuarat ke mesyuarat walaupun kami jemput tapi pimpinan PAS di semua peringkat tidak ada yang hadir dan kemuncaknya tidak ada seorang pun pada malam ini.
“Sedangkan, program malam ini acara rakyat untuk membebaskan ikon perjuangan rakyat bagi meneruskan agenda reformasi,” kata pengerusi tetap PKR Sabak Bernam itu ketika ditemui selepas acara tamat pada 12 malam.