‘Ekonomi tertekan, warga KL sinis hadapi kerajaan BN’
Kerajaan BN disifatkan sambil lewa dalam mengurus ekonomi dan menyembunyikan masalah sebenar daripada pengetahuan rakyat.
Tinjauan wartawan Suara pakatan daily ke atas beberapa individu berlainan kerjaya mendapati rakyat semakin sinis terhadap sebarang penyelesaian isu yang cuba dilakukan kerajaan.
“Sampai bila kerajaan akan bersikap sambil lewa dalam menangani masalah ekonomi?” tanya beberapa orang pemandu teksi di kawasan persekitaran Pasar Seni, di Kuala Lumpur.
Seorang daripada mereka, pemuda berusia 28 tahun yang bernama Zulkifli berpendapat bahawa situasi ekonomi sudah berada di luar kawalan kerajaan.
“Kerajaan ketandusan idea bagaimana hendak mengatasi masalah ekonomi. Sehingga kini banyak kenyataan kosong untuk menyedapkan hati rakyat. Isu pokoknya kerajaan telah gagal membantu rakyat!” kecam beliau.
Semua 5 orang pemandu teksi yang diwawancara juga menyatakan kekecewaan mereka dengan kerajaan sejak pilihan raya umum yang lalu kerana sejak keputusan diumumkan hingga sekarang, hidup rakyat biasa semakin susah.
“Makin lama kehidupan kami semakin terhimpit. Tiada apa yang boleh diperbaiki kerajaan,” kata Wong dan Muthu, dua orang pemandu teksi dalam lingkungan usia 40-an.
Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering di Perak, Ir Nizar Jamaluddin dari parti Amanah pula berpendapat kerajaan perlu mengaku bahawa ekonomi negara sedang mengalami kegawatan tetapi sehingga kini kerajaan seolah-olah masih cuba menangkis fakta ini.