on:
AMANAH ‘PURE’ PEMBANGKANG TAPI PAS PRO BN – DAP
Amanah ‘pure’ pembangkang tapi Pas pro BN – DAP
Menafikan dakwaan PAS yang Mohamad Sabu ialah jurucakap DAP, setiausaha agung parti pembangkang itu Lim Guan Eng berkata, parti Islam itu yang lebih berkemungkinan menjadi jurucakap kerajaan Barisan Nasional (BN) memandangkan bekas timbalan presidennya kini mengetuai Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Putrajaya.
Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tidak dibayar kerajaan negeri selepas beliau melepaskan semua jawatan di negeri itu walaupun sebelum itu membantu kerajaan negeri dalam beberapa isu seperti industri halal.
“Tidak seperti Nasharudin Mat Isa, bekas timbalan presiden PAS yang dilantik perdana menteri sebagai ketua pegawai eksekutif GMM.
“Saya fikir PAS lebih berkemungkinan jadi jurucakap Umno, MCA, MIC, Gerakan kerana Nasharudin dilantik kerajaan BN,” kata Lim selepas merasmikan konvensyen negeri Wilayah Persekutuan di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.
“GMM adalah di bawah kerajaan pusat,” katanya.
Semalam, pengarah pilihan raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan Mat Sabu, presiden Parti Amanah Negara (Amanah), yang mengaitkan PAS dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) mengesahkan yang beliau ialah jurucakap DAP.
Lim berkata, tidak benar Amanah ialah jurucakap bagi DAP, seperti yang didakwa PAS.
“Ini tidak benar. Saya setiausaha agung DAP, saya tidak boleh menjadi jurucakap Amanah. Mat Sabu bukan setiausaha agung DAP, dia tidak boleh menjadi jurucakap DAP. Dia hanya boleh menjadi jurucakap Amanah.
“Semasa beliau (Mat Sabu) dalam PAS, beliau mendapat elaun. Tetapi apabila beliau meninggalkan PAS, meletak jawatan dan membantu secara sukarela, beliau tidak mendapat apa-apa dari negeri ini. Sebaliknya, Nasharudin dibayar kerajaan BN.
“Saya tidak membuat sebarang serangan,” kata Lim, sambil menambah, dengan pelantikan Nasharudin, sekarang MCA, MIC dan Gerakan bersekongkol dengan PAS dan begitu juga sebaliknya.
Mat Sabu, bekas timbalan presiden PAS, pada Jun lalu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang, susulan keputusan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP.
Beliau sebelum ini menganggotai lembaga pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan memegang jawatan sebagai pengarah Penang International Halal Hub.
Mustafa juga berkata semalam, ia juga strategi DAP untuk terus memburukkan PAS.
Menjawab perkara itu, Lim berkata, DAP hanya akan mengkritik mereka yang mesra dengan BN kerana PAS kini seolah-olah menjadi lebih mesra dengan parti pemerintah itu.
“Daripada pemerhatian kami, mereka (PAS) mengkritik parti pembangkang lebih daripada (mereka mengkritik) BN,” katanya.
PELANGGAN BANK KELUARKAN SIMPANAN TETAP, PINJAMAN DIPERKETAT
Pelanggan bank keluarkan simpanan tetap, pinjaman diperketat
Situasi ekonomi yang tidak menentu menyebabkan pelanggan bank mula mengeluarkan simpanan deposit tetap dan industri perbankan pula mengetatkan kelulusan pinjaman baharu.
Seorang kakitangan bank (tidak mahu nama disiarkan) yang bekerja di Kuala Lumpur memberitahu Suara pakatan daily sejak November lalu segelintir pelanggan bank telah mengeluarkan simpanan tetap mereka sebelum tarikh matang.
Katanya, pendeposit memberitahu mereka sudah kehilangan mata pencarian dan memerlukan wang segera untuk membeli keperluan hidup.
Selain itu, menurut beliau, beberapa buah bank terkemuka juga telah mengurangkan pekerja kerana industri perbankan meramalkan jumlah NPLs (pinjaman bank tidak berbayar) akan meningkat pada tahun 2016.
“Apabila lebih ramai orang gagal membayar balik pinjaman maka bank pun kekurangan wang untuk meminjamkan kepada pembeli rumah atau kereta.
“Justeru itu, keuntungan yang diperolehi akan kurang dan seterusnya bank tidak mahu ramai pekerja. Sekarang untuk memperolehi pinjaman dari bank pun bukan mudah disebabkan oleh kegawatan ekonomi,” kata pekerja bank dalam lingkungan umur 30an itu.
Beliau menambah, diramalkan jumlah peminjam yang akan gagal membayar balik pinjaman perumahan dijangka meningkat tahun hadapan berikutan ekonomi merosot selepas bulan Februari.
“Bank-bank menangani masalah itu dengan mengurangkan jumlah pekerja dan mengetatkan syarat serta terma untuk pelanggan yang ingin memperolehi pinjaman,” ujar pekerja bank itu lagi.
JANGAN TUDUH PEMIMPIN AMANAH SYIAH, HADI JUGA JUMPA ULAMA SYIAH
Jangan tuduh pemimpin Amanah syiah, Hadi juga jumpa ulama syiah
Tindakan sesetengah pihak melabelkan beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai Syiah hanya kerana mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari golongan itu, harus ditolak, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Ini kerana, katanya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merupakan orang yang paling banyak bertemu ulama Syiah, memandangkan beliau menganggotai Jawatankuasa Takrib Bainal Mazahib (Merapatkan Hubungan Antara Mazhab) yang diasaskan Iran.
Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, di kalangan tokoh PAS, Hadi paling kerap bertemu ulama Syiah terutama ulama besar Iran, Ayatollah Mohammad Ali Taskhiri.
“Hadi mempunyai hubungan yang baik dengan Tashkiri, bahkan Ali Khamenei (Sayyed Ali Hosseini Khamenei, pemimpin utama Iran),” kata bekas timbalan presiden PAS itu kepada The Malaysian Insider.
“Mereka sering bertemu di majlis terbuka dan juga majlis tertutup. Tiada pula orang tuduh Hadi sebagai Syiah,” kata Mat Sabu.
Beliau menjawab kenyataan yang melabelkan penasihat utama Amanah, Ahmad Awang dan timbalannya Abdul Ghani Shamsudin, sebagai Syiah, kerana dikatakan sering bertemu ulama daripada kumpulan itu.
Tuduhan itu dibuat sesetengah pihak berdasarkan gambar kedua-duanya bersama ulama Syiah baru-baru ini.
Mat Sabu berkata, Hadi sekurang-kurangnya akan bertemu dengan pemimpin Syiah Iran setahun sekali untuk bermesyuarat.
“Ketika dalam PAS, saya pernah bersama (Hadi). Bahkan Nasrudin Hassan (ketua penerangan PAS) juga kadang-kadang mengiringi presiden PAS itu ke sana.
“Selain wakil PAS, ulama dari Ikhwanul Muslimin juga ada,” kata Mat Sabu.
Selain Takrib, Hadi juga bertemu ulama Syiah dalam Jawatankuasa Palestin yang juga dianjurkan Iran dan mengadakan persidangannya di Tehran.
Menurut Mat Sabu, beliau sudah lali dengan pelbagai tuduhan, termasuk sebagai Syiah dan juga bapa komunis, ekoran pertemuan beliau dengan pemimpin mereka.
“Ada yang tuduh saya bapa komunis hanya kerana saya jumpa Rashid Maidin dan membela Mat Indera. Ini tak betul,” katanya merujuk bekas pemimpin komunis.
“Kita boleh kritik presiden PAS kerana kenyataan dia, pendapat dia dan seumpamanya, bukan kerana dia bertemu dengan siapa, dan terus menghukumnya,” kata Mat Sabu
IDEA DUA GABUNGAN PEMBANGKANG IBARAT KEMBALI KE SEKOLAH RENDAH’
PKR HARUS TENTUKAN GABUNGAN BERSAMA DAP DAN AMANAH. PAS TELAH BANYAK KALI MEMUNGKIRI JANJI SATU LAWAN SATU.
‘Idea dua gabungan pembangkang ibarat kembali ke sekolah rendah’
Posted By: Pentadbir
Parti Amanah Negara (Amanah) menolak idea 2 gabungan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata pengarah komunikasinya, Khalid Samad.
Katanya, idea itu yang pernah digunakan pada tahun 90-an dahulu tidak perlu lagi digunakan pada masa kini.
“Buat apa lagi kita hendak ada 2 gabungan pembangkang kalau kita sudah ada Pakatan Harapan?
“Ia ibarat kita sudah ada ijazah universiti tetapi kita kembali ke sekolah untuk belajar lagi,” kata Khalid pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang, yang dilaporkan The Malay Mail Online mencadangkan 2 gabungan pembangkang seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat (GR) pada tahun 1990.
“Satu-satunya cara adalah dengan PAS berada bersama kami (Pakatan Harapan) atau kita adakan perjanjian pilihan raya dengan PAS,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu.
Pada Oktober, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mencadangkan perkara sama di Selangor, ketika menegaskan pendirian parti Islam itu meneruskan kerjasama dengan PKR dalam mentadbir negeri itu.
Katanya, walaupun PAS tidak bersama Pakatan Harapan, kerajaan negeri itu boleh ditadbir 2 gabungan pembangkang serentak, mengambil contoh ketika kewujudan parti Semangat 46 di Kelantan pada 1990.
“Dalam Semangat 46, kita ketika itu ada 2 pakatan. Ada pakatan antara Semangat 46 dan PAS daripada Angkatan Perpaduan Ummah untuk mentadbir Kelantan,” katanya.
Bagaimanapun, cadangan itu dilaporkan ditolak Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, yang meminta PAS melupakan nostalgia parti itu masih wujud dalam Pakatan Rakyat (PR)