Pelanggan bank keluarkan simpanan tetap, pinjaman diperketat
Situasi ekonomi yang tidak menentu menyebabkan pelanggan bank mula mengeluarkan simpanan deposit tetap dan industri perbankan pula mengetatkan kelulusan pinjaman baharu.
Seorang kakitangan bank (tidak mahu nama disiarkan) yang bekerja di Kuala Lumpur memberitahu Suara pakatan daily sejak November lalu segelintir pelanggan bank telah mengeluarkan simpanan tetap mereka sebelum tarikh matang.
Katanya, pendeposit memberitahu mereka sudah kehilangan mata pencarian dan memerlukan wang segera untuk membeli keperluan hidup.
Selain itu, menurut beliau, beberapa buah bank terkemuka juga telah mengurangkan pekerja kerana industri perbankan meramalkan jumlah NPLs (pinjaman bank tidak berbayar) akan meningkat pada tahun 2016.
“Apabila lebih ramai orang gagal membayar balik pinjaman maka bank pun kekurangan wang untuk meminjamkan kepada pembeli rumah atau kereta.
“Justeru itu, keuntungan yang diperolehi akan kurang dan seterusnya bank tidak mahu ramai pekerja. Sekarang untuk memperolehi pinjaman dari bank pun bukan mudah disebabkan oleh kegawatan ekonomi,” kata pekerja bank dalam lingkungan umur 30an itu.
Beliau menambah, diramalkan jumlah peminjam yang akan gagal membayar balik pinjaman perumahan dijangka meningkat tahun hadapan berikutan ekonomi merosot selepas bulan Februari.
“Bank-bank menangani masalah itu dengan mengurangkan jumlah pekerja dan mengetatkan syarat serta terma untuk pelanggan yang ingin memperolehi pinjaman,” ujar pekerja bank itu lagi.