Penyelesaian
terbaik kemelut politik negara ketika ini tidak lain ialah melakukan
undi tidak percaya di Parlimen bagi menyingkirkan Najib Razak sebagai
Perdana Menteri. Hakikatnya Najib tidak mungkin disingkirkan melalui
UMNO dalam acuan yang dibentuknya sekarang, bahkan belum tentu juga
beliau mampu diketepikan dalam pilihanraya.
Semua
pihak tidak boleh bertahan lebih lama lagi berketuakan Najib memimpin
negara ini kerana trend yang ditunjukkan dalam mempertahankan kuasanya
kebelakangan ini memperlihatkan hampir tiada jaminan kepada sesiapa yang
dilihat memberi ancaman kepadanya.
Jika
Putrajaya boleh membuang Peguam Negara, melengahkan siasatan
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, membubarkan pasukan petugas
khas dan melakukan gangguan terhadap tugas SPRM, maka dengan kuasa yang
ada, kemenangan pembangkang dalam pilihanraya juga tidak mustahil boleh
ditahan daripada menjadi kenyataan.
Biar
pun pembangkang boleh terus berharap untuk memenangi pilihanraya akan
datang andainya Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri, ia boleh
bertukar menjadi sekadar mimpi ngeri kepada mereka kerana kuasa yang
terlalu berpusat memberi kelebihan kepada si pemegang takhta.
Untuk
jangka singkat ini, pakatan pembangkang yang mempunyai 88 kerusi
Parlimen seharusnya tidak mengambil masa terlalu lama untuk
mempertimbangkan idea yang dilontarkan secara terbuka oleh Tun Mahathir
Mohamad semalam yang mahukan mereka segera mengusulkan undi tidak
percaya terhadap Najib di Parlimen tetapi terus mengekalkan kuasa BN
sebagai kerajaan.
Ini
bermakna melalui usul yang hanya memerlukan sokongan 24 Ahli Parlimen
BN saja lagi, tetapi BN tetap dikekalkan sebagai kerajaan dan Perdana
Menteri baru menggantikan Najib juga daripada BN, menggamit sokongan
Ahli-Ahli Parlimen lain untuk menyokong usul tersebut yang semata-mata
untuk menukar Perdana Menteri nyata lebih mudah berbanding jika melalui
usul yang sama menyebabkan BN tersungkur kuasanya.
Setelah
pemecatan Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan beberapa menteri lain
baru-baru ini, usaha mendapatkan sokongan 24 Ahli Parlimen ini tidaklah
mustahil sebenarnya jika betul cara runding dan tawar-menawarnya.
Itu
belum diambil kira lagi kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih
sebagai Ahli Parlimen dan pengaruh Tun Mahathir serta Tun Daim yang
mungkin lebih memudahkan lagi usaha ke arah itu.
Dengan
Tun Mahathir sendiri menggesa pihak pembangkang mengemukakan usul
tersebut, secara tidak langsung bermakna bekas Perdana Menteri selama 22
tahun itu sudah sedia menjadi sebahagian yang akan memastikan
kejayaannya.
Jika
usul ini berjaya dan Najib dapat disingkirkan, ia kemudian akan
membentuk sebuah kerajaan campuran atau kerajaan peralihan yang
melibatkan semua parti. Parti-parti yang menguasai kerajaan negeri pula
boleh kekal dengan status quo sedia ada, begitu juga Sabah serta Sarawak
yang boleh dipertimbangkan lebih kuasa autonominya.
Kerajaan
campuran atau peralihan ini boleh jadi merupakan penyelesaian jangka
pendek sehingga pilihanraya akan datang dengan matlamat semata-mata
untuk menyelamatkan negara daripada pelbagai kerosakan dan caca marba
yang didatangkan Najib, malah jika semua parti selesa dengannya, ia juga
boleh diteruskan melalui formula yang sama selepas pilihanraya nanti.
Andainya
kerajaan campuran itu tidak mahu diteruskan selepas pilihanraya akan
datang, masing-masing boleh bersaing secara sihat dan terbuka sama ada
melalui sistem dua parti iaitu BN dan PR atau pun melalui kekuatan parti
sendiri.
Tetapi
dengan memberi laluan kepada penyingkiran Najib, ia bukan saja
membuatkan semua parti disanjung rakyat kerana sedia berkorban untuk
bertoleransi demi menyelamatkan negara, yang jauh lebih penting ia juga
memberi peluang yang sama rata, baik kepada BN mahupun PR untuk
memenangi pilihanraya.
Ini
kerana berbanding jika Najib terus menjadi Perdana Menteri, walaupun
harapan memenangi pilihanraya juga nampak terbuka, tetapi taktik di
saat-saat akhir mungkin menyebabkan kemenangan itu tidak menjadi realiti
akhirnya.
Lagi
pula dengan derma sebanyak RM2,600 yang pastinya masih banyak
berbakinya untuk digunakan dalam pilihanraya ke 14 nanti, cabaran dan
tentangan pembangkang untuk mengaut jumlah majoriti sekurang-kurangnya
112 kerusi bagi membentuk kerajaan tidaklah mudah sebenarnya.
Daripada
menunggu kemenangan dalam pilihanraya belum pasti lagi, lebih baik
mereka merebut peluang yang sedang terbuka sekarang. Mendapatkan
tambahan 24 kerusi Parlimen untuk menjadikan usul tidak percaya itu
menjadi kenyataan bukan saja tidak mustahil berikutan situasi politik
UMNO yang kacau bilau sekarang, bahkan ia juga lebih mudah kerana dalam
BN sendiri ramai yang bimbang nasib masing-masing masih bercahaya atau
sebaliknya selepas pilihanraya nanti.
Tetapi,
dengan memastikan usul ini berjaya, semua pihak boleh bergembira
dengannya. Negara dapat diselamatkan, rakyat mendapat harapan baru dan
semua parti berkongsi rasa kek yang sama.
Sebahagian
menteri yang ada pula, terutama yang ada intergriti, jujur, amanah dan
tidak rasuah, tentu saja boleh dikekalkan dalam kerajaan baru itu nanti.
Tiada
yang berbezanya melalui kejayaan usul tidak percaya itu, kecuali Najib
yang membawa sengsara dapat dibersarakan lebih awal daripada yang
sepatutnya.
Kepada
semua parti yang terlibat dan Ahli-Ahli Parlimen yang sayangkan negara
ini, janganlah dilengahkan lagi dan bawalah khabar gembira untuk rakyat
yang sudah lama menderita.
Sama seperti yang pernah berlaku di Perak, ini kali bagi jadilah...(SH 21/08/2015)