Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang mengesahkan akan
mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi merebut jawatan presiden PAS
pada pemilihan parti itu bulan depan.
Ahmad yang juga bekas anggota Majlis Syura PAS berkata alasan beliau menawarkan diri adalah untuk memperkukuhkan parti.
“Ini
adalah parti yang demoktrik dasarnya. Jadi sesiapa (saja) boleh
dicalonkan daripada ahli dan boleh mencalonkan. Ini meningkatkan ukhwah
dalam parti,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat untuk
bertanding, di ibu pejabat parti itu hari ini.
Dalam 13 tahun pentadbirannya, ini kali pertama kedudukan Hadi (atas) sebagai pemimpin nombor satu PAS dicabar. Sementara itu, ustaz Ahmad Awang dalam satu emel kepada
Suarapakatandaily mengesahkan beliau telah menghantar sendiri borang
pencalonan ke Pejabat Agung PAS hari ini.
“Saya telah menghantar sendiri penerimaan percalonan jawatan pada
hari ini (Khamis), 14 Mei 2015 di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut,
Kuala Lumpur lebih kurang jam 11.00 pagi tadi,” katanya.
Belum pun reda kontroversi penjualan tanah Tun Razak
Exchange (TRX) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Lembaga
Tabung Haji dengan harga tinggi, seorang pemimpin PAS mempersoalkan
siapakah bertanggungjawab menjual tanah yang sudah diperuntukkan kepada
Bumiputera pada zaman pentadbiran Tun Abdullah Badawi itu.
Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar, kanan)
turut membangkitkan harga sebenar tanah TRX di Jalan Tun Razak, Kuala
Lumpur, yang sebelum ini dimiliki Pelaburan Hartanah Berhad, PHBB
(dahulu dikenali Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad).
“Mengapa dan siapa yang ‘mengarah’ dan ‘memastikan’ agenda menjual
‘trophy asset’ milik PHBB seperti ini, dijual juga akhirnya kepada
1MDB?” soal bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu dalam wawancara
bersama The Malaysian Insider.
“Dikatakan tanah yang diperuntukkan kepada PHBB itu berlaku pada era
Tun Abdullah Badawi dengan tujuan untuk membangunkan tanah tersebut,
supaya daripada segi agihan kekayaan negara, masih ada lagi ruang dan
peluang Bumiputera memiliki saham dalam hartanah yang ‘prime’ seperti
bakal diterbitkan PHBB dalam pelaburan dan saham dan portfolio seperti
REIT atau Real Estate Investment Trust yang komplian-syariah.”
Media melaporkan sebelum ini, 1MDB hanya membayar RM64 sekaki persegi
ketika membeli 30 hektar tanah di tengah-tengah pusat bandar raya
daripada Putrajaya, kira-kira empat tahun lalu. Dzulkefly mempersoalkan pampasan atau gantian tanah yang diberikan Putrajaya kepada PHBB.
“Kalau tidak silap saya Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ada
membangkitkan perkara ini, tetapi isunya mati di tengah jalan sehingga
kini, atau ‘aborted’ begitu sahaja. Apakah beliau tidak diizinkan
membangkitkan perkara ini?
“Saya berikan peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
untuk menjawab dan membuat penerangan terlebih dahulu, sebelum
menyatakan pandangan dan kritikan saya,” katanya.
Minggu lalu, ketika hangat kontroversi pembelian 1.56 ekar tanah TRX
oleh Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta, Khairy yang juga menteri
belia dan sukan membangkitkan perkara sama. “Apakah benar perancangan awal sebelum tanah TRX dijual kepada 1MDB,
adalah untuk kerajaan menjual tanah ini kepada Pelaburan Hartanah
Berhad, iaitu sebuah syarikat di bawah Yayasan Amanah Hartanah
Bumiputera yang ditubuhkan untuk meningkatkan pemilikan hartanah di
kalangan mesyarakat Bumiputera?” soal Khairy dalam satu kenyataan
mewakili Pemuda Umno.
TRX, pada mulanya dikenali Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur, diumumkan pertama kali pada 2010. Pada 2012, Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga
penasihat 1MDB mewujudkan jawatankuasa kerja khas untuk menyelia TRX
agar disiapkan dalam tempoh 15 tahun. Tiga tahun kemudian, pada 2015, sayap hartanah 1MDB, 1MDB Real
Estate, akhirnya mengumumkan usaha sama membangunkan Lifestyle Quarter
di TRX, selepas berjaya mendapatkan usaha sama bersama gergasi pembinaan
Australia, Lend Lease.
Lend Lease, seperti diumumkan rundingannya pada Mac tahun ini,
memiliki 60% pegangan saham, manakala bakinya dimiliki 1MDB Real Estate.
Meskipun tanpa sebarang butiran perjanjian kewangan bersama Land
Lease yang dikeluarkan, sama ada Land Lease menyuntik dana ke dalam
usaha sama itu, harga sekaki persegi dibayar untuk tanah dan sumbangan
1MDB Real Estate.
Sehingga butiran itu didedahkan, sukar melihat ia sebagai perjanjian yang baik untuk 1MDB.
Walaupun TRX seharusnya dibangunkan sebagai hab kewangan, pembangunan
yang dapat dilihat kini adalah pusat membeli belah, hotel dan menara
kediaman.
Tarikh dijangka siap bagi fasa ini adalah di antara 2017 dan 2018.
Nilai pembangunan kasar (GDV) untuk suku tersebut adalah RM8 bilion,
sejumlah kecil daripada keseluruhan RM40 bilion anggaran GDV bagi
keseluruhan projek TRX.
Pembangunan stesen Mass Rapid Transit (MRT) terbesar negara juga dijangka siap pada 2017.
TRX seharusnya mempunyai 25 bangunan dengan 3,800 kawasan unit
kediaman, dan Najib sebelum ini mendakwa 250 syarikat terbaik dunia akan
membuka rangkaian mereka di daerah kewangan tersebut.
1MDB mengumumkan hari ini penjualan tapak Signature Tower di TRX
kepada syarikat pemaju Indonesia, Pt Kumpulan Mulia, pada harga RM665
juta, seminggu selepas kontroversi tercetus mengenai pembelian tanah
oleh Tabung Haji.
Tanah untuk pembinaan Signature Tower itu pada asalnya ditolak Tabung Haji walaupun ditawarkan harga RM578 juta. Keputusan Tabung Haji membeli tanah seluas 0.64 hektar pada harga
RM188.5 juta mengundang kemarahan pelbagai pihak sehingga memaksa dana
bakal haji itu mengumumkan akan menjual semula tanah itu secepat
mungkin.
Selepas Presiden PAS Hadi Awang menyokong penuh Najib dan
membela PM yang diserang bertubi-tubi oleh Dr Mahathir itu, seorang
lagi tokoh penting yang sebelum ini rapat dengan Umno menyatakan
sokongan padu kepada Najib.
Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din adalah pemimpin tertinggi PAS
terbaharu yang menolak cadangan menggantikan PM. Dipetik Berita Harian,
Haron berkata Najib perlu diberi peluang untuk membetulkan keadaan.
Tegas beliau, Najib perlu dikekalkan berdasarkan mandat yang diberikan
kepadanya dalam pilihan raya lalu.
“Berilah peluang kepada Najib perbetulkan apa yang perlu,” Haron dilaporkan berkata.
Mengenai kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Haron berkata,
beliau masih menunggu hasil siasatan sama ada kes itu benar-benar
berlaku, atau sekadar spekulasi dan persepsi semata-mata.
“Jika betul Najib melakukan kesilapan dan kecuaian dalam membuat keputusan… beliau kena bertanggungjawab. “Selagi belum ada bukti, saya mahu bersikap tunggu dan lihat. Namun
jika terbukti apa yang dilakukan dalam 1MDB kerana kesilapan sendiri
maka wajarlah perdana menteri membayar harga yang tinggi untuk itu,”
katanya.
Bahayakan survival PAS
Bukan sahaja ahli PAS tetapi ahli Umno pun akan menggeleng kepala
dengan sikap Haron yang ingin tunggu dan lihat ini. Sebahagian ahli Umno
percaya Najib terlibat dalam perkara yang didakwa Mahathir; salah urus
dana, kronisme atau kontroversi pembunuhan Altantuya.
Cuma bagi mereka, Najib tidak akan disiasat selagi mana beliau adalah
PM yang boleh mengarahkan agensi di bawahnya. Oleh itu, Haron dilihat
terlalu naif apabila ingin menunggu bukti siasatan dan pendakwaan
mahkamah terlebih dahulu sebelum mahu menggesa Najib melepaskan jawatan.
Apa yang dilakukan Haron dan Hadi ini amat merbahaya kepada survival
politik PAS. Najib dikecam rakyat kerana melaksanakan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST). Rakyat semakin faham apa tujuan GST yang dikutip
apabila 1MDB berhutang RM42 bilion. Dan rakyat marah bila Tabung Haji
digunakan untuk menyelamatkan syarikat kesayangan Najib itu.
Oleh itu, apakah ertinya pemimpin tertinggi PAS menyokong Najib?
Persepsi rakyat mudah. Mereka akan menganggap pemimpin itu mungkin
mendapat imbuhan daripada Umno. Kesilapan fatal seperti ini tidak akan
dibuat oleh pemimpin PAS terdahulu seperti Fadzil Noor atau Nik Aziz Nik
Mat.
Terdapat banyak polisi Umno BN yang menguntungkan rakyat dan boleh
disokong, bukannya seorang PM yang terbelit dengan skandal penyelewengan
serta pembunuhan.
Harus menyeleweng dana
Sokongan presiden dan mursyidul am ini boleh sahaja disalah anggap
oleh ahli bawahan PAS sebagai fatwa yang mensucikan Najib. Ahli PAS
selepas ini mungkin menganggap menyelewengkan dana adalah ‘harus’ dalam
Islam demi mengekalkan kepimpinan politik Melayu.
Perihal mengkritik atau meminta pemimpin BN meletak jawatan telah pun
dimuktamadkan pada era Fadzil dan Nik Aziz sebagai dibenarkan dalam
politik Islam. Pemimpin yang menyeleweng dan rasuah tidak layak
mentadbir negara.
Tidak perlu menunggu pihak polis, SPRM atau mahkamah membuktikan
kesalahan. Sebaliknya, tindakan menyokong Najib oleh Hadi dan Haron akan
membuat ahli PAS menganggap Fadzil dan Nik Aziz berdosa kerana mengecam
Dr Mahthir dan Pak Lah suatu ketika dahulu.
Bagi pemerhati politik, tindakan Hadi dan Haron ini seolah-olah
memutar kembali ingatan terhadap kerajaan perpaduan BN – PAS, 1972 –
1978. Ucapan-ucapan yang mahukan Najib kekal pasti ada muslihat
disebaliknya. Sama ada terdapat perjanjian dengan Najib atau persetujuan
secara longgar. Sekiranya Najib lenyap dari kepimpinan politik BN maka
semuanya akan terbatal.
Rundingan secara senyap
Mungkinkah kedua-dua pemimpin ini telah pun merangka satu persetujuan
bersama Najib? Sama ada dalam isu Hudud atau perjanjian menyokong
persempadanan semula kawasan pilihan raya. Siapa tahu?
Jika pemimpin PAS itu melakukan rundingan secara senyap dan membuat
perjanjian bersama Najib maka kedua-dua mereka tidak layak memimpin
parti. PAS sebagai parti berlandaskan Islam perlu telus dan tidak boleh
merahsiakan sebarang perkara daripada ahlinya.
Sekiranya mereka tidak mempunyai apa-apa kepentingan sewajarnya
mereka mengambil peluang mengkritik Najib bagi menaikkan imej PAS di
mata masyarakat.
Oleh itu, Hadi dan Haron jika ingin terus menyokong Najib maka lebih
baik mereka melepaskan jawatan masing-masing. Tradisi PAS mudah,
mana-mana pemimpin yang menyokong Umno – BN akhirnya akan ditolak dan
dilupakan oleh ahli.
Hadi dan Haron tidak mungkin mahu mengulangi sejarah Asri Muda,
Nakhaie Ahmad dan banyak lagi yang tidak dikenang di hari tua mereka
kerana mendampingi Umno.
Bagi perwakilan yang mahu mengundi dalam Muktamar Pemilihan pada Jun
ini wajarlah mereka berfikir sepuluh kali sebelum memilih semula Hadi
dan kliknya pada jawatan penting parti demi mengekalkan perjuangan PAS
di landasan sebenar.
Kemelut yang melanda PM Najib Razak memberi peluang
kepada ahli PAS menilai keupayaan pemimpin utama mereka menghadapi isu
tersebut menjelang Muktamar Pemilihan Jun depan.
Pada 12 Mei lalu, Presiden PAS Hadi Awang menyatakan sokongan terbuka
kepada Najib yang diasak oleh Dr Mahathir agar meletak jawatan. Hadi
dalam kenyataan yang disiar portal berita MStar menyokong Najib
meneruskan pentadbirannya.
Beliau mengecam kaedah Dr Mahathir mengugut PM dan menyifatkan cara
tersebut tidak berdemokrasi. Bagi Hadi pemimpin yang menang dalam
pilihan raya adalah sah memegang jawatan sehingga ke akhir penggal
pemerintahan.
Berbeza dengan Hadi, Timbalan Presiden PAS Muhammad Sabu ketika
ditanya wartawan soalan sama, berkata Najib tidak wajar meletak jawatan
hanya kerana didesak Dr Mahathir tetapi Najib perlu mempertimbangkan
ketidak puasan hati rakyat yang mewajarkan Najib membubarkan parlimen
serta memanggil pilihan raya awal untuk mendapatkan mandat baharu ke
atasnya.
Aliran politik
Di sini ahli PAS boleh menilai dua aliran politik yang berbeza.
Pertama, aliran tidak demokratik yang diamalkan oleh Hadi dan kedua,
aliran pemikiran politik rasional Mat Sabu.
Aliran
politik Hadi merujuk kepada kitab-kitab fatwa lama abad ke 8 atau ke
12. Imam-imam besar ketika itu menentang sebarang unsur paksaan ke atas
khalifah turun takhta selagi mana khalifah adalah muslim dan mengamalkan
hukum Islam.
Dapat difahami mengapakah fatwa sedemikian dikeluarkan kerana sistem
politik ketika itu adalah raja – rakyat. Raja tidak boleh ditukar
kecuali dengan pemberontakan dan peperangan saudara. Ribuan akan
terbunuh dan mengikut kaedah syarak menumpahkan darah adalah haram. Maka
ulama memfatwakan harus mentaati pemerintah walaupun zalim selagi mana
pemerintah melaksanakan Islam sebagai agama rasmi.
Pada abad ke 21, tentulah fatwa tersebut hanya boleh dijadikan bahan
rujukan sahaja. Kaedah moden dalam pemerintahan membenarkan seseorang
ketua kerajaan dijatuhkan dengan cara memangkah kertas undi. Tiada
pertumpahan darah, tiada peperangan dan proses menukar ketua kerajaan
itu memakan masa tidak lebih daripada sehari serta diiktiraf
perlembagaan.
Dalam situasi Najib, maka tidak salah satu pilihan raya mengejut
dipanggil dan rakyat boleh mengundi menyokong atau menjatuhkannya.
Pilihan raya mengejut adalah amalan rasmi di Eropah apabila kerajaan
menghadapi penentangan rakyat akibat dasar-dasar yang tidak popular. Di sini dilihat kematangan Mat Sabu sebagai ahli politik. Beliau
menyindir Najib agar segera memulangkan kuasa kepada rakyat. Sekiranya
rakyat tidak berpuas hati dengan prestasinya maka rakyat boleh melantik
ketua kerajaan yang baharu.
Di Itali pada awal 2000 misalnya , pernah berlaku pilihan raya umum
dua kali dalam setahun akibat dasar yang tidak popular dan penarikan
sokongan parti-parti kecil dalam kerajaan memerintah. Negara itu tidak
pula terjerumus ke kancah huru hara dan ketua kerajaannya tidak berkeras
untuk bertahan seperti Najib.
Membuta tuli
Manakala hujah Hadi dalam keseluruhan isu memperlihatkan kedangkalan
pemahaman politik demokrasi. Hadi bukan sahaja tidak menunjukkan beliau
saingan politik yang ampuh kepada Najib malah membela membuta tuli
kepimpinan Najib yang tidak popular di mata rakyat lewat skandal 1MBD
dan cukai GST.
Hujah Hadi mempertahankan Najib tidak ubahnya seperti pembatu stor
mempertahankan pengurus jualan yang dimarah pelanggan kerana
perkhidmatan yang tidak efisien. Jelas Hadi tidak boleh diharapkan oleh ahli PAS untuk membawa parti
itu ke puncak kuasa. Pemikiran politiknya tidak seperti seorang ketua.
Mempertahankan saingan politik hanya dibenar dalam politik Islam
sekiranya negara diserang musuh atau oleh golongan kufar yang mahu
melemahkan Islam.
Selain itu, amat tidak bijak seorang ulama dan tokoh politik Islam
mempertahankan pemimpin sekular. Apatah lagi yang terpalit dengan
dakwaan skandal pembunuhan Altantuya, Scorpene, 1MDB dan mendera rakyat
dengan GST.