Sokong Najib: Ahli PAS menilai pemikiran presiden

Sokong Najib: Ahli PAS menilai pemikiran presiden
Sokong Najib: Ahli PAS menilai pemikiran presiden

Sokong Najib: Ahli PAS menilai pemikiran presiden

Kemelut yang melanda PM Najib Razak memberi peluang kepada ahli PAS menilai keupayaan pemimpin utama mereka menghadapi isu tersebut menjelang Muktamar Pemilihan Jun depan.

Pada 12 Mei lalu, Presiden PAS Hadi Awang menyatakan sokongan terbuka kepada Najib yang diasak oleh Dr Mahathir agar meletak jawatan. Hadi dalam kenyataan yang disiar portal berita MStar menyokong Najib meneruskan pentadbirannya.

Beliau mengecam kaedah Dr Mahathir mengugut PM dan menyifatkan cara tersebut tidak berdemokrasi. Bagi Hadi pemimpin yang menang dalam pilihan raya adalah sah memegang jawatan sehingga ke akhir penggal pemerintahan.

Berbeza dengan Hadi, Timbalan Presiden PAS Muhammad Sabu ketika ditanya wartawan soalan sama, berkata Najib tidak wajar meletak jawatan hanya kerana didesak Dr Mahathir tetapi Najib perlu mempertimbangkan ketidak puasan hati rakyat yang mewajarkan Najib membubarkan parlimen serta memanggil pilihan raya awal untuk mendapatkan mandat baharu ke atasnya.

Aliran politik

Di sini ahli PAS boleh menilai dua aliran politik yang berbeza. Pertama, aliran tidak demokratik yang diamalkan oleh Hadi dan kedua, aliran pemikiran politik rasional Mat Sabu.

hadi-awang-pas-mesra-najib-razak-umno-bnAliran politik Hadi merujuk kepada kitab-kitab fatwa lama abad ke 8 atau ke 12. Imam-imam besar ketika itu menentang sebarang unsur paksaan ke atas khalifah turun takhta selagi mana khalifah adalah muslim dan mengamalkan hukum Islam.

Dapat difahami mengapakah fatwa sedemikian dikeluarkan kerana sistem politik ketika itu adalah raja – rakyat. Raja tidak boleh ditukar kecuali dengan pemberontakan dan peperangan saudara. 
Ribuan akan terbunuh dan mengikut kaedah syarak menumpahkan darah adalah haram. Maka ulama memfatwakan harus mentaati pemerintah walaupun zalim selagi mana pemerintah melaksanakan Islam sebagai agama rasmi.

Pada abad ke 21, tentulah fatwa tersebut hanya boleh dijadikan bahan rujukan sahaja. Kaedah moden dalam pemerintahan membenarkan seseorang ketua kerajaan dijatuhkan dengan cara memangkah kertas undi. Tiada pertumpahan darah, tiada peperangan dan proses menukar ketua kerajaan itu memakan masa tidak lebih daripada sehari serta diiktiraf perlembagaan.

Dalam situasi Najib, maka tidak salah satu pilihan raya mengejut dipanggil dan rakyat boleh mengundi menyokong atau menjatuhkannya. Pilihan raya mengejut adalah amalan rasmi di Eropah apabila kerajaan menghadapi penentangan rakyat akibat dasar-dasar yang tidak popular.
Di sini dilihat kematangan Mat Sabu sebagai ahli politik. Beliau menyindir Najib agar segera memulangkan kuasa kepada rakyat. Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan prestasinya maka rakyat boleh melantik ketua kerajaan yang baharu.

Di Itali pada awal 2000 misalnya , pernah berlaku pilihan raya umum dua kali dalam setahun akibat dasar yang tidak popular dan penarikan sokongan parti-parti kecil dalam kerajaan memerintah. Negara itu tidak pula terjerumus ke kancah huru hara dan ketua kerajaannya tidak berkeras untuk bertahan seperti Najib.

Membuta tuli

Manakala hujah Hadi dalam keseluruhan isu memperlihatkan kedangkalan pemahaman politik demokrasi. Hadi bukan sahaja tidak menunjukkan beliau saingan politik yang ampuh kepada Najib malah membela membuta tuli kepimpinan Najib yang tidak popular di mata rakyat lewat skandal 1MBD dan cukai GST.

Hujah Hadi mempertahankan Najib tidak ubahnya seperti pembatu stor mempertahankan pengurus jualan yang dimarah pelanggan kerana perkhidmatan yang tidak efisien.
Jelas Hadi tidak boleh diharapkan oleh ahli PAS untuk membawa parti itu ke puncak kuasa. Pemikiran politiknya tidak seperti seorang ketua.

Mempertahankan saingan politik hanya dibenar dalam politik Islam sekiranya negara diserang musuh atau oleh golongan kufar yang mahu melemahkan Islam.

Selain itu, amat tidak bijak seorang ulama dan tokoh politik Islam mempertahankan pemimpin sekular. Apatah lagi yang terpalit dengan dakwaan skandal pembunuhan Altantuya, Scorpene, 1MDB dan mendera rakyat dengan GST.