Masa Untuk Tun M, Ku Li, Pak Lah dan Musa Hitam Bersatu

SHAHBUDIN HUSSEIN


Sekembalinya daripada luar negara semalam kerana menjalani rawatan mata di Jepun dan tidak menghadiri majlis kenduri kahwin anak perempuan Najib Razak yang gilang-gemilang dan super mewah,  bekas Perdana Menteri,  Tun Mahathir Mohamad tidak menunggu lama untuk meneruskan serangannya kepada Perdana Menteri yang sudah sekian lama ditarik balik sokongannya.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Tun Mahathir mengatakan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang selagi dipimpin oleh Najib kerana ketika ini semua kaum menolak kepimpinannya.

Tun Mahathir juga membangkitkan mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya, mengenai hutang 1MDB serta pembelian jet baru yang katanya "untuk kegunaan Datuk Seri dan Datin Seri."

Serangan Tun Mahathir kali ini adalah yang paling keras berbanding sebeluknya dan menyeluruh menyentuh pelbagai aspek yang menjadi punca utama penolakan rakyat terhadap UMNO dan BN yang dipimpin oleh Najib.

Sebelum ini, ketika menulis mengenai 1MDB, Tun Mahathir sudah pun menimbulkan beberapa persoalan mengenai kaitan syarikat itu dengan Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz yang mampu menerbitkan filem di Hollywood dan membeli unit kondo mahal di New York.

Tulisan dan kritikan Tun Mahathir kali ini, jika difahami, tidak lain hanya dengan satu tujuan iaitu mahukan Najib berundur atau diundurkan dengan segera jika UMNO dan BN ingin terus mengekalkan kuasa dalam tangannya. 

Secara realitinya dan berdasarkan penolakan pelbagai segmen masyarakat yang makin nyata ketika ini, Najib sememangnya hampir tidak diyakini lagi mampu mencipta kemenangan buat UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Najib bukan saja sarat dengan masalah, isu dan kelemahan, bahkan juga mengekalkan segala masalah, isu dan kelemahan itu kekal bersarang melingkari kepimpinannya tanpa menampakkan usaha yang jitu untuk bergerak memperbaikinya.

Yang menariknya, serangan dan kritikan Tun Mahathir kali ini segera mendapat respon positif daripada Tengku Razaleigh Hamzah yang mahukan Najib segera tampil memberikan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan itu.

Menurut beliau yang lebih popular dengan Ku Li, Tun Mahathir hanya menuntut penjelasan dan sudah sampai masanya Najib memberikan penjelasan agar kebenaran terserlah.

Pendirian senada antara Tun Mahathir dengan Ku Li ini secara umumnya adalah berita gembira kepada mereka yang sayangkan negara ini. Terlihat seolah-olah ada sinar baru untuk menyelamatkan negara ini daripada terus musnah dan binasa melalui pendirian senada Mahathir dan Ku Li ini.

Ketika ini, haruslah diakui bahawa negara kita diuruskan dengan teruk oleh Najib. Hutang negara meningkat, wang 1MDB hilang entah ke mana, ekonomi suram, ringgit jatuh, peluang perniagaan atau pekerjaan terhad, pembaziran serta pemborosan terus berleluasa, tadbir urus kerajaan di tahap paling lemah serta 1001 masalah lainnya.

Yang paling memeritkan ialah, hutang sudah pun sedia menunggu bagi anak dan cucu kita yang belum pun lahir ke dunia ini lagi.

Demi menyelamatkan masa depan negara ini, sebenarnya tidak saja Ku Li yang harus tampil memberi sokongan kepada Mahathir. Tun Abdullah Badawi, Tun Musa Hitam dan lain-lain harus juga berani bersuara dan bersama-sama berganding bahu dengannya.

Sebagaimana Tun Mahathir yang tiada kepentingan apa-apa lagi dalam kehidupannya kerana semua anak-anaknya sudah berjaya dan kaya raya, Tun Abdullah dan Tun Musa Hitam juga akan lebih dihormati dan dihargai jika mahu berganding bahu mulai sekarang.

Semua tokoh-tokoh yang pernah berjasa ini iaitu Tun Mahathir, Ku Li, Tun Abdullah dan Tun Musa Hitam harus melupakan sejarah silam dan tidak lagi terperangkap dengan penjara masa masing-masing. 

Sekarang adalah masa untuk "biduk lalu kiambang bertaut" serta "buang yang keruh dan ambil yang jernih" kerana masa depan negara dan generasi akan datang lebih penting dari segala-galanya. ( 02/04/2015)

NIK AMR:ISU AMANAT NIK AZIZ. INI BUKTI PENJELASAN NIK AMAR. KALAU TAHU NAK KENA TIPU KENAPA NAK LAKSANAKAN.





Amar nafi laporan akhbar berhubung amanat Nik Aziz

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan berkata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan pesanan supaya berbaik dengan Umno bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan melalui Facebook miliknya. – Gambar Facebook, 3 April, 2015.  


Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan berkata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan pesanan supaya berbaik dengan Umno bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan melalui Facebook miliknya. – Gambar Facebook, 3 April, 2015.

 Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan kenyataannya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini, berhubung amanat terakhir Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dikaitkan dengan isu hudud di Kelantan.

Timbalan menteri besar Kelantan itu menafikan berkata yang Nik Aziz meninggalkan pesanan mengingatkan ahli PAS supaya mewujudkan hubungan baik dengan Umno bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Beliau membuat penafian tersebut melalui media sosial, mengatakan laporan itu "tidak tepat, berniat jahat dan berunsur fitnah."


"Merujuk tajuk dan laporan Berita Harian Jumaat 3 April 2015 yang memetik kenyataan saya berkenaan 'amanah Tok Guru Nik Aziz'.

"Dukacita dimaklumkan laporan akhbar tersebut adalah tidak tepat, berniat jahat dan berunsur fitnah," katanya dalam satu posting di laman Facebook miliknya petang tadi.

Justeru, beliau menyarankan pembaca mendapatkan maklumat yang tepat dan benar dengan merujuk ucapan penuhnya yang terlebih dahulu dirakam oleh pihak penganjur.

Beliau dipercayai merujuk ucapannya dalam satu majlis ceramah penjelasan isu hudud yang diadakan pada 1 April jam 9 malam di Pengkalan Chepa, Kota Baru, Kelantan.

Lapor Berita Harian hari ini memetik kenyataan Amar yang selain mendedahkan apa yang dikatakan amanat mursyidul am PAS itu, beliau juga dilaporkan mengingatkan ahli PAS agar tidak mengkritik Umno kerana parti Melayu itu merupakan pihak yang perlu berurusan bagi membolehkan hasrat kerajaan negeri tercapai.

Hadi, Haron Din lupakan GST? Rakyat akan lupakan mereka!


Oleh: Posted by Riduan Shamsudin & Amiruddin Ahmad

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah pun sempurna dilaksanakan pada 1 April. Pemimpin DAP dan PKR menyerang hebat polisi kerajaan BN ini. Namun tiada satu serangan pun dari kepimpinan tertinggi PAS.

 
PAS seolah-olah merestui GST. Hadi Awang sibuk dengan Hudud. Haron Din melebihkan Hudud sehingga terlajak berkata Pakatan Rakyat tidak lagi penting kepada PAS. Semua ulama-ulama muktabar PAS tidak mengeluarkan kecaman terhadap cukai yang memangsakan rakyat itu.

Hanya Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At Takiri dan Tuan Ibrahim Tuan Man sahaja dari kelompok ulama yang cuba memecah kesunyian berkata GST haram dikutip ketika rakyat hidup menderita. Ulama PAS lain malangnya tidak mengeluarkan hujah. Hero Majlis Syura Ulama seperti Tantawi, Nik Abduh, Zaharudin dan lain-lain diam membisu. Semua ini pelik jika dibandingkan keaktifan ulama PAS ketika era Reformasi 1998 -1999 lalu.

Fatwa tentang kezaliman

Ulama PAS zaman Fadzil Noor mengeluarkan pelbagai pandapat yang sesetengahnya menghampiri fatwa menentang kezaliman kerajaan BN terhadap Anwar. Didedahkan kepada umum kaedah Islam memutuskan hukum liwat, kaedah Islam menentang kerajaan yang zalim dan sebagainya.

Pada era Hadi, Umno dilihat tidak zalim dan tidak perlu ditentang biar apa pun cukai zalim dikenakan. Walaupun tidak diisytihar secara terang-terangan tetapi tindakan Hadi menggambarkan Umno BN perlu diberi peluang kali ini kerana mereka menyokong Hudud di Kelantan.

Adakah Hudud penghalang rakyat menyatakan kebenaran? Memang ianya hukum dari Allah tetapi tidak pernah dalam sejarah Islam Hudud menjadi penghalang kepada rakyat membangkitkan dasar-dasar kerajaan yang menindas mereka.

Hudud bukan segala-galanya dalam pemerintahan. Ia hanyalah sebahagian daripada bentuk hukuman.  Faktor yang menentukan berjaya atau gagalnya pemerintahan adalah keadilan dan kebajikan. Hudud tidak menjamin sesebuah kerajaan tidak akan dijatuhkan rakyat jika bertindak zalim. Malah Nabi Muhammad s.a.w pun lebih banyak memberi amaran agar pemerintah mengasihani rakyat. PAS di bawah Hadi telah melupakan semua itu demi kerjasama Umno – PAS meluluskan Hudud.

Keutamaan berkuasa

Tindakan Hadi ini amat merbahaya kepada masa hadapan PAS. Meskipun Hadi dan ulama PAS lain mengajarkan perlu taat kepada presiden parti dalam apa keadaan sekali pun dan semua yang terjadi ada hikmah disebaliknya, tetapi ahli PAS bukanlah bodoh. Apatah lagi penyokong yang terdiri daripada kaum Cina dan India yang tiada kaitan dengan Hudud.

Apabila harga barang dan kos hidup melambung, pada bila-bila masa mereka boleh beralih daripada mengundi PAS kepada tidak mengundi dan membiarkan sahaja BN menang dalam pilihan raya sebagai tanda protes.

Hadi mengutamakan Hudud tetapi tidak melihat sokongan rakyat sebagai keutamaan untuk PAS berkuasa. Tidak ada parti politik yang mengambil pendekatan PAS kecuali parti yang mahu hancur lebur. Hadi yang berpengalaman puluhan tahun berpolitik tiba-tiba mengikut rentak Haron Din yang telah ‘terbiasa’ menyokong polisi kerajaan pada era 1980an – 1990an lalu.

Haron memang akan menyokong GST kerana terbukti dalam dua dekad ketika beliau rapat dengan Anwar ketika itu, beliau menyokong kebanyakan dasar-dasar kerajaan. Namun Hadi yang sejak 1980an menentang kerajaan BN dilihat ‘buang tabiat’ di penghujung usia apabila mengikut nasihat puak Haron dan Dr Zuhdi.

PAS atau apa sahaja parti agama tidak akan disokong oleh rakyat jika mereka memisahkan diri daripada kenyataan hidup semasa. Sekiranya Hadi mahu membawa kepada keadaan yang merugikan ini maka lebih baik puak profesional dalam PAS mencabar kepimpinan Hadi.

Gantikan Hadi

Hadi perlu diganti agar PAS kembali relevan. GST diramalkan oleh bekas Presiden Umno Dr Mahathir akan menyebabkan parti nasionalis itu kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang. Malah tidak kurang di dalam Umno yang meramalkan pemberontakan rakyat akan berlaku sebelum pilihan raya  jika keperitan hidup melampaui batas.

PAS tidak mengambil kesempatan menambah sokongan. Sebaliknya puak ulama dalam parti itu - kerana membalas budi Umno - ingin mempertahankan pula parti yang bertindak membebankan rakyat. Ulama PAS tidak dapat melihat mereka akan survive sekiranya Umno tidak memerintah kerajaan pusat.

Cogan kata  ‘PAS ganti Umno’ tiba-tiba bertukar kepada ‘PAS sokong Umno demi Islam’. Langkah berputar ke belakang ini tidak pernah berlaku dalam sejarah PAS kecuali pada awal penubuhan parti itu era 1950an.

Ketika itu, PAS adalah sayap agama Umno sebelum berpisah secara rasmi. Pada 2015, PAS di bawah Haron Din dan Hadi akan sekali lagi menjadi Biro Agama Umno. Bezanya dahulu ia dipimpin oleh Ahmad Badawi, Umno totok yang tidak jelas tahap pendidikan agamanya tetapi kali ini diketuai oleh ulama besar.