Kerjasama Umno – Pas: Surat terbuka buat Hj Hadi
Assalamualaikum Tuan Guru Presiden PAS,
Menyelusuri sejarah kepimpinan Pas di bawah Tuan Guru, sebermula pada tahun 1978 ketika Tuan Guru mula bertanding di dalam pilihan raya umum (PRU) 1978 amat berat rasanya untuk percaya hala tuju Pas hari ini agak berlainan daripada era 1980an lalu.
Kekuatan imej Islam Tuan Guru ketika itu berjaya membuka laluan Pas memenangi 5 kerusi di Terengganu pada PRU 1982 dan juga di beberapa DUN di negeri lainnya.
Tuan Guru juga kemudiannya cepat menaiki tangga kepimpinan di peringkat nasional sehingga berjaya memangku jawatan Presiden selepas kembalinya ke rahmatullah ustaz Fadzil Noor.
Kegagalan PAS mempertahankan pemerintahan Terengganu (1999 – 2004) dan Tuan Guru kehilangan jawatan Menteri Besar memang sedikit sebanyak membawa kekecewaan kepada sebahagian pimpinan Pas di semua peringkat. Namun ahli Pas tetap walak kepada Tuan Guru dan tidak mempersoalkan kepimpinan mahu pun kelemahan Tuan Guru. Ahli bawahan tetap memberi peluang kedua kepada Tuan Guru memimpin Pas.
Kejayaan kedua Pas dalam kerjasama politik dengan PKR dan DAP yang berhasil di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang di samping mempertahankan Kelantan pada PRU 2008 sepatutnya dijadikan pengajaran bahawa hanya dengan bersatu bersama lain-lain parti pembangkang sahaja Pas akan kuat dan berkuasa.
Namun Allah swt lebih mengetahui akan sebab-sebab kepada penurunan prestasi Pas pada PRU ke 13 di banyak tempat kecuali di Selangor apabila Pas menang sebanyak 15 kerusi.
Krisis menggantikan Menteri Besar Selangor yang juga melibatkan Pas sebagai sekutu menguji kekuatan Tuan Guru membuat keputusan. Namun krisis itu juga menyebabkan semakin parah masalah dalaman yang dihadapi Pas sejak mengikat tahaluf siyasi bersama PKR dan DAP pada 1999.
Kemuncak krisis dalaman Pas apabila keluarnya beramai-ramai pimpinan profesional dan mereka menubuhkan kumpulan pendesak dengan nama Gerakan Harapan Baru dan seterusnya menubuhkan parti Islam progresif Parti Amanah Negara .
Penyebab kepada masalah dalaman ini, tidak lain tidak bukan adalah isu Pas sedikit sebanyak ada menjalinkan hubungan dengan Umno secara rahsia dan senyap sejak sekian lama. Pun begitu hal ini terbongkar juga akhirnya.
Terkini, apabila Presiden Pas menerima jemputan ke program Alumni lepasan Universiti Al Azhar dan disiarkan secara besar-besaran maka satu negara melihat pendirian Tuan Guru untuk mendakwah Umno demi merapatkan perpaduan dan menyatukan umat Melayu. Namun daripada segi politik Pas mengalami kerugian apabila media berpropaganda kononnya Pas dan Umno telah bekerjasama.
Maka kami ahli veteran Pas merasakan langkah yang dilakukan Tuan Guru Presiden kali ini bakal memerangkap Pas. Ahli bawahan tetap membantah dan menolak apa sahaja usaha untuk bekerjasama dengan Umno yang telah merobek dan merosakkan negara ini.
Kami ahli bawahan tetap mahu Umno dijatuhkan melalui saluran pilihan raya dan gabungan pembangkang akhirnya menguasai Putrajaya. Bukannya dengan apa-apa cara untuk ke Putrajaya melalui pendekatan kerjasama.
Kini hubungan antara Pas dan Umno sudah terang lagi bersuluh sebagaimana yang dibimbangi almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sebelum ini.
Kepada pembela kerjasama Umno – Pas, usahlah jadikan pertemuan Fadzil Noor dengan Mahathir ketika pidato Palestin suatu ketika dahulu sebagai alasan untuk berjumpa atau bekerjasama dengan Umno BN. Situasi yang melatari dua pertemuan ini sangat berlainan!
Sekian terima kasih.
Teguran ikhlas daripada veteran Pas yang juga sahabat kepada bekas Ketua Dewan Ulama Pas, Dato’ Haron Taib