Anwar kali kedua lawat anaknya Nuha, mohon doa rakyat Malaysia
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kesihatan anaknya, Nurul Nuha Anwar yang kini menerima rawatan rapi akibat kecederaan di bahagian kepala kerana jatuh.
Anwar tiba di Hospital Tropicana Medical Centre, Petaling Jaya melawat anaknya itu kali kedua. Beliau diiringi oleh beberapa orang pegawai penjara.
“Doakan semuanya baik-baik belaka. Saya sihat, alhamdulillah, doakan anak saya,” katanya.
Beberapa ahli keluarga yang lain turut menziarahi Nuha termasuk kakanya, Nurul Izzah Anwar.
Sementara itu, Izzah ketika di ruang menunggu hospital berkenaan, memceritakan keadaan adiknya itu, beliau menyatakan keadaan Nuha agak stabil.
” Dia (Nuha) sedikit baik, tetapi muntah, mungkin kesan daripada ubat. Kecederaan di kepala ada kesan sedikit.
“Dia tak lalu makan sejak masuk ICU, ” jelasnya.
Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyatakan beliau reda dengan ujian Allah ke atas anaknya Nuha.
Katanya, beliau tidak pernah merungut atas dugaan diberikan Allah S.W.T walaupun ketika ini menerima dua ujian yang berat, iaitu anaknya Nurul Nuha mengalami kecederaan akibat terjatuh manakala suaminya Anwar berada di penjara sebagai tahanan politik
“Ini satu ujian yang berat bagi saya, ketika ini anak dan suami saya menerima ujian mereka, begitu juga saya, tetapi saya reda. Sebagai manusia, kita ada ujian masing-masing.
Alhamdulillah DSAI dibenarkan menziarah Nurul Nuha di hospital..semoga anakanda semakin sembuh dengan kekuatan semangat papa..
“Saya minta agar kita sama-sama berdoa, semoga Allah permudahkan segalanya,” katanya ketika dijumpai selepas beliau melawat anaknya di Hospital Tropicana Medical Centre, Petaling Jaya.