MUHYIDDIN, SEKARANG BUKAN MASANYA UNTUK MERINTIH!!

 

 

shahbudin.com

 

Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin dijangka kembali daripada luar negara pada jam 4 petang hari ini (26 November) di KLIA. Hebahan mengenai kepulangannya telah tersebar luas sejak semalam meminta para penyokongnya beramai-ramai menyambut ketibaannya itu.

Muhyiddin tidak hadir dalam mesyuarat MT 24 November lalu yang memutuskan beliau tidak dibenarkan merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri tahun ini, sebaliknya untuk pertama kali perasmian akan dilakukan oleh ketua sayap masing-masing.

Dalam kenyataan melalui laman Facebooknya semalam, walaupun menerima keputusan MT itu dengan hati terbuka serta menghormatinya, tetapi Muhyiddin tetap meluahkan rasa kesal dengan merintih, "apa dosa saya sehingga diperlakukan begini?"

"Apalah dosa yang saya lakukan terhadap UMNO sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada seorang timbalan presiden UMNO dinafikan kepada saya tahun ini?

"Atau adakah ada mereka yang cukup takut dengan apa yang saya akan ungkapkan di hadapan anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada seorang pemimpin?" soalnya.

Walaupun dihalang, Muhyiddin dalam masa yang sama menyatakan akan terus bersuara dan tidak akan mengalah kerana tidak ada sesiapa yang dapat mendiamkan daripada menyatakan yang hak.

Sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO yang disingkirkan daripada kerajaan hanya kerana bertanya beberapa soalan berkaitan 1MDB dan derma yang diterima Najib, memang Muhyiddin berhak untuk terus bersuara, lebih-lebih lagi memandangkan isu tersebut masih menjadi perbualan di kalangan rakyat.

Tetapi, sekadar bercakap saja bahawa beliau akan terus bersuara dan tidak ada sesiapa mampu mendiamkannya, tentu saja tidak memadai.

Dalam suasana politik UMNO yang sedang gawat dan beliau sendiri tidak lagi dikehendaki oleh Najib, tetapi ramai di kalangan rakyat mengharapkan sesuatu perubahan dapat dilakukan dengan segera, sekadar bercakap dan memberi kenyataan media juga tidak lagi mencukupi.

Sekarang adalah masa untuk Muhyiddin bertindak, berjuang dan menyerang.  Kegagalannya hadir dalam mesyuarat MT 24 November lalu memang dikesali oleh sesetengah pihak kerana ia seolah-olah menunjukkan ketidakseriusannya dalam perjuangan.

Kalau pun beliau berada di penjuru dunia mana sekali pun, apakah tidak boleh mengambil penerbangan balik dengan segera untuk menghadiri mesyuarat itu?

Meskipun tarikhnya diawalkan daripada 27 kepada 24 November, tetapi perubahan tarikh itu sudah pun diketahui tiga atau empat hari sebelum itu.

Tanpa apa-apa jawatan lagi dalam kerajaan, apakah urusan di luar negara yang penting sangat sehingga tidak boleh ditinggalkan untuk menghadiri mesyuarat MT?

Bukankah jika Muhyiddin menghadiri mesyuarat MT tempohari, beliau dapat mempersoalkan secara berdepan dengan Najib berhubung tindakan tidak membenarkannya melakukan perasmian sayap-sayap itu?

Tentu tidak perlu lagi  merintih dengan menyebut, "apa dosa saya" semata-mata untuk meminta simpati. Sebagai orang lama dalam UMNO, Muhyiddin tentunya sedar bahawa perjuangan dalam politik adalah berkaitan kuasa dan sama ada "membunuh" atau "dibunuh."

Dalam politik, tidak ramai, malah mungkin tidak ada orang yang memikirkan dosa dan pahala. Semuanya hanyalah kuasa. Dosa dan pahala diri sendiri pun mereka lupa, apatah lagi untuk mengambil kira dosa dan pahala orang lain.

Untuk itu, Muhyiddin perlu berhenti merintih mengenai dosa, pahala atau mengungkit-ungkit mengenai sumbangan masa lalunya. Sejuta kali beliau menyebutnya pun belum tentu ada yang mengenangnya jika beliau masih teragak-agak untuk bertindak, hanya berani bercakap, masih selalu ke luar negara dan sesuka hati mengabaikan mesyuarat MT.

Di ketika ini, Muhyiddin juga perlu sedar sudah beratus-ratus pemimpin UMNO cawangan mulai bangun untuk menyelamatkan parti dan mendesak Najib yang dianggap sebagai liabaliti agar berundur dengan segera.

Perjuangan pemimpin akar umbi ini hendaklah disambut dan jangan dibiarkan begitu saja. Berhentilah sekadar mengeluarkan kenyataan media, tetapi jasad berada di luar negara.

Sekarang juga bukan masanya lagi untuk merintih dan memperlihatkan dirinya seolah-olah tidak berdosa dan teraniaya. Merintih dengan menyebut dosa dan sebagainya hanyalah sesuai di masjid atau surau tempatnya.

Sekarang adalah masa untuk memilih sama ada meneruskan perjuangan atau jika sayang dengan peluh dan keringat, berehat saja di rumah bersama keluarga. (SH 26/11/2015