‘LikeOrange, pencerahan politik masa depan’ – Amanah Perak
Cabaran besar dalam usaha menegakkan keadilan dan masyarakat bertamadun ialah mengeluarkan pemikiran ikut-ikutan pengikut-pengikut parti politik kepada pemimpin-pemimpin parti mereka.
Oleh itu, Pemuda Parti Amanah Negara Perak melancarkan kempen LikeOrange untuk memecahkan kejumudan pemikiran rakyat Malaysia yang diindoktrinasikan secara songsang oleh pemimpin politik, terutama dari BN.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak Dr Mohammad Tazli Azizan berkata, sikap pemimpin yang memanipulasi cerita dan fakta, disulami dengan janji-janji manis, bersadurkan dalil-dalil untuk mendapatkan sokongan ahli parti menyebabkan penyokong parti politik menjadi tertutup, tidak rasional dan terlalu beremosi.
“Walaupun saya kini bersama AMANAH, saya akan pastikan pimpinan yang bersikap sebegini akan ditegur, supaya mereka tidak memanipulasi fakta; sentiasa berlapang dada apabila ditegur; telus pada gerak kerja mereka; jujur; peduli dan inklusif tanpa ada kepentingan peribadi. Ia adalah akhlak Rasulullah yang wajib kita contohi.
“Saya sendiri memohon teguran sahabat-sahabat sekiranya saya terikut-ikut cara pemimpin-pemimpin yang saya sebutkan seperti di atas.
“Setiap jiwa ini, adalah jiwa yang merdeka. Tidak ada sesiapa yang akan bertanggungjawab (accountable) ke atas kita di akhirat kelak, melainkan diri kita sendiri. Tidak ada pemimpin atau jemaah atau parti politik yang boleh melindungi kita di padang Masyhar kelak.
“Moga kita semua dapat menggerakkan usaha mendidik masyarakat ini menjadi masyarakat yang bertamadun,” katanya dalam satu kenyataan yang diemel ke Suara pakatan daily.