OLEH YONG
Yong menentang apa-apa projek yang berpotensi akan menjejaskan alam-sekitar dan sumber sara hidup penduduk tempatan. Tidak kira projek itu datang dari pihak mana - Pakatan Harapan atau Barisan Nasional.
Walau bagaimanapun, Yong juga menentang pengeksploitan isu alam-sekitar sebagai cara untuk menjatuhkan kerajaan yang cuba menangani masalahnya supaya tiada pihak yang akan mendapat untung atas angin. Mutakhir ini ramai sangat yang ingin mencari laba dengan cara yang singkat, tanpa berusaha keras.
Apapun, pihak rakyat marhaen yang terkesan dengan penerusan projek tersebut harus mendapat pertimbangan yang adil dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pihak Kerajaan Negeri hendaklah secara telus memperincikan (jika belum lagi) bagaimana pemuliharaan alam-sekitar dan sumber pendapatan yang terjejas dengan projek itu diuruskan.
Berikut kenyataan media Ketua Menteri Pulau Pinang yang menjelaskan kedudukan sebenar projek tersebut:
Kenyataan Media Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada 24.11.2015.
Adakah Lim Guan Eng mahu dikenang sebagai orang yang membiarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi bankrap berikutan terpaksa membayar pampasan besar kerana menghentikan projek-projek tebus guna tanah yang telah diluluskan oleh Kerajaan BN dahulu yang hanya menguntungkan kroni-kroni BN?
Nampaknya ini yang menjadi kesimpulan tulisan seorang kolumnis Malaysiakini yang menyokong tindakan seorang ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu, yang memberi undi kepada usul UMNO, dan tindakan 5 ADUN PKR yang berkecuali (iaitu tidak memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
Lima ADUN PKR tersebut adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Norlela Ariffin (Penanti), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr T Jayabalan (Batu Uban), dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk).
ADUN DAP Teh telah pun mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada parti serta menjelaskan beliau akan kembali kepada perjuangan DAP. Beliau menambah bahawa beliau rela menerima apa sahaja tindakan daripada parti berikutan kesilapannya, dan kini sedang menanti tindakan disiplin.
Saya tidak percaya bahawa saya dipilih oleh rakyat untuk membiarkan Pulau Pinang menjadi bankrap. Lebih baik saya dikritik daripada dipuji, asalkan saya dapat memastikan Pulau Pinang tidak bankrap, malah dapat terus meningkatkan lebihan hasil ekonomi untuk membolehkan kita melabur dalam pembinaan infrastruktur awam, pendidikan dan inovasi.
Kerajaan Pulau Pinang hari ini telah mempunyai pengalaman yang pahit dan pedih apabila terpaksa membayar pampasan RM14.7 juta (dan masih tidak mendapat pulangan) berikutan skandal tanah Tang Hak Ju yang berpunca daripada perbuatan kerajaan lama BN, dan membayar pampasan RM20 juta kepada Boustead Holdings Bhd kerana mengurangkan ketinggian hotelnya di George Town yang diluluskan oleh kerajaan BN yang terdahulu, daripada 12 tingkat kepada 5 tingkat.
Fakta sebenar tentang usul ADUN UMNO berhubung isu tebus guna tanah
Walaupun BN telah meluluskan 3,241 ekar tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar telah ditebus guna. Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang oleh E&O, boleh menyebabkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion. Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap.
Sewaktu mengemukakan usul tentang tebus guna tanah, ADUN UMNO Muhammad Farid Saad tidak pula meminta maaf kepada rakyat Pulau Pinang walaupun beliau sendiri adalah salah seorang wakil Kerajaan Negeri BN sebelum tahun 2008 yang telah meluluskan 3,241 ekar tanah tersebut, berbanding 60 ekar oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada masa ini.
Beliau juga tidak menawarkan sebarang ganti rugi daripada Kerajaan Pusat BN kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang jika projek tebus guna tanah tersebut ditangguh atau dibatalkan.
Apa yang mengejutkan saya ialah ada beberapa aktivis NGO yang menyokong usul Farid dengan tidak mempedulikan fakta bahawa tebus guna tanah 3,241 ekar yang begitu besar itu adalah diluluskan oleh kerajaan BN, serta mereka buat-buat tidak nampak tentang ketiadaan pampasan dan gantirugi daripada Kerajaan Pusat BN jika tebus guna tanah ditangguh atau dibatalkan.
Mengenai usul Farid yang meminta dilaksanakan kajian menyeluruh seperti kajian Penilaian Impak Alam Sekitar yang Terperinci (DEIA) serta menjalankan rundingan awam, ia memang sudah menjadi kewajipan undang-undang yang tercatat dalam undang-undang Persekutuan. Jika gagal melaksanakannya, ia bererti tebus guna tanah tidak boleh dilakukan. Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah lari dari tanggungawab untuk mengadakan rundingan awam atau pertemuan dewan orang ramai. Jadi memang tidak ada isu berbangkit dalam hal ini.
Perbezaan di antara PORR dan tebus guna tanah adalah PORR belum dimuktamadkan (dan tidak pernah dibina sehingga hari ini) sedangkan projek-projek tebus guna tanah telah diluluskan dan dimuktamadkan oleh BN
Malaysiakini telah menyiarkan satu kolum yang bertanya tentang pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pernah meminta BN menghormati hak 2 ADUN MCA yang berkecuali terhadap usul DAP oleh Danny Law pada tahun 2002, tetapi Lim Guan Eng tidak boleh menghormati hak 5 ADUN PKR untuk berkecuali dalam isu usul UMNO ini.
Kita perlu ingat bahawa 2 ADUN MCA yang berkecuali pada 2002 itu adalah kerana mereka membantah projek Lingkaran Jalan Luar Pulau Pinang (PORR) bernilai RM1 bilion yang dicadangkan oleh kerajaan BN mereka sendiri.
Perbezaan di antara PORR dan tebus guna tanah adalah PORR belum dimuktamadkan (dan tidak pernah dibina sehingga hari ini) sedangkan projek-projek tebus guna tanah telah diluluskan dan dimuktamadkan oleh BN
Sekarang, usul UMNO mencadangkan supaya ditangguhkan tebus guna tanah yang diluluskan oleh BN yang akan mengakibatkan pampasan dibayar oleh Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, dan bukannya oleh BN.
Ini sangat tidak adil dan inilah sebabnya mengapa 23 ADUN Pakatan Harapan menolak usul UMNO itu. Menolak usul UMNO tersebut juga memperlihatkan pendirian kami yang tidak bersetuju dengan keputusan BN meluluskan 3,241 ekar tanah untuk tebus guna.
Sebaliknya, tindakan menyokong usul UMNO itu atau mengambil sikap berkecuali bererti membiarkan BN dan UMNO lepas dari tanggungjawab mereka, sedangkan merekalah yang sebenarnya gagal melindungi kepentingan orang awam.
Menyokong usul UMNO itu atau mengambil sikap berkecuali juga akan memaksa Kerajaan Negeri sekarang membayar pampasan terhadap penangguhan tebus guna tanah yang bakal membawa kepada bankrapsi.
Dengan itu, mengapa perlu Kerajaan Negeri sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya?
Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang sedia bertanggungjawab penuh terhadap kesilapan kami, jika ada, tetapi kami tidak akan menyalahgunakan wang rakyat atas kesalahan dan kegagalan BN, terutamanya apabila tiada gantirugi daripada Kerajaan Persekutuan bagi apa-apa pampasan yang perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri apabila menangguh atau membatalkan tebus guna tanah.
Kegagalan melindungi kepentingan Kerajaan Negeri daripada dipaksa membuat bayaran pampasan yang besar serta memilih untuk menyokong atau berkecuali dengan usul UMNO tersebut adalah sangat tidak bertanggungjawab.
Tidak ada seorang pun daripada 5 ADUN PKR yang mengambil keputusan itu berkecuali itu telah bangun untuk membahaskan usul tersebut. Mereka juga tidak memberitahu Kerajaan Negeri atau mana-mana empat pemimpin utama PKR Negeri, iaitu Timbalan Speaker, Dato Maktar Shapee; dan Timbalan Ketua Menteri 1, Dato Mohd Rashid Hasnon, serta Exco-Exco Kerajaan Negeri, Dato Abdul Malek dan Dr Afif Bahardin, yang menolak usul UMNO itu.
Sebaliknya, Ketua Whip PKR Ong Chin Wen hanya memberitahu seorang pemimpin kebangsaan PKR tentang niat untuk berkecuali tetapi tidak pula memberitahu Exco-Exco PKR atau Timbalan Ketua Menteri 1 – seolah-olah ia adalah undi tidak percaya beliau terhadap pemimpin PKR Negeri Pulau Pinang. Kini sudah heboh, siapa sebenarnya yang berkuasa dalam DUN Pulau Pinang, PKR 5 atau PKR 4?
Walaupun tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan terjejasnya keyakinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang terhadap 5 ADUN PKR dan 1 ADUN DAP tersebut, mereka tetap kekal sebagai ADUN Kerajaan Pakatan Harapan.
Buat masa ini, semua tugas mereka sebagai ADUN Pakatan Harapan berjalan seperti biasa bersama dengan peruntukan kerajaan untuk kawasan masing-masing. Kerajaan Negeri akan menilai peranan dan prestasi mereka dalam tugas-tugas yang melibatkan tugasan pentadbiran kerajaan.
********************
Setakat Yong tidak pasti sama ada perbuatan 5 ADUN PKR itu ada kaitan dengan kem-kem yang wujud dalam PKR yang kini dikenali sebagai PKRAzmin dan PKRWan Azizah.
Yong berharap kepada sahabat-sahabat Yong dalam PKR supaya mencari jalan yang terbaik untuk menangani "differences" mereka dengan segera.
Perpecahan dalam PKR hanya akan menguntungkan BN, sebagaimana perpecahan dalam PAS.
Anda silap jika anda fikir PRU14 masih lama lagi.