Firaun lebih bersopan ajak Nabi Musa debat. Menantu Hadi di"pukul" Husam – Husam



Firaun lebih bersopan ajak Nabi Musa debat - Husam

Firaun lebih bersopan ajak Nabi Musa debat – Husam


ULASAN: Saya menghargai kesedian Dewan Harian Pas Pusat memanggil saya untuk menjelaskan teguran saya terhadap perjalanan kerajaan Kelantan.

InsyaAllah saya bersedia berbuat demikian.

Mengikut kenyataan SUA Pas, notis telah dihantar kepada saya (melalui pos?), malangnya saya belum menerimanya.

Saya meninggalkan Malaysia pada Sabtu, 14hb November. Sehingga tarikh itu, saya tidak menerima apa-apa surat. Kini saya di China tetapi jika benar notis itu dikeluarkan, saya tetap boleh dihubungi melalui sms, whatsapp atau e mail.

Namun tidak satu cara pun saya dihubungi.

Dalam kenyataan pertama SUA petang semalam, dikatakan perjumpaan itu adalah pada 24hb November ini (lima hari notis). Sejam kemudian, berita laman web menunjukkan ia diubah kepada 26hb November.

Nampak jelas ia diputuskan amat tergesa-gesa. Mengapa? Apa yang hendak dikejar?

Jadual asal untuk saya pulang ialah 22hb (empat hari sebelum perjumpaan yang baru dijadualkan) tetapi mungkin atas nasihat doktor, rawatan saya dilanjutkan beberapa hari lagi.

Memandangkan notis itu amat singkat, saya sangat menghargai jika SUA Pas dan DH Pas Pusat dapat menangguhkan, sekurang kurangnya seminggu selepas saya berada dalam negara.

Ini untuk membolehkan masa dan keadaan yang lebih selesa bagi saya menyediakan apa-apa persiapan perlu.

Saya yakin, ia bukan masalah besar kepada Dewan Harian Pas Pusat untuk meletakkan satu tarikh baru yang lebih selesa.

Larangan Debat Saya-Dato’ Mustafa

Melarang perdebatan saya dan bekas SUA Pas yang dibuat dua atau tiga jam selepas persetujuan oleh Dato’ Mustafa, seakan menunjukkan ada sesuatu yang hendak dilindungi dari terbongkar. 

Juga tiadanya penyelarasan keputusan di kalangan pimpinan tertinggi Pas dibuat.

Bukankah Dato’ Mustafa adalah juga anggota Dewan Harian?
 
Adakah keputusan Dato’ Mustafa tidak dirujuk lebih dahulu kepada pimpinan parti?

Atau persetujuan Dato’ Mustafa hanya satu sandiwara semata-mata?

Dengan itu, Dato’ Mustafa tidak akan dikata orang segan dan enggan berdepan menafikan dakwaan saya?

Atau Pas tidak ada keyakinan dan kepercayaan kepada kebolehan Dato’ Mustafa?

Cara ini memburukkan imej parti dan tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah parti yang besar dan berwibawa.

Debat 21hb: Fir’aun Pun Berunding Dengan Musa

Sehebat dan segagah Fir’aun sekalipun, bila hendak ditentukan masa, tarikh, tempat dan bentuk pertarungan antara Nabi Musa dan profesional sihir Di Raja, Fir’aun merundingi Musa.

Tidak ada keputusan unilateral atau sebelah pihak dilakukan.
Pada hal Fir’aun itu diktator yang paling tersohor. Runding merundingi tetap berlaku.

Nabi Musa – mengikut Al Qur’an – yang mencadangkan:
– Masa : Dhuha/di waktu pagi sinarnya belum tersangat terik (Surah Ta Ha : ayat 59)

– Tempat : Juga dicadangkan oleh Musa, iaitu di ibu kota (namun saya tidak sempat merujuk ayat berkenaan)


– Tarikh : Yaumu Ziinah/hari perayaan nasional ( Ayat yang sama)

Bahkan format pertarungan itu pun berlaku perbincangan. Ayat 65 dan 66 Surah Ta Ha menyebut jurucakap Ahli Sihir Fir’aun bertanyakan Musa siapa patut memulakan lemparan. Musa mencadangkan ia dimulakan oleh pihak Ahli Sihir.

Itu aturan dari dunia peradaban silam. Ia kekal hingga kini sebagai amalan bersopan yang diikuti di mana-mana.

Al Qur’an membawa kisah ini untuk membentuk peradaban ummat ini juga.

Namun, rupanya ada juga insan yang ingin mempamirkan keberaniannya yang luar biasa dengan menetapkan sendiri tarikh, tempat, masa dan segalanya berkait apa yang dikatakan debat saya dan beliau.

Hingga kini saya tidak pernah dihubungi walau pun sepatah dalam apa jua bentuk.

Saya tentunya tidak lebih baik dari Nabi Musa a.s dan dia tentunya tidak lebih buruk dari Fir’aun.

Mengapa untuk isu ‘debat’ yang tidak sehebat mana pun, perlukan eksploitasi serendah itu?

Dunia sudah menjadi begitu sempit untuk satu pengaturan yang bersopan?

Secara bersendiri, hero kita ini menetapkan tarikh besok untuk saya bertemunya di KUISZM.

Saya tidak ada masalah menemui beliau di mana jua.
Tetapi biarlah resam diikuti ramai digunakan.

Janganlah kerana beliau begitu hebat, insan kerdil yang lain kena mengikut semua telunjuknya, hatta tarikh debat pun hanya beliau yang mesti tentukan seorang diri.

Jika watak seperti ini menjadi sebahagian kerajaan negara ini atas apa jua platform, apa akan berlaku?

Jika orang yang lebih hebat dari beliau iaitu Dato’ Mustapa pun InsyaAllah saya sanggup berdepan, tidaklah satu keberatan untuk saya menemui beliau.

Biarlah ia diatur secara persetujuan bersama. Bila-bila pun saya bersedia, jika tidak bertindih dengan temu janji yang telah diatur lebih awal.

Husam Musa 20 November 2015 8 Safar 1437 H