ROYALTI PETROLEUM DAN TUNGGAKAN CARUMAN YIK


Saya difahamkan, Petronas/Kerajaan Pusat dalam proses membayar 'wang ihsan' tahun 2015 kepada Kelantan sejumlah RM 50 juta.
RM 25 juta akan dibayar melalui MAIK dan bakinya RM 25 lagi menerusi JPP.

MAIK pula disebut akan menyalurkan RM 8 juta untuk kegunaan YIK. 

Jika maklumat ini benar, saya berharap sebahagian dari RM 8 juta itu akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan caruman guru-guru YIK.

Itu pun sudah tentu tidak mencukupi berbanding caruman dan bayaran pinjaman yang tertunggak sudah mencecah hampir RM 15 juta.

Sungguhpun saya menolak bayaran royalti ditukarkan kepada wang ihsan dan sebahagian darinya pula dibayar kepada agensi kerajaan Pusat sendiri, namun apa kan daya?

Perjuangan royalti bagaikan sendu.

Apa yang dulunya diperlekeh oleh banyak orang, kini paling kurang Kelantan menerima cebisan khazanah petroleum sekali pun atas nama ihsan.

Berbalik kepada tunggakan bayaran caruman dan pinjaman guru-guru YIK, saya tidak salahkan Exco Pendidikan atau pegawai YIK.

Beliau menjaga portfolio pendidikan tetapi isu ini adalah isu kewangan di Kota Darulnaim.

YIK tidak dapat berbuat apa-apa jika wang yang diberikan oleh Kota Darulnaim tidak mencukupi.

'Kewangan' adalah termasuk pengurusan aset yang diberikan kepada YIK selama ini.

Sekadar satu contoh, pernah saya hujahkan untuk menolak permohonan satu syarikat konsensi perladangan YIK untuk menukar kawasan yang telah diluluskan dengan kawasan baru dalam hutan simpan masih mempunyai kayu kayan.

Logik saya adalah kerana cadangan asal syarikat ini adalah untuk membuat perladangan. Apa perlu ditukar dengan kawasan berhutan?

Hujahan saya ditolak. Bila kelulusan diberi, didapati ia bertindih dengan kelulusan membalak sedia ada. Kerajaan negeri menerima bantahan dari Persatuan Pembalak Negeri Kelantan.

Malangnya, bukan syarikat ini yang diputuskan berundur tetapi syarikat-syarikat yang telah mendapat kelulusan diminta memberi jalan dengan cara mereka diberi kawasan lain dua kali lebih luas dari kawasan asal dan diberi hak menebang habis membangunkan ladang.

Hari ini saya mendapat tahu, dari 5,400 ekar yang diluluskan kepada KTeknik (bukan nama penuh) itu, hanya 3,600 ekar sahaja boleh ditanam dengan sawit. Selebihnya adalah tanah berbukit tinggi dan curam.

Saya hairan apa sebab dulunya kawasan ini dipohon oleh syarikat ini pada hal ia berbukit curam.

Saya berharap, melalui catatan ini, hal yang sama tidak berlaku di bawah YIK sekarang dan akan datang.

Kesimpulan, usahlah dipersalahkan pihak lain termasuk YIK atau Exconya untuk menutup kelemahan sendiri.


Husam Musa
Adun Salor
5 Muharam 1437H/18 Oktober 2015