(Oleh Ermizi Muhamad)
PETALING JAYA 6 OKT: Kartunis politik Malaysia, Zulkflee Anwar Ulhaque atau Zunar terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dipilih sebagai individu pertama negara ini oleh Amnesty International melalui kempen antarabangsanya – ‘Write for Rights 2015′.
Menurut Amnesty, pemilihan Zunar selepas merujuk penglibatan beliau dalam konteks tuntutan demokrasi bersuara melalui medium kartun.
Beliau antara 12 individu yang dipilih dari seluruh dunia meliputi Congo, Mexico, El Salvador, Burkina Faso, Myanmar, Uzbekistan, Greece, Saudi Arabia, Syria dan Iran.
Zunar dalam sidang media pengumuman itu berkata, pemilihan dalam kempen ini merangsang beliau untuk terus memperjuangkan hak kebebasan di negara ini.
Katanya, walaupun ditekan pemerintah, beliau tetap komited untuk mengetengahkan penafian kerajaan dalam memberi ruang kepada pihak tertentu yang tidak sehaluan dengan mereka.
“Saya akan mengambil perhatian secara positif untuk mengetengahkan betapa buruknya situasi kebebasan media di Malaysia.
“Saya akan terus berkempen dan memperjuangkan hak kebebasan bersuara di Malaysia, dan saya juga mahu masyarakat antarabangsa melihat betapa buruknya ruang kebebasan di Malaysia dengan merujuk beberapa kes yang dikenakan terhadap saya,” ujarnya.
Kempen julung kali itu turut mengajak seluruh anggota masyarakat antarabangsa menyokong prinsip demokrasi yang lebih bebas tanpa sebarang tekanan pihak-pihak tertentu.
Sebagai tanda sokongan berkenaan, masyarakat di Malaysia juga boleh menghantar karya lukisan atau gambar yang memaparkan tuntutan rakyat terhadap perjuangan ke arah kebebasan bersuara.
Mereka boleh memuat naik karya berkenaan di media sosial – Twitter dan Instagram menggunakan #Zunar #W4R #lakarMYbebas.
Zunar yang merupakan pemegang anugerah “Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial” oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa (CRNI) dan anugerah Hellman Hammett sebagai pembela hak asasi dari dari Human Rights Watch pada 2011 pernah disiasat di bawah Akta Mesin Cetak dan Akta Penerbitan, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan November tahun lepas dan turut dipenjarakan susulan penerbitan buku “Cartoon-O-Phobia.
Beliau juga kini didakwa di bawah 9 pertuduhan Akta Hasutan, dan boleh dipenjara sehingga 43 tahun jika sabit kesalahan.
Ekoran itu, pemilihan Zunar dalam kempen ini jelas Amnesty lagi, disebabkan Zunar merupakan rakyat Malaysia yang pertama didakwa paling banyak di bawah Akta Hasutan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67984