Bajet ‘gula-gula’ pancing undi PRN Sarawak – PKR
Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata peruntukan besar yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek luar bandar Sabah dan Sarawak dianggap sebagai ‘Belanjawan Gula-Gula’ bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.
Kata Shamsul, beliau tidak terkejut dengan tawaran kosong yang dibuat Kerajaan Barisan Nasional bagi meraih sokongan daripada masyarakat di negeri itu khususnya di Sarawak.
“Saya fikir itu peruntukkan yang menggunakan sepenuhnya bagi tujuan PRN Sarawak yang dijangka akan diadakan pada tahun depan.
“Bagi saya, ia hanya sekadar pengumuman dan sudah pastinya hanya gula-gula yang digunakan sebagai kaedah untuk menarik semula keyakinan pengundi di Sarawak,” katanya dipetik pemberita di Lobi Parlimen.
Terdahulu, Najib ketika membentangkan Belanjawan 2016 mengumumkan agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak memperkenalkan pinjaman membina rumah panjang, subsidi baja padi huma dan menyeragamkan barangan terpilih antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Malah agenda tersebut turut diteruskan melalui projek Lebuhraya Pan-Borneo dan pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk penerbangan kelas ekonomi laluan perkhidmatan luar bandar.
Bagaimanapun kata Shamsul, segala pengumuman tersebut amat meragukan dengan merujuk perolehan perbendaharaan negara yang dilihat semakin menipis ekoran hutang-hutang yang terpaksa ditanggung kerajaan.
“Isunya di sini, adakah kerajaan mempunyai belanja yang mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan itu dengan merujuk segala beban hutang-hutangnya?
“Saya fikir ia tidak mampu dan akan berakhir dengan sekadar pengumuman kosong saja,” ujar Ahli Parlimen Bukit Katil itu.