‘Bajet 2016, adakah saya akan berhenti menganggur?’
“Adakah Bajet 2016 boleh menjamin saya dapat kerja? Saya dah menganggur sejak hujung Julai lalu,” kata Joseph Yong kepada wartawan Suara pakatan daily dalam tinjauan maklum balas terhadap bajet Najib Razak yang dibentangkan pada 23 Oktober lalu.
Sebelum ini, Joseph memperolehi pendapatan sebanyak RM1,600 sebulan sebagai pemandu van. Beliau yang berusia 45 tahun amat berharap kos sara hidup boleh diturunkan kalau kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan diturunkan daripada 6% kepada 3%. Tetapi hampa sekali, kadar GST tersebut tidak diturunkan langsung.
“Ramai rakyat mengeluh dengan kadar 6% ini. Mengapa kerajaan tidak mempedulikan rintihan rakyat? Pemilik kilang, peruncit dan pengguna biasa seperti kita semua rasa terhimpit. Kita meminta kerajaan menurunkan kadarnya tetapi kerajaan berdegil juga dengan 6%,” keluh Joseph.
Seorang pemilik kilang bernama Anthony Cheong pula memberitahu kos mengimpot bahan mentah naik mendadak disebabkan kelemahan nilai mata wang ringgit tetapi isu ini tidak ditunjukkan jalan penyelesaiannya semasa pembentangan Bajet 2016.
Menurut Anthony, beliau berasa kecewa dengan sikap kerajaan BN yang diam seribu bahasa terhadap persoalan bagaimanakah ingin menyakinkan para pelabur asing supaya melabur semula di Malaysia kerana setakat ini RM17 bilion telah dikeluarkan oleh pelabur asing dari negara kita.
“Adakah angka ini akan mencecah RM20 bilion nanti?” soal beliau.
Justeru itu, walaupun Bajet 2016 telah menambahkan kadar BR1M sebanyak RM50, Joseph dan Anthony kurang yakin kerajaan dapat menyelesaikan kemelut ekonomi yang melanda negara kerana sehingga kini tiada langkah jelas yang diambil oleh kerajaan.