Bahana GST: Sentimen perniagaan runcit jatuh ke paras negatif

Oleh:Amiruddin Ahmad




Bahana GST: Sentimen perniagaan runcit jatuh ke paras negatif

Berikutan dengan laporan sebuah akhbar harian Bahasa Inggeris bertarikh 3 Oktober 2015 bahawa sentimen perniagaan telah jatuh ke paras negatif, wartawan Suara Pakatan Daily telah mewawancara beberapa orang yang terlibat dalam sektor peruncitan.

Seorang pemilik kedai pakaian, seorang lagi pemilik kedai kasut dan pemilik salon mendandan rambut untuk mengetahui pendapat mereka. Semua premis perniagaan tersebut bertempat di kawasan Kepong, kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Kedua-dua pemilik kedai barang runcit memberitahu bahawa pada keseluruhannya, angka jualan telah jatuh sebanyak 3 peratus. Menurut mereka produk makanan dalam tin, minuman dalam kotak serta aiskrim adalah di antara beberapa barang makanan yang mengalami penurunan dalam jualan selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan dilaksanakan mulai 1 April lalu.

“Penurunan jualan kedai runcit kami pada tahun ini adalah yang paling teruk sekali sejak kedai ini dibuka beberapa dekad yang lalu. Semasa Krisis Kewangan Asia 1997-1998. Dulu perniagaan okay tetapi kali ini amat teruk,” kata Chee Meng yang berusia 40 tahun yang mengambil-alih urusniaga kedai runcit daripada ayah beliau sejak bulan Januari lalu.

Pemilik kedai runcit yang lain, seorang warga emas berusia 80 tahun, memberitahu bahawa beliau mungkin akan menutup perniagaannya pada hujung tahun kerana lanjut usia dan kedua-dua anaknya tidak berhasrat untuk mengambil-alih perniagaan tersebut.

“Lagipun, kerugian makin bertambah setiap hari,” ulasnya muram.

Pemilik kedai pakaian, pemilik kedai kasut dan pemilik salon mendandan rambut pula memberitahu kemungkinan mereka akan menutup perniagaan selewat-lewatnya selepas Tahun Baru Cina Februari 2016 akibat kerugian sejak bulan April lalu.

Mereka merungut jumlah pelanggan telah susut sebanyak 70 peratus hingga 80 peratus.

“Tak berbaloi menjalankan perniagaan. Kebanyakan waktu tiada pelanggan, kalau ada pun, satu atau dua orang sahaja yang datang.

“Tak boleh ‘survive’ macam ini. Lebih baik tutup sebelum kerugian bertambah banyak,” kata Robert Lee, pemilik kedai kasut yang berusia dalam lingkungan 40an.