Amanah lipat ganda usaha luaskan pengaruh – Mat Sabu
Kelulusan Parti Amanah Negara (Amanah) adalah pembuka jalan bagi usaha menyebarluaskan pengaruh parti ke seluruh negara.
Demikian perutusan Presiden Amanah Hj Mohammad Sabu dalam satu kenyataan kepada Suarapakatandaily.
“Apabila pihak ROS telah meluluskan nama Parti Amanah Negara (AMANAH) bersama simbolnya dan pindaan-pindaan lain, maka sekarang ini Parti AMANAH bergerak secara sah ke seluruh negara.
“Oleh itu, saya menyeru kepada ahli dan penyokong AMANAH di semua peringkat, mengembeling tenaga seluruhnya untuk melebarkan pengaruh, meramaikan ahli, memperkuatkan penubuhan dan melengkapkan jawatankuasa di peringkat negeri, kawasan dan cawangan.
“Begitulah juga Pemuda dan Wanita AMANAH, perlu bergerak secara inklusif dan menumpukan kepada pengambilan ahli, penyebaran pengaruh dan maklumat kepada seluruh rakyat,” katanya .
Menurut beliau lagi, Amanah perlu terus melangkah ke hadapan dan berkerja keras untuk menjadi satu parti yang utama, sekarang dan pada masa yang akan datang.
“Keghairahan orang ramai terutama mereka yang bermaklumat, sama ada di bandar dan separa bandar, pegawai kerajaan mahu bekas pegawai kerajaan, mesti dilipatgandakan dengan mendaftarkan mereka sebagai ahli disamping melebarkan pengaruh AMANAH di peringkat kampung, akar umbi seperti sedang dilakukan sekarang ini.
“Pergiat dan pertingkatkan kerja-kerja kita. InsyaAllah dalam masa yang singkat AMANAH akan muncul sebagai sebuah parti yang utama di Malaysia,” katanya lagi