Undi tak percaya: Tiba masanya MP BN cinta sejarah!
KENYATAAN MEDIA: Ahli parlimen BN perlu berganding bahu sebulat suara menyokong undi tidak percaya terhadap pentadbiran semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Sehingga kini tidak ada jawapan yang memuaskan daripada beliau melainkan meminta rakyat untuk melupakan wang derma 2.6 billion yang kononnya telah dimasukkan dalam akaunnya. Tambahan lagi, semua kakitangan yang terlibat dalam proses penyiasatan tersebut akan diambil tindakan samada diberhentikan kerja atau dipindahkan.
Apakah ini pemimpin yang kita mahukan? Kredibiliti Perdana Menteri itu dipersoalkan apabila dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dan skandal kewangan negara yang semakin parah, semuanya berkaitan dan melibatkan Perdana Menteri Najib Tun Razak. Bermula dengan skandal Scorpene, KWSP, 1MDB, dan yang terbaru wang derma 2.6 Billion. Kontroversi demi kontroversi yang menjejaskan imej negara dan membantutkan matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Pemimpin BN bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita dan salah satunya cara adalah bebas rasuah dan hentikan pembaziran wang negara.
Ini adalah mesej saya kepada rakan-rakan BN: Berani melangkah kehadapan. Nyatakan sokongan undi tidak percaya terhadap Najib. Tidak perlu takut pada kuasanya! Untuk sekian kalinya, lakukanlah perkara yang betul untuk generasi akan datang. Percayalah anak-anak kita akan berterima kasih pada anda satu hari nanti. Ketika itu, kamu akan berjalan dengan perasaan bangga dan menjadi wira kerana menyelamatkan Malaysia. Anda akan menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia yang melakukan perubahan.
YB Zuraida Kamaruddin adalah Ahli Parlimen Ampang