KENYATAAN MEDIA: Di dalam sidang media khas yang diadakan pada minggu lalu, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyatakan bahawa Bank Negara sudah selesai menjalankan penyiasatan terhadap segala urusan transaksi perbankan yang berkait dengan 1MDB dan kertas siasatan yang menyatakan butir-butir terperinci penyiasatan yang dijalankan telah dihantar kepada Peguam Negara. Tan Sri Dr Zeti juga menyebut bahawa kandungan kertas siasatan tersebut turut mengandungi beberapa rekomendasi dari Bank negara untuk tindakan selanjutnya oleh Peguam Negara.
2. Meskipun Tan Sri Dr Zeti dan Bank Negara tidak menjelaskan secara terpeinci skop penyiasatan, penemuan atau hasil dari penyiasatan yang dijalankan Bank Negara, namun jika kita mengikuti perkembangan dari maklumat dan fakta-fakta yang telah sedia ada di domain awam, saya percaya salah satu perkara yang disiasat Bank Negara ialah transaksi penyaluran wang sebanyak RM42 juta dari akaun syarikat SRC International ke akaun peribadi milik Perdana Menteri. Saya juga tidak terkejut sekiranya penemuan dari penyiasatan yang dijalankan berjaya menunjukkan berlakunya unsur-unsur penyelewengan dan kesalahan jenayah di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
3. Oleh yang demikian, saya juga percaya rekomendasi yang dimaksudkan oleh Tan Sri Dr Zeti ialah supaya Peguam Negara menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat melakukan atau bersubahat di dalam kesalahan-kesalahan jenayah sebagaimana hasil penyiasatan yang dijalankan oleh Bank Negara.
4. Amat menghairankan setelah beberapa hari Tan Sri Dr Zeti tampil menjelaskan perkembangan penyiasatan yang dijalankan Bank Negara, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali masih berdiam diri tanpa memberikan sebarang respon rasmi terhadap kenyataan Tan Sri Dr Zeti tersebut. Apakah Peguam Negara masih tidak menyedari bahawa skandal 1MDB ini dan kes-kes yang berkaitan dengannya telah mencetuskan satu krisis keyakinan yang terbesar di dalam sejarah Malaysia hingga memberi kesan negatif kepada ekonomi dan kehidupan rakyat?
5. Sikap berdiam diri Peguam Negara ini menimbulkan persoalan adakah Peguam Negara berada di dalam dilema kerana berkemungkinan hasil penyiasatan Bank Negara ini telah menyeret sama individu-individu berjawatan besar, lantas ‘skrip’ yang sesuai sedang dirangka bagi memberi justifikasi kepada apa jua keputusan yang bakal diambil Peguam Negara yang berkuasa penuh dalam hal ehwal pendakwaan jenayah sebagaimana peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan? Atau adakah Peguam Negara masih ‘ragu-ragu’ dengan status keesahan (validity) pelantikan beliau sebagai Peguam Negara hingga menyukarkan beliau untuk membuat keputusan besar berkaitan kes ini?
6. Bagi saya, Peguam Negara bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia untuk segera bertindak di atas hasil penyiasatan skandal 1MDB yang telah dijalankan oleh Bank Negara dan agensi-agensi penguatkuasa yang lain. Sebarang tindakan ‘cover-up’ atau strategi mengalih tumpuan kepada isu-isu lain seperti isu garis panduan sumbangan politik atau cerita sensasi kononnya wujud gerakan menggulingkan kerajaan yang sedang dihebaoh-hebohkan oleh pemimpin UMNO dan media milik mereka tidak akan membantu untuk menyelamatkan ekonomi negara atau memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi-institusi penting negara.
7. Tindakan segera Peguam Negara ini amat dinantikan oleh kita semua apatah lagi selepas kita dikejutkan dengan pengakuan yangi dibuat oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan di dalam wawancara beliau dengan akhbar The Star Online yang disiarkan lewat tengah malam semalam. Di dalam wawancara tersebut, Rahman Dahlan memberi gambaran seolah-olah tindakan Perdana Menteri memberhentikan perkhidmatan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk digantikan dengan Peguam Negara yang baru adalah berpunca dari usaha untuk mendakwa Perdana Menteri di mahkamah. Ianya bermaka pemecatan Gani Patail adalah satu langkah yang diambil Perdana Menteri untuk menghalang sebarang pendakwaan di jalankan ke atas Perdana Menteri. Ini adalah satu pengakuan terbuka yang sangat mengejutkan yang membuktikan bahawa perdana Menteri telah menyalahgunakan kuasanya untuk menyekat insitusi pelaksana hukum di negara ini dari melaksanakan tugas dengan adil dan amanah.
8. Saya percaya kenyataan Rahman Dahlan tersebut tidak akan berlalu begitu sahaja bahkan akan membangkitkan lagi kemarahan rakyat. Namun, bola sekarang di kaki Peguam Negara untuk melakukan tindakan yang tepat dan benar tanpa tunduk pada arahan sesiapa.