Hadi punca kematian Pakatan Rakyat-
Hadi adalah punca utama
kematian Pakatan Rakyat bukan saja kerana mencabul Dasar Bersama dan
prinsip muafakat Pakatan Rakyat tetapi juga kerana cuba untuk menjadi
“tuan” Pakatan Rakyat.
Berat hati saya untuk
menyatakan rasa kesal yang amat sangat apabila melihat Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus mengulang-ulang propaganda Umno bahawa
DAP mahu menjadi “tuan” ke atas parti lain.
Propaganda ini
menyelindungkan pendirian politik baru beliau untuk menjadi pembela
terkuat Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan para pemimpin dan ahli Umno
sendiri sedang mencari arah baru untuk negara ini.
Sebagai contoh, ketua
Umno Cheras Syed Ali Alhabshee kelmarin menyifatkan Pakatan Baru
pembangkang tidak mampu menggugat Umno. Beliau juga terus menyebarkan
pembohongan bahawa Gabungan Baru berkenaan akan dikuasai oleh DAP
seperti mana kononnya DAP dulu menguasai Pakatan Rakyat yang telah
berkubur.
Dakwaan yang hampir
sama diulang oleh Hadi kelmarin dengan menyebut bahawa golongan yang
menghargai perjuangan Islam tidak akan menjadikan DAP sebagai 'wali',
mengulangi tuduhan Umno bahawa DAP mahu menjadi “tuan” dalam hubungan
“tuan dan hamba” dengan parti-parti politik lain.
Tuduhan itu bukan saja
tidak berasas sama sekali, malah ia pembohongan paling keji daripada
seorang bekas pemimpin Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat dulunya
hampir menjadi sebuah gabungan politik baru antara kekuatan-kekuatan
politik yang hampir setara di kalangan parti yang menjadi anggotanya,
berasaskan prinsip muafakat di mana setiap keputusan atau dasar Pakatan
perlu dicapai menerusi muafakat ketiga-tiga parti komponen.
Tidak ada parti atau
pemimpin memegang kuasa veto bagi membatalkan keputusan yang telah
dicapai secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti
komponen.
Justeru tindakan Hadi
mencabul Dasar Bersama Pakatan dan prinsip muafakat ini, kerana mahu
menjadi “tuan” dalam Pakatan Rakyat, muncul krisis demi krisis dalam
Pakatan, iaitu dengan:
1. Mencabul dasar
Pakatan Rakyat untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang
Barisan Nasional dalam pilihanraya dengan meletakkan calon-calon PAS
pada hari pencalonan untuk bertanding melawan PKR di enam kerusi Dewan
Undangan Negeri dalam Pilihanraya Umum ke-13, menyebabkan Umno menang di
semua kerusi terbabit.
2. Mengenepikan
keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 17 Ogos 2014, yang
dihadiri oleh Timbalan Presiden Mat Sabu bagi pihak Hadi, yang
menetapkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri
Besar Selangor.
3. Melanggar janjinya
sendiri pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari
2015 bahawa sebarang pindaan ke atas Enakmen Jenayah Syariah Kelantan
dan sebarang usul persendirian Ahli Parlimen Pakatan berkenaan
pelaksanaan hudud akan terlebih dulu dibentangkan di hadapan Majlis
Pimpinan Pakatan Rakyat.
Cita-cita Hadi untuk
menjadi “tuan” dalam Pakatan Rakyat melanggar prinsip asasi Pakatan
sebagai sebuah gabungan antara parti-parti yang setara, dimeterai dengan
prinsip muafakat dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.
Atas sebab inilah Hadi
mengenepikan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk melantik
Menteri Besar Selangor kerana Azizah seorang wanita.
Malah, Hadi juga tidak
bersetuju dengan cadangan untuk menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim
sebagai calon dari Pakatan Rakyat untuk kerusi Perdana Menteri.
Tidak berlebihan jika
disebut bahawa Hadi adalah punca utama Pakatan Rakyat berkubur, bukan
saja kerana mencabul Dasar Bersama dan prinsip muafakat Pakatan Rakyat
tetapi juga kerana cuba untuk menjadi “tuan” Pakatan Rakyat, menggunakan
kuasa veto bukan saja ke atas Jawatankuasa Pusat PAS tetapi juga Majlis
Pimpinan Pakatan Rakyat.
Konsep politik Hadi,
termasuk politik gabungan, sama sekali tidak serasi dengan demokrasi,
pluralisme, hak asasi manusia, kepelbagaian budaya, hak wanita serta
gagasan pembangunan dan kemodenan.
Saya telah sebutkan kelmarin bahawa terserah kepada Hadi jika beliau
mahu membantu memanjangkan hayat politik Datuk Seri Najib Razak sebagai
perdana menteri di tengah taufan politik skandal 1MDB.
Namun, beliau tidak
berhak berbohong dan berdusta tentang DAP demi matlamat politik barunya
untuk menjadi sahabat sejati Najib yang sedang berdepan tuntutan untuk
meletakkan jawatan, termasuk daripada khalayak Umno.
Setahun yang lalu, saya
boleh menyatakan dengan yakin bahawa jika ada usul untuk mengadakan
undi terhadap Najib di Parlimen, semua ahli parlimen Pakatan Rakyat akan
mengundi tidak percaya.
Berlainan keadaannya
hari ini. Apakah Hadi dan para pendukungnya akan sanggup membuat undi
tidak percaya terhadap Najib di Parlimen? Hampir tidak mungkin, jika
melihat kepada pembelaan luar biasa Hadi terhadap Najib.
Setahun yang lalu,
tidak diragui lagi bahawa semua ahli parlimen Pakatan Rakyat dari DAP,
PKR, dan PAS akan seia-sekata menuntut ketelusan dan
kebertanggungjawaban berkenaan skandal 1MDB. Apakah hari ini Hadi dan
pengikutnya akan menyokong usul sedemikian di Parlimen?
Hadi boleh mengubah
pendirian dan belang politik beliau untuk menjadi pembela Najib yang
paling kuat, namun janganlah melakukannya dengan cara mengorbankan
kebenaran, keadilan, dan kejujuran dengan mengulang-ulang pembohongan
dan pendustaan yang disebarkan Umno berkenaan DAP.
LIM KIT SIANG ketua parlimen DAP dan MP Gelang Patah.~ malaysiakini