Hubungan PAS - DAP: Dulu Semua OK, Sekarang Semua Tak Boleh!

Kenapa PAS berkawan dengan DAP sebelum ini, soal Khalid Samad

Gesaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada ahli-ahli PAS agar tidak menganggap DAP sebagai “wali” lewat petang semalam, tidak disenangi Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Menurut Khalid, seruan presiden PAS itu menimbulkan tanda tanya kepada sikap parti Islam itu yang sejak 2008 bersama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Apa yang berlaku dari 2008 sehingga sekarang ini, kita tertipulah dengan pimpinan yang selama ini cakap (berulang kali) kukuhkan PR, kukuhkan PR; tetapi kini dah mula menyerang DAP, kata DAP cauvinis, anti-Islam.

"Lalu yang selama ini kita berkawan dengan DAP, memerintah sejak 2008 ini, apa cerita? Jadi, mana logiknya?"
kata Khalid kepada The Malaysian Insider di pejabatnya di Shah Alam, semalam.

Hadi semalam mengingatkan ahli parti itu tidak menjadikan DAP sebagai ketua kerana mereka "tidak beriman".

Menurutnya, hanya ahli PAS yang sedar mengenai perjuangan Islam dapat membezakan antara kawan dan wali.

"(Mereka) boleh berkawan dengan kalangan DAP dan sepertinya, tetapi tidak boleh berwalikan DAP kerana tidak beriman dan budiman," katanya dalam satu kenyataan.

Seruan itu dibuat Hadi selepas ketua umum PKR yang terpenjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan gabungan pembangkang baharu selepas PR berkubur tidak lama dahulu apabila PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP.

Ia juga dibuat selepas ahli Parlimen veteran DAP, Lim Kit Siang mengumumkan pembentukan gabungan baharu parti politik sedang berlangsung tanpa melibatkan PAS.

Kenyataan itu turut dibuat selepas kumpulan profesional yang popular di peringkat nasional tewas dalam pemilihan pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 sedang membentuk parti baharu menerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) – satu tindakan yang didakwa PAS sebagai ditaja DAP.

Menurut Khalid, parti baharu yang ingin ditubuhkan itu tidak pernah didalangi DAP dan menurutnya, kenyataan Hadi seolah-olah menggambarkan PAS kini terpedaya dengan kempen politik Umno.

"Bagi saya apa yang dinasihatkan itu, tidak relevan malah saya mahu jawab, janganlah kita terjatuh dalam perangkap Umno.

"Jadi, mana logiknya? Saya merasakan pihak pimpinan PAS sedia ada termakan umpan Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga ke tahap mereka sekarang ini kedengaran seakan-akan pemimpin Umno yang menyerang DAP selama ini," katanya.

Terdahulu, Khalid menyertai wawancara atas talian dengan kumpulan Facebook "The Rage for Liberty" selama sejam.

Dalam wawancara itu, Khalid menegur sikap PAS yang kebelakangan dilihat cenderung bermusuh dengan bekas sekutunya serta pendiri GHB dalam PR berbanding mengkritik Umno dan BN.

"Sepatutnya PAS lihat dulu parti yang ingin kami tubuhkan sebelum isytihar kami sebagai musuh. PAS kebelakangan ini bagaikan lebih minat berlawan dengan parti pembangkang daripada parti kerajaan. Tidak pelikkah?" kata Khalid.

Wawancara itu dibuat secara bertulis di dinding Facebook kumpulan itu dengan anggota-anggotanya bertanyakan soalan secara langsung kepada Khalid. -TMI

ULASAN GB

Hairan kita.

Sebelum ini tak timbul soal wali soal ketua di dalam Pakatan Rakyat. Tiba-tiba bila dah ada GHB, macam-macam "fatwa" dikeluarkan untuk menghalang ahli untuk menyertainya. Dia buat semua boleh, orang lain tak boleh.

Malah sebelum ini Haji Hadi sendiri yang memuji-muji DAP dan membuat kenyataan berikut:


Bila dah berseteru, sekarang hanya nampak yang buruk, yang baik semua sudah dihanyirkan.

Penyertaan wakil-wakil PAS di dalam kerajaan PR Pulau Pinang dan Selangor itu dikira bagaimana pula? Tidakkah wajar PAS mengarahkan wakil-wakil dan ahli-ahlinya untuk letak jawatan?

Pinjam balik syair itu, biar anjing dan serigala menyalak, kabilah GHB berjalan terus ke Putrajaya bersama Pakatan baharu yang bakal ditubuhkan!

p.s. kami tak sebut pun siapa anjing dan serigala itu... ia berbalik kepada tuan yang awal menyebutnya... demikianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan...