Tangan Najib pembawa malang

ASPAN ALIAS

Semua sentuhan Najib membawa masalah kepada negara terutamanya dalam hal melibatkan kewangan dan khazanah negara yang merugikan. Tidak payah kita sebut sejarah lama. Jika kita mulakan dengan hal kapal selam hinggalah kepada isu FGV dan kini isu pembelian harta di Cauldfield di Melbourne semuanya adalah transaksi di bawah dagu Najib.

Pendeknya apa sahaja yang disentuh oleh Najib akan membawa malang kepada negara dan rakyat yang menanggung semua salah laku beliau. Dalam pada itu beliau tetap berdegil dan tidak mahu berundur dan setiap salah lakunya yang diketahui umum beliau akan dialihkan pandangan ramai kepada perkara yang lain tidak tepat sasarannya.

Isu yang saya selalu sebutkan ialah pimpinan kita sejak berapa lama dahulu tidak mahu mengambil ‘accountability’ terhadap noda dan kesalahan yang dilakukan mereka. Memerintah hendak lama tetapi kesalahan tetap dilakukannya. Kesalahan mereka tidak mahu diakui tetapi sebaliknya menyalahkan orang lain. Apabila disoal oleh rakyat jawapan tidak diberi dengan betul atau tidak dijawab terus. Jika menjawab pun hanyalah jawapan-jawapan loyar buruk sahaja dan tidak tepat.

Semua tanggungjawab hendak dipikul tetapi satu pun tidak terlunas dengan baik dan sempurna malah semuanya dalam kepincangan. Rakyat keliru dengan sifat dan tindak laku pimpinan kita. Gaya ada tetapi tidak mempunyai ‘substance’ dan kalau dikaji dengan teliti mereka ini layak bersama saya sahaja duduk dan minum dikedai mamak setiap hari.

Kita cuba ingatkan isu-isu yang lepas yang berkait dengan Najib. Isu scorpene semua orang tahu ia melibatkan isu RM lebih dari RM7billion. Akhirnya timbul isu sampingan selain dari isu tambahan harga yang begitu tinggi, iaitu isu pembunuhan Altantuya yang sampai hari ini tidak mendapat penyelesaian yang betul walaupun telah dibawa ke Mahkamah. Dr Mahathir telah bertanya siapa yang mengarahkan Sirul membunuh Altantuya, jawapannya tidak diberi sehingga hari ini.

Felda mantap dan selamat semasa perbadanan itu berada di Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah dahulu, tetapi kelemahan Abdullah Badawi yang terbilang dengan mudah tidurnya telah membenarkan Najib membawa Felda untuk diletakkan dibawah urusan beliau semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu.

Felda yang mempunyai resab yang melebihi RM4 billion sekarang sudah tinggal sejemput sahaja. Peneroka yang tidak pernah berhutang sekarang sudah berhutang kerana pembelian saham FGV yang beliau janjikan bulan dan bintang dahulu. Sekarang harga saham FGV telah merudum dan sekarang berlegar di sekitar RM 1.70 sen sahaja. FGV ibarat berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.

Dulu ramai yang menentang Felda di senaraikan di Pasaran Saham termasuk pegawai – pegawai yang kanan dalam perbadanan itu tetapi mereka ini diharam jadahkan oleh Najib. Sekarang peneroka sudah mengalami masalah yang belum pernah mereka alami kerana tindakan Najib yang memandai-mandai. Kata-kata sumbang sudah terlepas usaha yang kononnya untuk kepentingan peneroka telah gagal.

Timbul pula isu 1MDB yang terhutang sebanyak RM42 billion. Itu pun beliau nafikan yang 1MDB mengalami kerugian dan Najib sentiasa berfikir rakyat semuanya bodoh dan tidak tahu yang rakyat lebih cerdik dari beliau.

1MDB membawa padah kepada banyak pihak. Beberapa orang pegawai bank antarabangsa telah kehilangan kerja kerana memberikan pinjaman kepada 1MDB. 1MDB menjadikan ‘credit rating’ negara sudah menurun. Kita bukan tidak tahu, jika tiga ‘credit rating agencies’ ini memberikan negara ‘rating’ yang rendah negara akan kehilangan kredibiliti dan akan memberikan masalah dan tambahan beban kepada negara.  Isu-isu seperti ini dipermain-mainkan dan dilalai-lalaikan. Akhirnya kerajaan telah menghantar seorang Menteri Kabinet untuk berjumpa salah satu dari ‘credit rating agencies’ itu untuk meminta jangan diturunkan ‘rating’ Malaysia.

Semua kerja tidak dilakukan oleh pelaksana dengan jujur. FGV telah membeli saham syarikat perladangan kumpulan Rajawali di Indonesia dengan harga yang meragukan. Felda sememangnya terbilang dengan membeli harta dengan harga yang ditambah berlipat kali ganda di seluruh dunia. Tentulah kita tahu sebabnya jika membeli harta yang berlipat kali ganda harganya itu. Kali ini Felda telah membeli syarikat kumpulan Rajawali dengan harga dua kali ganda dari aras harga pasaran. Ada beberapa orang yang hendak menjadi kaya raya dengan menggunakan kedudukan dan keringat peneroka itu.

Sekarang timbul pula hal pembelian harta di Cauldfield Melbourne dengan tambahan harga sebanyak hampir RM14 juta. Sekarang MARA sedang menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat pembelian itu. Pergolakan dalam UMNO juga dikatakan penyebab kenapa isu ini diketengahkan. Siapa yang memangsakan dan dimangsakan dalam isu terbaru ini kita akan ketahui nanti.

Pemutus kata, apa sahaja yang berada dibawah Najib semuanya mempunyai masalah hasil dari tidak ada kejujuran dan merobek keyakinan dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat itu.

Najib has to be forced out. Semua sentuhannya membawa malang.