Lawatan
rasmi Najib Razak ke Arab Saudi sambil menunaikan umrah bermula Sabtu
lalu hingga semalam bersama dua Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi
dan Hishammuddin Hussein, menimbulkan spekulasi yang makin meluas
bahawa ia akan disusuli dengan rombakan kabinet selepas ini.
Baik
dalam suasana aman, apatah lagi ketika gelora politik makin membara
berikutan kritikan berterusan daripada bekas Perdana Menteri, Tun
Mahathir Mohamad ketika ini, hakikatnya amat janggal bagi Perdana
Menteri membawa dua orang Naib Presiden UMNO sekaligus untuk
mengiringinya bagi menunaikan umrah, kecuali ada permuafakatan yang
perlu disepakati di tanah suci itu.
Lantaran
itu menjadi perbualan ramai bahawa pemergian mereka ini ada kaitan
dengan suasana politik yang sedang melanda negara. Apatah lagi,
pemergian itu ketika tragedi gemba bumi Sabah sedang berlaku dan
seolah-olah membawa kedua-dua Naib Presiden UMNO lebih penting daripada
segala-galanya.
Seorang
lagi Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal yang diketahui agak berbeza
pendirian dengan Najib sejak kebelakangan ini, terutama berhubung isu
1MDB, tidak ikut serta atau barangkali juga tidak dipelawa untuk
berumrah bersama-sama ini.
Beliau difahamkan kini berada di Russia atas urusan rasmi kementeriannya.
Dengan
Najib membawa kedua-dua Naib Presiden itu ke Mekah, cakap-cakap paling
sensasi menjadi bualan ialah kemungkinan Muhyiddin Yassin akan
digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana kedudukannya dalam
kabinet lebih dianggap sebagai ancaman serta "duri dalam daging" kepada
masa depan Perdana Menteri.
Najib
dikatakan sudah tidak dapat menahan sabar lagi dengan karenah dan
tingkah laku Muhyiddin yang tidak cukup setia dan kurang konsisten
dengannya, terutama sejak isu 1MDB meletus.
Melalui
penyingkiran Muhyiddin daripada jawatan nombor dua dalam kerajaan itu,
Najib bukan saja ingin membuktikan sikap ingin terus melawannya terhadap
serangan Tun Mahathir, bahkan mahu menunjukkan beliau benar-benar
pahlawan Bugis yang masih ada sisa-sisa keberaniannya.
Tempat
Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dikatakan akan diambil alih
oleh Zahid Hamidi manakala Hishammuddin yang merupakan sepupu Najib akan
dikanankan lagi kedudukannya dengan diberikan portfolio Kementerian
Kewangan untuk persediaan sebagai calon Perdana Menteri masa depan.
Shafie
Apdal pula akan dipindahkan di kementerian lain yang kurang penting
bagi mengekang pengaruh serta pergerakannya daripada terus memberi kesan
negatif kepada Najib.
Sebuah
agensi kerajaan yang berkaitan dengan perang saraf dikatakan telah
menemui Najib beberapa minggu lalu dan mengemukakan cadangan yang
antaranya ialah penyingkiran Muhyiddin daripada kerajaan dengan alasan
"masa bertahan sudah berakhir" jika Perdana Menteri ingin terus kekal
memimpin parti dan negara.
Agensi
itu juga mahukan Najib memulakan fasa "menembak" dan "menyerang" pula
selepas sekian lama mengambil pendekatan berdiam diri dan bertahan.
Selain
itu, beberapa menteri juga difahamkan bakal digugurkan dalam rombakan
yang akan dilakukan ini kerana Najib kini mula menyedari sebahagian
daripada mereka hanya "bermain selamat" dan tidak membantunya menghadapi
serangan, baik daripada Tun Mahathir atau pembangkang.
Antara
pemimpin yang disebut-sebut bakal dimasukkan kembali ke dalam kabinet
ialah Shahrir Samad, Pengerusi BNBBC yang sejak kebelakangan ini paling
lantang mempertahankan Najib daripada serangan Tun Mahathir.
Najib
dikatakan amat berpuas hati dengan cara, pendekatan dan hujah Ahli
Parlimen Johor Bahru itu ketika membalas serangan yang dilakukan oleh
bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Nama
lain yang turut disebut bakal dibawa kembali ke dalam kabinet sejak dua
tiga hari ini ialah Annuar Musa, Ahli Parlimen Ketereh kerana Najib
ingin memanfaatkan keberanian dan kepetahan bekas menteri itu sebagai
perisai barunya.
Dalam
menghadapi serangan dan kritikan Tun Mahathir yang dijangka lebih panas
selepas ini, Najib dikatakan tiada pilihan lain selain melantik
Timbalan Perdana Menteri baru, menyusun semula kabinetnya dan meletakkan
pemimpin senior yang berani seperti Shahrir Samad dan Annuar Musa untuk
membentengi kedudukannya.
Bersekali
dengan rombakan kabinet yang bukan saja menyaksikan penyingkiran
Muhyiddin dan digantikan dengan Zahid Hamidi tetapi juga disertai dengan
kemasukan semula Shahrir dan Annuar itu, sekaligus menunjukkan pahlawan
Bugis sudah sedia berentap sehingga "bumi berkeping dua" sebagaimana
madah yang selalu diucapkannya sebelum ini. (SH 09/06/2015)