DAP persoal Hadi hanya marah rakan PR, bukan Umno

DAP persoal Hadi hanya marah rakan PR, bukan Umno
DAP persoal Hadi hanya marah rakan PR, bukan Umno

DAP persoal Hadi hanya marah rakan PR, bukan Umno

Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang orang Islam perlu marah DAP kerana mempertikaikan hudud di Kelantan memberi gambaran salah, kata DAP, seakan Islam agama yang tidak mampu menerima perbezaan pendapat.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaannya Zairil Khir Johari berkata, pelaksanaan undang-undang itu juga malah turut dipertikaikan sarjana Islam sendiri yang menerima hudud sebagai tuntutan syarak, namun takrifan dan kaedah pelaksanaannya sering menjadi pertikaian.

Ini termasuk ilmuwan Islam seperti Sheikh Mustafa al-Zarqa, Muhammad Abu Zahra, Mohamad Salim al-Awa dan Sheikh Yusuf al-Qaradawi, katanya.

“Mufti Perlis Datuk Dr Muhammad Asri Zainul Abidin pun mengingatkan, tidak menjadi masalah sekiranya undang-undang hudud di Kelantan dipertikaikan, kerana ia takrifan manusia dan bukan hukum yang disalin daripada Al-Quran secara bulat-bulat.
“Justeru, apakah Hadi akan marah terhadap para sarjana Islam tersebut, memandangkan mereka juga mempersoalkan dan mempertikaikan pelaksanaan hudud?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Hadi dalam program “Bicara Harakah” di Kuala Lumpur semalam berkata, PAS berhak menyuarakan kemarahannya terhadap DAP yang menolak hudud kerana ia diizinkan Allah.

Katanya, sifat marah memang semula jadi ada pada manusia biasa dan ia menjadi tanggungjawab PAS kerana parti demokratik itu menentang pelaksanaan hukum Allah.

“Kita marah pada perkara yang Allah izinkan. Perkara yang Allah tak izinkan, kita tak marah,” katanya.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera itu bagaimanapun berkata, kenyataan Hadi amat mengecewakan kerana sebagai ulama, beliau perlu sedar, seorang mukmin harus berusaha memperlihatkan keindahan hukum Tuhan dan menghapuskan segala keraguan terhadap pelaksanaanya, bukannya marah jika ada pihak yang tidak sehaluan pendapat.

Katanya, Hadi tidak memilih jalan muzakarah atau perbahasan rasional dan mungkir janji apabila tidak membawa isu enakmen hudud di Kelantan untuk perbincangan dan pertimbangan Pakatan Rakyat (PR) sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Hadi juga, katanya, membentangkan rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada sidang Dewan Rakyat yang lalu tanpa persetujuan Jawatankuasa PAS Pusat.

“Jelas, beliau tidak berminat untuk bermuzakarah dengan rakan-rakan seperjuangan,” kata Zairil.
Katanya, Hadi sebaliknya menunjukkan sikap optimis terhadap Umno apabila menyatakan sokongan Umno dalam pelaksanaan hudud ikhlas dan harus disahut.

“Saya berasa sangat musykil dengan sikap Hadi ini, memandangkan Umno sendiri yang menggagalkan pelaksanaan hudud di Kelantan dan Terengganu sebelum ini,” katanya.

Katanya, pada masa sama, tiada usaha daripada Umno membentangkan undang-undang sama di mana-mana negeri dikuasai mereka, sementara menteri Umno sendiri mengeluarkan kenyataan lantang menolak pelaksanaan hudud di Malaysia.

“Pada hemat saya, Umno jelas tiada niat ikhlas melaksanakan hudud. Dan minatnya dalam isu ini hanyalah untuk memperlihatkan kehancuran PR,” katanya.