Ringkasnya,
Najib dan Rosmah bukan sekadar hidup biasa-biasa, malah mungkin lebih
susah daripada kebanyakan penerima BR1M sekali pun. Ini kerana Najib dan
Rosmah sebenarnya bukan setakat tidak mampu berbelanja mewah, malah
mengadakan kenduri menerima menantu pun tidak berkeupayaan.
Melalui
penjelasan Pegawai Khas Perdana Menteri, Rizal Mansor bahawa kenduri
kahwin anak perempuan Najib dan Rosmah iaitu Nooryana Najwa dengan
Daniyar Bessikbayev yang diadakan penuh gemerlapan di KLCC dan rombongan
bertandang ke Kazakhstan seramai 250 orang sebenarnya ditanggung oleh
pihak lelaki, tidak lain memberi gambaran bahawa Perdana Menteri tidak
berkemampuan sama sekali.
Mana-mana
ibu bapa yang menerima menantu, ia adalah antara momen paling gembira
dalam kehidupan mereka. Ramai yang sanggup berhutang dan meminjam di
sana sini untuk mengadakan hari meriah itu.
Tetapi
semua orang melakukannya berdasarkan kemampuan. Bagi golongan susah,
mengadakan majlis secara ala kadar sudah memadai sebagai tanda gembira
dan syukur.
Ada
juga yang sekadar mengadakan doa selamat ringkas di surau atau masjid
saat menerima menantu. Tetapi ia tetap menjadi kebanggaan kerana ibu
bapa atau keluarga pengantin dapat menunaikan tanggungjawab berdasarkan
kemampuan mereka.
Tetapi
agak berbeza dengan Najib dan Rosmah. Sudahlah kenduri di sebelah pihak
perempuan ditanggung oleh keluarga pengantin lelaki, rombongan
bertandang ke Kazakhstan juga dibiayai oleh menantu budiman itu.
Sudah
barang tentu pihak lelaki menawarkan semua itu kerana keluarga
pengantin perempuan tidak berkemampuan membiayainya. Jika mampu, jarang
benar ibu bapa pengantin perempuan mahu merendahkan maruah atau ego
mereka dengan membiarkan keluarga pengantin lelaki menanggung
kenduri-kendara dan kos bertandang kerana ia boleh menjadi ungkitan di
masa depan atau ketika pasangan pengantin berselisih faham nanti.
Keluarga
pengantin lelaki pula biasanya tidak mudah menjadi begitu pemurah
kerana jika belum tinggal bersama sudah terpaksa mengeluarkan banyak
belanja dan menanggung itu ini, ianya pasti meningkat lagi apabila
selepas berkahwin kelak.
Dalam
hal ini, mungkin juga Daniyar ini seorang menantu budiman yang jauh
lebih baik daripada Khairy Jamaluddin kerana ketika beliau berkahwin
dengan anak Tun Abdullah dahulu, juga seorang Perdana Menteri, tidak
pula terdengar kemurahan hatinya mahu menanggung kenduri di pihak
perempuan.
Apa
pun, semua ini menunjukkan Najib dan Rosmah tidak berkemampuan. Dalam
tidak mampu itu, mujur pula Tuhan jodohkan anaknya dengan lelaki
budiman, pemurah lagi penyayang, lalu dapatlah juga akhirnya mengadakan
kenduri yang meriah serta bertandang ke Kazakhstan.
Oleh
itu, rakyat negara ini seharusnya bersimpati dengan Najib dan Rosmah.
Rupa-rupanya mereka adalah ibu bapa yang tidak mampu, waima untuk
mengadakan majlis kenduri menerima menantu sekali pun.
Dengan
ini ia bukan saja mengesahkan bahawa semua dakwaan kekayaan Najib dan
Rosmah selama ini tidak benar, bahkan laporan kononnya mereka memiliki
jam tangan mewah, barang kemas intan berlian, pakaian mahal dan
sebagainya juga turut palsu dan khayalan semata-mata.
Kalau
untuk mengadakan kenduri menerima menantu pun terpaksa ditanggung oleh
pihak lelaki, memiliki jam Casio atau memakai gelang daripada besi pun
tentu nampak mustahil serta di luar kemampuan Najib dan Rosmah.
Kesian
Najib dan Rosmah, difitnah siang malam selama ini. Dengan ini, ramai
rakyat kita termasuk Tun Mahathir rupa-rupanya telah membuat "dosa
kering" dengan menghebah-hebahkan kekayaan dan perbelanjaan mewah
sedangkan Perdana Menteri dan isteri sebenarnya tidak berkemampuan
sama-sekali.
Adusss...sempatkah kita bertaubat dan memohon maaf? (SH 02/05/2015)