Walaupun
beliau cuba menafikan kajian itu dapat merangsang keghairahannya, malah
menganggapnya sebagai percubaan melaga-lagakannya dengan Perdana
Menteri, hakikat yang ditunjukkannya adalah sebaliknya.
Beliau
kini nampaknya bersungguh-sungguh mahu memastikan kerusi Perdana
Menteri dan kediaman di Seri Perdana itu tidak terlepas ke tangan orang
lain.
Langkah
awal yang diambilnya ialah mengembalikan semula Akbar Khan atau AK
kembali berkhidmat dengannya bagi mengetuai jentera politiknya.
AK
sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Libaran, Sabah dan kemudian
sebagai Setiausaha Politik Hishammuddin ketika di Kementerian
Pendidikan. Semua gerakan politik Hishammudin ketika itu diatur dan
digerakkan oleh AK.
Selepas
AK meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik, tempatnya digantikan
oleh Markiman Kobiran selama beberapa tahun dan kini jawatan itu diisi
anak saudara Hishammuddin, Onn Hafiz yang juga Exco Pemuda UMNO serta
Ketua Pemuda Sembrong.
Sebaik
berhenti berkhidmat dengan Hishammuddin, AK kembali menumpukan kepada
perniagaan dan urusan peribadinya. Kini AK diambil semula bukan saja
untuk mengembalikan prestasi Hishammuddin yang merudum dalam pemilihan
2013 lalu, tetapi juga untuk memastikan gapaian kerusi Perdana Menteri
yang diidamkan tidak terlepas begitu saja.
Dengan
AK berkhidmat semula mengetuai jentera politiknya, tidak diragui lagi
ia adalah langkah untuk Hishammuddin terus melonjak ke hadapan kerana AK
memang dikenali mempunyai ciri-ciri terbaik bagi tujuan itu.
Hishammuddin
juga, melalui AK, dalam masa yang sama mulai mengumpulkan rakan-rakan
lamanya yang pernah menjadi Exco dan Ketua Pemuda bahagian-bahagian
untuk terus berdampingan dengannya.
Dalam
satu program UMNO Melaka baru-baru ini, sebahagian mereka dijemput
hadir bersama mengiringi Hishammuddin ke negeri itu. Ini adalah sebagai
persediaan awal "menjaga" mereka, selain untuk menunjukkan kekuatan
sokongan yang dimilikinya.
Sementara itu, dalam Pameran Maritim dan Udara Langkawi atau LIMA 2015 yang bermula pada 17 hingga 22 Mac ini,
dipercayai lebih ramai pemimpin UMNO dari seluruh negara akan
diterbangkan ke pulau tersebut. Pameran LIMA adalah anjuran Kementerian
Pertahanan di mana Hishammuddin adalah menterinya ketika ini.
Mereka
dibawa menyaksikan pameran dua tahun sekali itu untuk berjalan-jalan
dan makan angin serta dengan harapan dapat memastikan sokongan yang
diperlukan oleh Hishammuddin bagi perjalanan politik masa depannya terus
bertambah.
Majoriti
yang dibawa ke Langkawi ini adalah bekas ketua-ketua Pemuda bahagian
yang mana mereka itu kini memegang pelbagai jawatan penting di peringkat
bahagian dan juga negeri.
Berbanding
ketika Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan yang turut membawa
ramai pemimpin UMNO seluruh negara ke Pameran LIMA, persiapan yang
dilakukan oleh Hishammudin dalam melayan pemimpin-pemimpin bahagian ini
jauh lebih teratur dan "first class" sifatnya.
Tidak
seperti Zahid yang hanya menyediakan penerbangan dari Subang ke
Langkawi untuk tujuan itu, Hishammuddin sebaliknya dikatakan menyediakan
penerbangan daripada beberapa negeri terus ke Langkawi untuk
pemimpin-pemimpin peringkat bahagian tersebut.
Untuk
itu, adalah dipercayai juga kehadiran pemimpin UMNO dari seluruh negara
di Langkawi untuk menyaksikan pameran LIMA kali ini turut lebih besar
jumlahnya berikutan kemudahan penerbangan lebih menyeluruh yang
disediakan oleh jentera politik Hishammuddin yang diketuai oleh AK.
Sebagaimana
Hishammuddin yang sedang berbunga-bunga hatinya kerana dianggap lebih
menjadi pilihan untuk menjadi Perdana Menteri berbanding pesaingnya yang
lain dan sedang berusaha ke arah itu, pemimpin-pemimpin peringkat
bahagian yang dibawa bak "rombongan cik kiah" ini tentulah juga hadir
dengan hati yang mekar untuk melihat anak Hussein Onn itu dapat menurut
jejak sepupunya, Najib Razak sebagai anak bekas Perdana Menteri yang
turut berjaya mendaki sehingga ke puncak Seri Perdana. (SH 16/03/2015)