Reaksi pemimpin PAS
berbeza-beza ekoran kemungkinan Pakatan Rakyat (PR) berpecah selepas
Enakmen Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) diluluskan Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis, sebahagiannya sedih manakala satu
kumpulan lagi gembira.
Mereka yang gembira
kerana undang-undang itu berjaya diluluskan manakala mereka yang
bersedih kerana berhadapan dengan masa depan suram PR ekoran bantahan
sekutu mereka, iaitu DAP dan PKR.
Hotel penginapan para
pemimpin PAS yang menyertai Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (IAPU)
di Kuala Ibai, Kuala Terengganu berwajah suram semalam walaupun mereka
menjadi tuan rumah perhimpunan antarabangsa itu.
Masing-masing
tertanya-tanya apakah masih ada masa depan untuk PAS dalam PR ekoran
bantahan keras rakan mereka DAP dan PKR terhadap pembentangan enakmen
tersebut di DUN Kelantan itu.
"Masihkah ada peluang
lagi buat kita?" soal Datuk Dr Mujahid Yusof ketika ditemui The
Malaysian Insider dalam majlis makan malam meraikan perwakilan
pertubuhan Islam dari 41 buah negara ke IAPU ke-3 itu.
Beliau jelas kecewa dengan apa yang bakal dihadapi PAS dan PR ekoran keadaan sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutif
Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad pula bergegas pulang ke Kuala
Lumpur dari Kuala Terengganu untuk cuba berbuat sesuatu menjelang
mesyuarat PKR malam tadi dan mesyuarat DAP Isnin ini.
"Saya akan cuba berbuat
sesuatu agar PR dipertahankan, kerana ia memang harapan rakyat,"
katanya ketika ditemui di hotel penginapan pemimpin PAS.
Turut bersama beliau
ialah Naib Presiden Salahudin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar
dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad.
Kesemua mereka pulang
ke Kuala Lumpur walaupun IAPU itu baru sahaja dirasmikan dan banyak lagi
acara bakal berlangsung selepas itu.
Mahfuz, ahli Parlimen Pokok Sena, antara yang sedih dengan apa yang berlaku.
Jika benar notis
dihantar presiden PAS yang juga ahli parlimen Marang bagi membolehkan
rang undang-undang persendirian dibentangkan dan Akta 355 Mahkamah
Syariah dipinda membuka jalan kepada enakmen jenayah Syariah Kelantan
itu dilaksanakan, beliau antara orang paling sedih.
Ini kerana, selaku ketua whip anggota Parlimen PAS, beliau tidak tahu menahu mengenai notis itu.
"Saya tidak tahu
apa-apa dan tidak diberitahu apa-apa," kata Mahfuz ketika ditemui di
hotel berkenaan sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Bukan Mahfuz sahaja tidak tahu mengenainya, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga tidak mengetahui adanya notis itu.
Bukan Mahfuz sahaja tidak tahu mengenainya, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga tidak mengetahui adanya notis itu.
"Ia tidak ada dalam pengetahuan saya dan saya tidak tahu mengenainya," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.
Kekhuatiran perpecahan
PR yang dirasai pemimpin PAS tersebut bagaimanapun tidak dirasai
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.
"Kalau DAP rasa nak
keluar, keluarlah," kata beliau sebagaimana dilaporkan media semalam
ketika mengulas reaksi DAP terhadap pembentangan enakmen itu.
Namun begitu, Hadi
mengatakan sehingga kini PAS masih lagi bersama PR dan tentangan DAP dan
PKR berhubung rang undang-undang itu perkara biasa dalam amalan
demokrasi.
Presiden PAS itu
berkata, tindakan mereka memperkenalkan hudud seharusnya dihormati semua
pihak kerana ia dilakukan secara demokratik dan bukannya paksaan.
"Kerjasama dalam PR
tidak melibatkan dasar parti. Kami tidak menyentuh agama dan hak mereka,
jadi mereka juga tidak sepatutnya menyentuh agama kita," katanya
menurut laporan Bernama. – 21 Mac, 2015.