aspan alias
Korporal Sirul, salah seorang
dari dua orang anggota keselamatan negara yang dijatuhkan hukuman gantung
kerana membunuh Altantuya Sharibuu dari Monggolia sudah mula bercakap dengan
media. Beliau yang sekarang di dalam tahanan pihak Immigresen Australia telah
meninggalkan negara sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman
mati keatas beliau dan seorang lagi anggota yang bersama-sama dihukum gantung,
iaitu Ketua Inspektor Azilah yang kini berada dalam tahanan negara ini.
Walaupun beliau (Sirul) dalam
tahanan di Australia,
beliau masih mendapat akses kepada media massa di negara ini kerana beliau
diberikan kemudahan berkomunikasi melalui internet dan telefon bimbit. Beliau
telah memberitahu portal berita tempatan yang beliau sedang diminta oleh media
di Australia untuk ‘tell all’ dalam isu pembunuhan ngeri yang dilakukan keatas
Altantuya. Beliau telah memberitahu media sedikit ‘input’ dengan menyatakan
yang pembunuh sebenar masih bebas dan berkeliaran di negara ini.
Apabila berita sebegini keluar
tentunya ia akan membawa tanda tanya dan kecurigaan rakyat bukan sahaja bagi
rakyat negara ini tetapi juga masyarakat antarabangsa. Sirul sempat memberitahu
yang beliau adalah anggota keselamatan yang bertindak diatas arahan. Beliau
bukan tidak sayang kepada PDRM atau negara tetapi beliau bertindak diatas
arahan sebagai anggota keselamatan beruniform.
Satu persoalan penting ialah,
siapa yang mengarahkan pembunuhan itu? Isu ini tidak terjawab dalam Mahkamah
kerana pihak pendakwa tidak menumpukan tentang motif pembunuhan itu. Ratusan
hari perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam tetapi pihak pendakwa tidak pernah
bertanya tentang siapa yang mengarahkan pembunuhan itu dan tidak berusaha untuk
mendapatkan motif pembunuhan itu.
Motif pembunuhan itu sangat penting
kerana yang dibunuh oleh Sirul dan rakannya Ketua Inspektor Azilah itu tidak
mengenali mangsa pembunuhan itu dan lojiknya tidak mempunyai sebab mereka
berdua melakukan pembunuhan itu.
Walau bagaimana pun Sirul belum
lagi membuat keputusan untuk ‘tell all’ itu dan jika beliau membuka mulut dan
memberitahu perkara sebenarnya maka negara akan berhadapan dengan satu lagi isu
besar yang melibatkan tumpuan rakyat negara kita dan masyarakat antarabangsa.
Buat masa sekarang ini elok tidak
di spekulasikan isu ini sehingga Sirul membuat keputusan samada beliau memilih
untuk memberitahu segala-gala yang berlaku itu. Jika Sirul tidak memberitahu
perkara sebenarnya maka beliau akan terus menjadi buruan pihak keselamatan
negara untuk melaksanakan hukuman mati keatas beliau yang diputuskan oleh
Mahkamah Persekutuan Negara.
Bagi orang ramai, mendapat tahu
siapa yang mengaturkan pembunuhan itu atau yang mengarahkan pembunuhan itu
dilakukan amat penting bagi mereka. Ini masalah nyawa manusia, bukannya nyawa
haiwan liar di hutan.
Orang ramai ingi tahu siapakah
yang dikatakan oleh Sirul, pembunuh sebenar yang masih bebas itu. Tiada siapa
yang boleh memaksa Sirul membongkar siapa yang beliau maksudkan itu.