Mustafa Ali wajar berundur dari politik, bukan Harakah

 Oleh:   Jebon

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali digesa oleh bekas pengurus Harakah cikgu Ishak Surin agar berundur daripada kedudukan pengerusi Harakah berikutan tindakannya membenarkan pemecatan Pengarang Harakah Tarmizi Md Jam, Pengarang Rencana Roslan Hamid, dan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Othman.

Cikgu Ishak berkata tindakan memecat itu bersifat zalim dan melanggar hak kebebasan bersuara.

"?Saya cabar Mustafa Ali berundur. Kita sangat benci 'anak' yang kita lahirkan tiba-tiba bersikap zalim," katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur.

Sebenarnya Mustafa Ali bukan sahaja wajar berundur daripada jawatan pengerusi Harakah tetapi perlu berundur sebagai S / U Agung PAS. Beliau tidak lagi layak mentadbir PAS berikutan berlakunya perpecahan dalaman yang hebat antara puak profesional dan puak ulama dalam parti itu.

Jika dibandingkan rekod kerja SU Agung terdahulu Datuk Kamaruddin Jaafar, macam bumi dan langit. Kamaruddin berjaya membawa PAS ke era perpaduan dengan Pakatan Rakyat. PAS dilihat oleh bukan Islam sebagai parti yang boleh dipercayai dan lebih baik berbanding MIC atau MCA.

Lintang pukang

Sebaliknya, PAS pada zaman Mustafa adalah parti yang lintang pukang dan hampir karam. Sebagai S/U Agung, Mustafa sepatutnya memainkan peranan sebagai pendamai antara puak ulama dan profesional, bukannya menyebelahi rakan lama yang melantiknya ke jawatan tersebut, Presiden Hadi Awang.

Sikap tidak profesional Mustafa yang mendahulukan Hadi dan kroninya dalam segala perkara menyebabkan PAS merosot. Ustaz muda yang ‘merapu’ dan menghentam pemimpin PR seperti Nik Abduh dan Tantawi sewajarnya diambil tindakan sekiranya Mustafa berwibawa.

Mereka harus dinasihati dan ditunjukkan logik hidup. Jangan tenggelam dalam kitab-kitab kuning dari pengajian di Mesir yang tak berjejak di bumi Malaysia. Logik untuk hidup di Malaysia adalah menghormati berbilang kaum dan bukan menggerakkan pandangan-pandangan yang ekstrem.

Pandangan ulama muda PAS kebelakangan ini mendekati fanatik agama. Dalam Islam pun ada empat mazhab.

Betapa tolerannya empat mazhab boleh dilihat ke atas ijtihad berkenaan anjing. Mazhab syafie mengatakan air liur, bulu dan najis adalah najis berat tetapi agak lunak dalam mazhab Hanafi serta Maliki yang menganggap hanya air liur sahaja sebagai najis berat.

Dihasut Amerika

Maka dalam arena politik tentulah akan wujud lebih banyak pandangan yang perlu diraikan. Sementelah parti-parti politik terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Tanpa kebijaksanaan SU Agung PAS mengendalikan parti, ulama muda yang tidak berpengalaman akan melakukan paksaan ideologi ke atas rakan-rakan dalam PR dan akhirnya berlakulah apa yang terjadi sekarang.

Ulama muda PAS bersetuju ke atas idea rangkaian Melayu Islam dan bersatu dengan Umno. Mengikut ijtihad mereka, penyelewengan dan kezaliman boleh diterima asalkan pemerintah itu bersyahadah.

Ustaz muda ini sebenarnya tidak bijak dan termakan dengan hasutan ahli strategi Barat. Prinsip bersekongkol dengan pemerintah yang bersyahadah walaupun zalim ini adalah doktorin Barat sepenuhnya.

Amerika dan zionis menyokong kerajaan negara Arab yang zalim terhadap rakyat. Ulama kerajaan melarang rakyat memberontak. Tetapi apabila Amerika melihat diktator itu tidak lagi dikehendaki  maka kezaliman para diktator itu didedahkan kepada rakyat melalui internet.

Rakyat bangkit menggulingkan diktator tersebut untuk Amerika menaikkan diktator baru. Itulah yang dilakukan Amerika di Mesir. Mereka menggulingkan Hosni Mubarak melalui percaturan CIA, kemudian mereka juga menggulingkan Ahmad Morsi yang dilantik rakyat untuk kemudiannya menaikkan panglima tentera Abdul Fattah al-Sisi menerajui Mesir.

Saddam Hussein juga suatu ketika adalah sekutu Amerika. Saddam menyiksa dan membunuh rakyat atas nama kesucian Ahli Sunnah Wal Jamaah melawan kesesatan Syiah. Apabila Saddam tidak diperlukan Amerika maka negara Uncle Sam itu menyokong puak syiah penentang Saddam dan akhirnya tentera Amerika membunuh Saddam.

Musuh bersorak

Menjadi radikal adalah satu kemenangan kepada musuh Islam. Mereka akan menggunakan umat yang berpecah belah itu untuk puluhan tahun lamanya, menaikkan dan menjatuhkan pemimpin. Negara Islam lemah akibat umat berbunuhan sesama sendiri.

Dalam konteks Malaysia, Amerika akan menang sekiranya PAS menyokong Umno demi Melayu dan Islam. Mereka akan melemahkan ekonomi melalui penyelewengan Umno. Ekonomi Islam tidak dibenar berkembang dengan penyelewengan berbilion ringgit pemimpin Umno.

Kerana kelemahan Mustafa membaca strategi musuh Islam dan kelemahan politiknya bertindak menasihatkan presiden maka amat wajar beliau berundur dan digantikan dengan tokoh yang lebih berwibawa.

Begitu juga Presiden Hadi Awang wajar turut sama berundur. Ternyata gandingan politik mereka tidak menjana kebaikan kepada masa depan Islam di Malaysia. Menjelang PRU 13 lalu, Hadi dan Mustafa bersetuju dengan idea orang Melayu tidak mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri kerana isu-isu moral.

Ku Li PM

Sebagai alternatif, Tengku Razaleih Hamzah dipujuk untuk menjadi calon PM. Delegasi PAS yang mengunjungi Ku Li bagaimanapun pulang hampa apabila MP Gua Musang itu didakwa memberi syarat dengan persetujuan Anwar Ibrahim dan DAP untuk menimbang jawatan PM.

Adakah kepimpinan seperti ini yang mahu dibawa oleh PAS dalam PRU akan datang. Pastilah tiada siapa percaya kepada PAS. Menentang Umno untuk menaikkan pemimpin Umno sebagai PM.

Di bawah kepimpinan Mustafa – Hadi PAS dilihat sebagai parti hanyut dan bergayut kepada retorik agama. PAS tidak mempunyai pemimpin sehebat Rafizi Ramli atau Tony Pua dalam membongkar penyelewengan BN.

Pemimpin ‘bapa demonstrasi’ Muhammad Sabu yang suatu ketika aset PAS kini disejuk bekukan oleh golongan ulama.

Apa ada pada PAS?

Akhirnya rakyat akan bertanya, ke manakah PAS akan membawa rakyat jika diberi kuasa? Pemimpin sehebat Fadzil Noor yang mampu menyatukan pembangkang telah tiada. Pemimpin seperti Nik Aziz yang tegas tetapi berhikmah dalam mentadbir telah uzur.

Pelapis adalah ustaz muda yang rapat dengan rakyat tetapi tidak mempunyai strategi politik. Nik Abduh dan Tantawi tidak berkaliber. Strategi poilitik mereka hanya sesuai ditempatkan sebagai ahli majlis atau paling tinggi Adun sahaja.

PAS memerlukan golongan profesional seperti Dr Dzulkifly, Dr Hatta, Mazlan Aliman, Khalid Samad, Dr Mujahid Yusof tetapi orang-orang inilah yang dianggap liberal dan sebaris dengan tiga pengarang Harakah yang dipecat itu.

Mereka juga berkemungkinan besar akan dipecat dalam muktamar Jun nanti melalui undian puak  ulama yang mendominasi parti. Habis apa lagi yang tinggal pada PAS?