"Harakah dalam bahaya", Mustafa Ali harus berundur segera

 Oleh: Jebon

Wacana 'Harakah dalam bahaya, mendesak Mustafa Ali berundur' yang dianjur oleh NGO Seniman Paksi Rakyat dan PAS Kawasan Batu di Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam , Gombak, 28 Januari lalu agak  menarik dan mengupas secara lebih mendalam perancangan kumpulan Unity Government (UG) menjelang Muktamar pemilihan PAS, Jun depan.

Forum tersebut dihadiri oleh beberapa panel yang mengetahui selok-belok Harakah dan perancangan puak UG untuk menguasai lidah rasmi PAS itu bagi melancarklan agenda mereka menguasai pimpinan bawahan.

Kehadiran bekas Editor Berita Harakah, Datuk Tarmizi Mohd Jam menguatkan hujah tentang wujudnya perancangan puak UG menguasai akhbar parti. Puak UG sebelum ini didakwa menamatkan kontrak Tarmizi, Editor Rencana Roslan Hamid dan sedang berusaha untuk menamatkan jawatan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Othman.

Forum itu diberitahu, perancangan puak UG untuk menguasai Harakah, sama ada dilakukan secara bersama Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali atau pun dengan pengetahuan beliau. Oleh itu, ahli panel menuntut agar Mustafa Ali agar berundur dari kerusi Lembaga Pengarah Harakah secepat mungkin.

Mustafa - Umno

Mustafa merupakan satu-satunya ahli politik yang mempunyai sejarah panjang bersama lidah rasmi PAS itu. Beliau didakwa memonopoli Harakah sebagai lembaga pengarah selama 27 tahun. Ketika ini, beliau didakwa pula menggunakan medium tersebut untuk untuk merealisasikan hasrat puak UG menguasai PAS secara keseluruhan.

Mustafa menekan Lufti agar bersara awal, konon kerana kemerosotan jualan. Namun jumlah sebenar jualan Harakah tidak pernah didedahkan. Harakah juga tidak pernah diaudit oleh audit bebas yang berautoriti agar perjalanan kewangannya tidak disalah gunakan.  Hari ini, perjalanan kewangan Harakah, dilaporkan, amat meragukan.

Forum juga diberitahu mengenai kecuriaan sebahagian pemimpin PAS akan agenda sebenar Mustafa bersama Umno. Hal ini kerana, hanya Mustafa pemimpin yang masih tinggal dalam ranking kepimpinan PAS yang pernah duduk dalam Kerajaan Perpaduan PAS-Umno pada tahun 1971-1978. Beliau pernah menjawat jawatan Setia Usaha Parlimen dan Timbalan Menteri ketika kerajaan perpaduan itu berlangsung. Tak hairanlah sekali lagi Mustafa akan memainkan peranan sebagai "broker" UG bersama Umno.

Menurut sumber PAS, sebelum ini, tumpuan terarah kepada Majlis Syura Ulama yang dilihat cuba menerapkan agenda Umno ke dalam PAS, tetapi maklumat terbaharu yang diterima mendakwa Setiausaha Agung PAS juga terlibat.

Mustafa didakwa melakukan serangan ke atas DAP untuk menghidupkan isu Islam – Melayu dalam kalangan ulama PAS. Sidang media Mustafa mendapat tempat dalam berita TV3 dan juga muka depan Sinar Harian - akhbar yang pemiliknya adalah totok Umno.

Pilih kasih

Polemik pilihan raya PBT yang ditimbulkan antaranya oleh Mustafa memburukkan lagi imej PAS apabila isu rusuhan kaum 13 Mei dimainkan tidak kena pada tempatnya. Hujah Mustafa juga menyebabkan Naib Presiden PAS yang selalunya menyokong Hadi, mengeluarkan kenyataan menjengkelkan. Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru agar Pakatan Rakyat bersatu membela rakyat yang semakin ditindas BN dan bukannya bersengketa sesama sendiri.

Selain itu, ahli panel juga menyelar sikap Mustafa sebagai setiausaha agung yang tidak mewakili semua ahli dan pemimpin PAS dalam membincangkan masalah peringkat bawahan. Hanya masalah-masalah yang difikirkan sesuai dengan agenda tertentu sahaja diperbincangkan manakala isu-isu lain diketepikan begitu sahaja.

Di akhir forum, pengerusi mengumumkan jumlah pendengar yang mengikuti sesi "Harakah dalam bahaya" yang disiarkan oleh Radioa PedasFM  adalah seramai 755,000 orang.