SUNGAI BESI 16 JULAI: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli
mempunyai bukti campurtangan Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek dalam pemberian pinjaman kepada
niagawan, Deepak Jaikishen.
Menurutnya, beliau mempunyai bukti lengkap menerusi 13 dokumen yang
diserahkan kepada National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW).
“Dokumen yang diserahkan kepada NOW adalah melibatkan surat-menyurat
rasmi di antara Bank Rakyat dan Hasan, kertas-kertas Lembaga Pengarah,
memo dalaman dan lain-lain lagi.
“Ia bukan sahaja bukti campur tangan Hasan dalam pengurusan Bank
tetapi memberi gambaran betapa besarnya jumlah hutang Deepak dan
bagaimana dia mendapat layanan yang baik dari pihak bank tersebut,”
katanya pada sidang media di pejabat NOW dekat sini hari ini.
Sebelum ini, bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik
mendedahkan campurtangan Hasan meluluskan pinjaman RM32 juta kepada
Deepak tanpa faedah. Keenganannya bersetuju dengan pinjaman itu
mengakibatkan kontraknya tidak disambung.
Bagaimanapun, semalam Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa
hutang Deepak kepada bank itu berjumlah RM215 Juta melalui dua lagi
pinjaman dan bukan RM32 juta.
Dalam pada itu, Rafizi mendedahkan beliau memiliki surat daripada
Hasan kepada Pengarah Urusan Bank itu, yang mengarahkan Bank Rakyat
memberi layanan istimewa kepada Deepak. Ia katanya bertentangan dengan
amalam biasa bank.
“Pertemuan diadakan di antara Menteri, wakil Bank Rakyat dan Deepak
pada 30 Januari lepas, ini menunjukkan ada salah guna kuasa dan rasuah,”
ujarnya.
Tambah Rafizi lagi, sebelum ini Hasan Malek menafikan
sekeras-kerasnya terlibat dengan pengurusan bank tersebut dan meluluskan
pinjaman yang dibuatnya.
“Sebelum ini nafikan hal ini, tapi saya ada bukti yang mengatakan dia
(Hasan) terlibat dalam urusan bank tersebut. Hal ini telah menyebabkan
Bank Rakyat terpaksa tunduk kepada Deepak,” jelasnya.
Katanya, NOW akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri tersebut pada 18 Julai ini, jam
11 pagi, dan satu laporan terahadap Pengarah Urusan itu di Jabatan
Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID) di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman pada
jam 3 petang pada hari yang sama.
“NOW akan mendedahkan secara bersiri dokumen-dokumen ini sepanjang
bulan ini dan selepas raya supaya tindakan segera diambil terhadap
mereka,” tegasnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=62152