PKR nafi tuduhan blackout di Ibu Pejabat untuk sabotaj Khalid Ibrahim
Pengerusi JPP PKR Datuk Johari Abdul menegaskan insiden yang berlaku kira-kira jam 12 malam itu turut mempunyai laporan aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bukan hanya berlaku di pejabat PKR, tetapi di seluruh bangunan Merchant Square.
Beliau berkata sebaik sahaja mengetahui insiden blackout tersebut, JPP mengarahkan proses pengiraan dihentikan serta-merta.
"Tidak mungkin sabotaj kerana pengiraan adalah untuk cabang, bukannya pusat tambahan Khalid dilihat mendahului undi jawatan timbalan presiden jadi tidak timbul tuduhan begitu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini. Beliau berkata proses pengiraan semula bagi cabang Kuala Selangor itu diteruskan sebaik sahaja bekalan elektrik pulih pada jam 2 pagi.
Semalam, lapor The Star, Khalid dikalahkan oleh pencabarnya S Manikavasagam bagi jawatan ketua cabang PKR Kuala Selangor.
Namun bagi undian timbalan presiden, Khalid dikatakan mendahului penyandang Mohamed Azmin Ali.
Susulan daripada kekalahan itu, portal Perak News memetik daripada sumber pejabat menteri besar Selangor mempersoalkan insiden blackout tersebut.
Kata sumber itu, dipercayai Khalid akan mengadakan bantahan terhadap keputusan itu.
Sementara itu, kata Johari pengundian cabang Kuala Selangor hanya keputusan awal di mana ianya masih belum disokong pada peringkat tertinggi.
Manakala Johari berkata pemilihan PKR yang sepatutnya selesai sebelum Ramadan terpaksa dipanjangkan.
Katanya terdapat lima pemilihan semua PKR dimana tiga akan diadakan pada 28 ini dan dua pada Ogos ini.
"Dengan permintaan, maka kita setuju adakan pemilihan semula tiga cabang, Sungai Besar, Subang dan Sepang pada 28 dan 10 Ogos pula di Puchong dan Kelana Jaya," katanya.
JPP juga memaklumkan terdapat tiga calon di kawasan cabang PKR Sepang yang dibatalkan kelayakan kerana melanggar peraturan pemilihan.
"Ketiga ini didapati melakukan tindakan yang melanggar pemilihan seperti mengoyak kertas undi," katanya. – 27 jun, 2014.