Tak lari keluar negara, tauladan kepada anak muda

Tak lari keluar negara, tauladan kepada anak muda

Maran: Himpunan Rakyat Hakim Negara yang diadakan di peringkat negeri Pahang dihadiri lebih 2000 orang malam tadi menjelaskan tindakan Ketua Umum PKR Anwar  Ibrahim tidak keluar negara walaupun ditawarkan suaka politik..

Anwar memulakan ucapan dengan menceritakan hikmah berhijrah sebagaimana dilakukan Nabi saw dari Mekah ke Madinah.  Katanya, Nabi membawa mesej menanam  semangat perjuangan   dan tidak mengalah apabila ditekan atau ditawarkan harta benda .

Beliau juga menceritakan perihal bekas Presiden PAS  Allahyarham Fadzil Noor  yang selalu menjelaskan kepadanya bahawa ‘jangan kita selalu tidor , jangan alpa dan cuai tetapi hendaklah  bangun , bahawa yang besar itu bukan kuasa, yang besar itu bukannya maharaja , yang besar bukan orang, tetapi hendaklah sedar kelemahan dan ingat kebesaran Tuhan dan bersihkan badan dan jiwa’.

“Hari ini ramai yang bercakap negara madani,wasatiah, hadhari, apa saja istilah tapi  yang penting amalannya. Apa guna wasatiyyah kalau menghina agama lain?

“Ini tidak, ada anak beranak menteri  dapat kontrak syarikat arak , mana ulamak Umno, ini kes orang pegang anjing jadi heboh, pegang arak, diam, syarikat judi kasino sana sini, mana tok guru Umno”

“Saya bukan galakkan orang pegang anjing, namun cara nak tegur itu haruslah berhemah, namun yang di atas yang besar besar , anak orang kaya kaya, kamu buat apa?” soal Anwar.

Beliau juga menjelaskan bahawa kalau anak muda dan orang susah, selalu kena, tetapi kalau orang kaya kaya selalunya lepas bebas.

Anwar turut menjelaskan  mengapa beliau mengambil keputusan tidak keluar negara memohon suaka politik. Katanya, penjara tidak akan mengubah perjuangannya dan lebih rela terus berjuang di dalam negara berbanding melakukannya dari luar.

“Ramai yang bertanya kepada saya adakah saya akan ke penjara lagi pada kali ini. Saya mula ke penjara ketika berusia 20an, kemudian 40an dan kini 60an , namun saya dilatih oleh ibu-bapa dan kawan kawan menyatakan benda yang benar

“Ketika di London baru-baru ini , dalam sebuah forum yang dihadiri berbagai ilmuan Islam ,   prof Ahmad As Saad Afendi  , salah seorang sarjana Islam mencadangkan  satu agenda khas,  menasihati saya agar saya tidak pulang  ke Malaysia, mereka menasihat saya agar berada di luar dan jangan kembali

“Kemudian Prof  Wahab menjelaskan kepada saya, bahawa mereka boleh membantu saya jika saya mahu tinggal di London , mereka juga  mengatakan saya degil. ‘Kamu ingat nak jadi hero ,  sedangkan Mandela ditahan 27 tahun ditangkap ketika hendak lari , Lenin pun lari kemudian  ditangkap dan dipenjara, kamu tak lari kenapa? Kamu hendak menyerah diri kenapa?”

“Saya jawab dan ingin menjelaskan bahawa saya tidak bersalah. Mahkamah mempercepatkan perbicaraan saya. Jadi di mana keadilan untuk saya? Malah saya menjelaskan mahkamah harus  ikut undang undang dan fakta.

“Malah Yusoff al Qardawi melalui anaknya bertanya kepada saya kenapa saya harus balik. Saya kata nak balik kerana tidak untuk menangkis fitnah ke atas  saya. Saya kena terima jika saya masuk ke penjara.

“Sedangkan anak anak muda berjuang tapi saya berada di luar. Untuk memberi mesej kepada anak muda bahawa jika saya yang masuk ke penjara berulang kali, anak anak muda di seluruh negara mesti bangkit dan lawan. Inilah mesej yang harus saya tegaskan,” katanya.