Lebih 300 naskah Suara Keadilan dirampas di Kedah
KEDAH 15 SEPT: Lebih 300 naskah akhbar Suara Keadilan Bil 189 dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kedah petang 10 September baru-baru ini.
Antara lokasi rampasan KDN adalah sekitar Alor Setar, Kuala Kedah, Jitra, Pendang dan Kepala Batas. Malah rampasan turut dilakukan terhadap naskah Suara Keadilan Bil 188 di sekitar Kepala Batas dan Jitra.
Menurut Setiausaha Pengelola KEADILAN Cabang Alor Setar, Peter Jeyabalan yang turut membantu mengedarkan akhbar tersebut, serbuan dilakukan secara berkumpulan.
“Tindakan mereka ini membuktikan kerajaan takut dengan perkembangan semasa yang berlaku sehingga cuba untuk menyekat maklumat sampai kepada rakyat.
“Usaha mereka ini adalah satu perbuatan sia-sia kerana maklumat akan tetap sampai kepada rakyat, walaupun rampasan demi rampasan yang mereka lakukan, ” jelasnya lagi.
Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Syed Azman Ismail ketika mengulas kejadian rampasan ini berkata, tindakan KDN semakin terkebelakang dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
“Jelas terbukti BN semakin takut dengan situasi politik yang dilihat mencabar kedudukan mereka sebagai pemerintah yang penuh dengan korup dan penyelewengan kuasa dan kepimpinan.
“Tindakan mereka merampas akhbar ini membuktikan ketakutan yang ketara apabila rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenar pembohongan yang menjadi amalan kerajaan kini.
“Rampasan ini juga menyebabkan rakyat ingin mendapat maklumat sebenar dengan mengggunakan aplikasi lain sebagai akses kepada tindakan KDN, dan ia akan menguntungkan PR, ” katanya lagi.
Tambahnya lagi, kebebasan akhbar tidak boleh disekat oleh KDN kerana rakyat ingin tahu kedudukan sebenar situasi perkembangan politik dalam negara yang tidak mampu disalurkan oleh kerajaan pimpinan Umno-BN secara adil walaupun telah 57 tahun mencapai kemerdekaan.