MENGAPA KAK WAN ?
KRISIS MB Selangor semakin ke penghujung.
Meskipun PKR dan DAP sudah
sepakat untuk menghantar nama calon MB hanya seorang iaitu Kak Wan
kerana Kak Wan telah memperolehi sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30
orang, dan PAS masih bertindak sendirian untuk menghantar lebih dari
dua nama calon yang dikatakan dari Adun PKR juga, pada aku krisis ini
semakin sejuk berbanding sebelumnya.
Tidak sukar untuk difahami mengapa PAS bertindak berbeza dari
rakan-rakan di kalangan PR walaupun PAS paling galak bermesyuarat.
Masalah bagi PAS adalah mengapa mesti Kak Wan? Itu saja.
Sebab itu PAS
menambah satu lagi calon pilihan mereka iaitu Azmin Ali walaupun Azmin
sendiri tetap menyokong Kak Wan sebagai MB Selangor.
Prinsipnya PAS setuju Kerusi MB Selangor adalah milik PKR. Tetapi PAS
mahu suara mereka didengari juga iaitu mereka seolah-olah keberatan
menerima Kak Wan, Presiden PKR sebagai satu-satunya calon tungal yang
ingin dipersembahkan ke Istana.
Jangan salahkan PAS di dalam soal ini,
cuma salahkan mereka yang masih enggan terima hakikat bahawa PKR juga
ada sebab untuk meletakkan Kak Wan sebagai MB Selangor yang baru.
Hanya
DAP saja yang mungkin memahami mengapa PKR begitu komited inginkan Kak
Wan berada di situ.
Bagi aku, sokongan aku pada Kak Wan sebagai MB Selangor bukan disebabkan
Kak Wan itu isteri Anwar.
Aku tahu Kak Wan lahir sebagai orang politik
bukan kerana ditunjuk oleh Anwar. Beliau muncul di kancah politik
kerana menyedari tentang kezaliman dan menegakkan keadilan di negara
ini.
Awalnya tentulah beliau bangkit berjuang untuk membela nasib
suaminya yang difitnah dan dizalimi. Namun, setelah suaminya dibebaskan
wajarkah Kak Wan berhenti berjuang sedangkan beliau sedar ramai lagi
yang telah dizalimi. Begitu juga dengan anak sulungnya Nurul Izzah.
Beliau terpaksa bangkit bersama ibunya untuk meneruskan perjuangan
bapanya. Salahkah mereka berjuang?
Di era kesusahan melanda, tiada siapa hirau mengapa Kak Wan dan anaknya
diangkat rakyat sebagai pemimpin. Tidak berbunyi pun kalimah
'nepotisme' kerana masing-masing ingin menumpang tuah hasil dari
perjuangan keluarga Anwar ini.
Kak Wan juga pernah diangkat sebagai
Ketua Pembangkang bagi mengetuai PAS dan DAP di Parlimen. Waktu itu
tiada juga kalimah Kak Wan itu wanita atau nepotisme.
Selaku seorang pejuang sejati yang pernah diuji dengan kesukaran dan
kepayahan yang bukan kepalang, salahkah rakyat dan parti mengangkatnya
tanpa perlu diarahkan atau ditunjuk oleh Anwar? Siapa boleh buktikan
Kak Wan naik kerana Anwar mahu dia dipilih?
Dia menang sebagai MP
Parlimen Permatang Pauh adalah kerana sokongan rakyat. Dia jadi
Presiden PKR pun atas sokongan sebulat suara tanpa ada pertandingan.
Kak Wan dikatakan menang di Permatang Pauh dulu kononnya itu memang kubu
kuat Anwar. Kak Wan membuktikan sebaliknya, beliau tampil di Dun
Kajang dan beliau tetap diangkat oleh rakyat, bukan oleh Anwar. Itu
juga berlaku pada Nurul Izzah.
Apa pun jawatan Nurul Izzah di dalam
parti mahu pun sebagai Wakil Rakyat di Lembah Pantai, tiada langsung
boleh dikaitkan dengan pertunjuk dari Anwar.
Ertikata lain, memang tepat PKR dan DAP mencalonkan Kak Wan di Kerusi MB
Selangor. Bukan soal Kak Wan itu isteri Anwar. Sebelum ini TSKI jadi
MB, tiada kaitan pun dengan keluarga Anwar.
Andainya diletakkan Azmin
sekalipun pastinya akan ada suara-suara sumbang yang mendakwa Azmin
adalah "anak emas" Anwar.
Begitulah politik yang tidak matang. Politik
sakit hati atau busuk hati.
Jika kita gagal lahirkan keluarga yang berjuang untuk rakyat, mengapa
harus dengki dan sakit hati dengan keluarga Anwar?
Perlukah kita dengki
juga dengan keluarga Tok Guru Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS yang
Majlis Syura adalah penentu semua calon Pilihanraya dari PAS?
Adakah
Majlis Syura yang diPengerusikan oleh Tok Guru Nik Aziz telah setuju Nik
Abduh bertanding di Pasir Mas dan kini menjadi MP Pasir Mas boleh kita
anggap satu 'nepotisme' juga?
Apakah anak Presiden PAS, Tok Guru Hj
Hadi iaitu Ustaz Khalil yang kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pemuda
PAS dan satu hari nanti bakal menjadi Wakil Rakyat akan kita sebut
"nepotisme:" juga?
Adakah "nepotisme" juga bila menantu Presiden PAS
kini berada di dalam Syarikat Perangsang di bawah Kerajaan Negeri
Selangor? Aku samasekali tidak bersetuju dengan tafsiran "nepotisme:
sedemikian.
Aku bersetuju Kak Wan dicalonkan sebagai MB Selangor hanyalah kerana itu
keputusan parti, bukan kerana Kak Wan adalah isteri Anwar.
Andainya
selepas ini parti membuat keputusan baru meletakkan Azmin sebagai calon
MB Selangor, aku akan akur kerana Azmin juga layak untuk dicalonkan
kerana beliau orang lama di dalam parti dan menjawat jawatan Timbalan
Presiden PKR juga sebagai Pengerusi PKR Negeri Selangor.
Sokongan aku
pada Azmin bukan kerana Azmin itu dikatakan "anak emas" Anwar.
Kemelut MB Selangor pastinya menjadi lebih mudah jika PR boleh
bermuafakat dan saling menghormati. Pihak Istana juga diharapkan dapat
membuat keputusan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan.
MB Selangor
seharusnya dipilih dari suara Wakil2 Rakyat yang mempunyai majoriti
kerana itu adalah suara rakyat. Meskipun tidak dinafikan Sultan
mempunyai hak memilih mengikut budi bicaranya, namun aku yakin semangat
Raja Berperlembagaan itu tetap menjadi keutamaan.