Abdul Khalid kekal MB sehingga Oktober
Akhbar Cina
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka mengekalkan kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor selewat-lewatnya sehingga Oktober.
Sinchew Daily melaporkan, pengganti Abdul Khalid hanya akan
diumumkan selepas pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dimuktamadkan
pada 10 Ogos nanti.
Akhbar itu juga melaporkan kemungkinan wujud perebutan untuk
jawatan Menteri Besar Selangor kerana PKR dan DAP berniat mencalonkan
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sementara Pas mahu Exco Selangor,
Iskandar Abdul Samad memegang jawatan tersebut.
Sumber turut memberitahu, DAP yang pasa asalnya dilihat menyokong Abdul Khalid kini sudah berubah arah.
"Barisan pemimpin DAP tidak berpuas hati dengan cara Abdul Khalid
ketika mengendalikan beberapa isu berhubung bekalan air, catuan air dan
Bible bahasa Melayu.
"Mereka berpendapat prestasi Abdul Samad sebagai lemah dan sudah
sampai masa untuk beliau meninggalkan jawatan sedia ada," kata sumber
itu.
Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad
memberitahu Sinchew Daily bahawa partinya mungkin menyerahkan nama calon
Menteri Besar Selangor supaya keputusan boleh dibuat oleh Pakatan
Rakyat.
Namun beliau tidak mendedahkan nama yang akan diserahkan untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor.
"Walaupun Pas mempunyai calon tersendiri, namun ia mesti dipersetujui oleh ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.
Difahamkan, seawal 29 Januari lalu, Pas Selangor telah mencapai
kata sepakat untuk meminta Abdul Khalid digantikan sementara mahu
jawatan itu diisi Iskandar.