Kita perlukan pimpinan berakal, bukannya yang berotot besar


Rencana

Kita perlukan pimpinan berakal, bukannya yang berotot besar – Aspan Alias

April 11, 2014
Saya hendak bercakap tentang masa depan politik dan lanskapnya mengikut pandangan saya yang cetek bagi setengah pengkritik saya, walaupun saya bukan seorang yang berjaya dalam politik seperti setengah pengkritik saya tuduh.
Mereka yang sudah beranggapan negatif terhadap orang seperti saya yang lantang bercakap dan berkata dengan komitmen yang tinggi tentang ketulusan dalam apa yang saya hendak perkatakan ini.
Bagi saya kejayaan seorang ahli politik itu ialah kejayaan mereka untuk tidak terlibat dengan kerja mungkar terhadap negara, tetapi ramai yang lain beranggapan kepada siapa yang tidak berjaya mendapat kerja dengan kerajaan melalui politik itu adalah seorang politikus yang gagal.
Bagaimanapun bagi saya seorang yang berjaya dalam politik ialah mereka yang bijak memimpin dan tidak terlibat dengan kerja-kerja rasuah dan salah guna kuasa seperti yang kita lazim lihat pada masa kini.
Dalam konteks politik negara kita ini, mendapat kerja sebagai menteri dan sebagainya itu adalah kerja yang boleh memuaskan kehendak hati untuk menjadi kaya-raya dan memperkuatkan ego yang digunakan untuk menunjukkannya sebagai satu kejayaan dalam hidup.
Memegang kuasa itu merupakan muktamad bagi mereka dan apabila mendapat kuasa idaman itu mereka tidak akan mampu menggunakan kuasa untuk kepentingan ummah, sebaliknya kuasa itu dipergunakan untuk kepentingan peribadi mereka yang lebih menjurus untuk kepentingan harta benda dan kekayaan diri dan keluarga mereka.
Itulah sebabnya belum tentu seseorang itu menjadi menteri misalnya, dia telah mendapat kejayaan, kerana ramai di antara mereka terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa itu sendiri adalah mereka yang secara otomatiknya seorang pemimpin yang gagal.
Selalunya mereka yang tidak mempunyai kepimpinan akan melakukan kerja hina itu semata-mata untuk menutup kelemahan pimpinan mereka, maka itu jugalah penyebabnya kenapa politik wang itu sudah menjadi kelaziman bagi mereka yang sedang memegang kuasa dalam kerajaan.
Mereka yang seperti ini adalah pemimpin yang gagal kerana tidak berjaya memunafaatkan kepimpinan mereka untuk kebaikan ummah dan rakyat yang mereka tadbir.
Bagi mereka ini, mereka hanya berjaya menjadi ketua tetapi ketua-ketua yang tidak berkepimpinan dan itulah yang sedang berlaku di negara ini.
Ketua-ketua yang tidak berkepimpinan ini yang menjadi penyebab kepada salah laku pimpinan yang membawa kepada rasuah tidak terhalang, penyalahgunaan kuasa yang tidak terbatas, retorik yang besar-besar dan lebih-lebih lagi mereka tidak akan membuat keputusan yang betul dalam semua keputusan yang dibuat mereka.
Apabila negara dan kerajaan ditadbir oleh mereka yang seperti ini maka politik negara akan menjadi kucar-kacir kerana kebanyakan keputusan yang dibuat mereka mempunyai kecenderungan untuk keputusan yang tidak betul dan tepat.
Mereka yang seperti ini jika kekal lama ia akan membina budaya pentadbiran yang tidak sihat dan politik yang kotor kerana mereka tidak mampu untuk mengekalkan sokongan yang didasarkan kepada perolehan yang baik dari kepimpinan yang baik dan jujur.
Mereka tidak akan mampu untuk mempamirkan kemahiran dalam mentadbir negara sebagai “testimonial” yang baik untuk memimpin, sebaliknya pengekalan kuasa semata-mata berdasarkan kepada “otot” yang kuat sebagai pihak yang mempunyai kuasa semata-mata.
Otot-otot yang kuat ini akan mempengaruhi dan memaksa semua institusi kerajaan dan demokrasi telah dijahanamkan kerana institusi-institusi ini tidak lagi bebas untuk bertindak mengikut kaedah yang betul.
Otot-otot ini akan menggunakan tekanan dan paksaan kepada semua institusi demokrasi yang sepatutnya berfungsi dengan bebas tanpa pengaruh mana-mana pihak.
Pemimpin yang lemah akan memusatkan kuasa kepada mereka dan institusi-institusi demokrasi ini hanya digunakan sebagai alat untuk kepentingan pemimpin-pemimpin yang lemah tadi.
Inilah yang dialami oleh negara ini dan ia akan tetap dalam keadaan ini selagi tidak ada perubahan yang drastik dengan menggunakan kaedah yang agak “unorthodox” yang belum pernah dilakukan semata-mata untuk merubah acuan buruk yang terpakai sekian lama oleh pimpinan kita.
Kita memerlukan pimpinan yang mempunyai akal fikiran yang baik dan betul, bukan pemimpin yang hanya membina otot yang pejal untuk menyalahgunakan kuasa.
Kenapa saya mencadangkan agar peralihan dan perubahan itu mesti dilakukan secara “unorthodox”?
Saya hendak sebut semuanya itu dalam posting yang akan datang, mungkin besok atau lusa. – aspanaliasnet.blogspot.com, 11 April, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.