Mana cukup gaji RM1,000?
Zamari foto artikel Sinar
“DENGAN gaji bersih RM1,000 sebulan mana cukup nak tampung perbelanjaan seharian dan belanja anak-anak sekolah,” luah seorang pekerja kilang, Zamari Adam, 45.
Musim pembukaan sesi persekolahan baru-baru ini sahaja dia memperuntukkan RM1,500 untuk tiga anaknya, iaitu dua belajar di sekolah menengah dan seorang lagi di sekolah rendah.
Sebagai menjimatkan kos, dia berulang-alik ke tempat kerja dari rumahnya di Selayang ke Rawang menaiki motosikal tidak kira waktu walaupun hujan.
Dia juga perlu menyediakan kos tambang buat isteri dan anak bongsunya ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan susulan penyakit kanser tulang yang dihadapi puterinya itu.
Katanya, beberapa kali juga dia terpaksa membuat pinjaman dengan majikannya atau pendahuluan gaji sekiranya perbelanjaan pada bulan tertentu meningkat.
Zamari berkata, keadaan ekonomi yang semakin teruk bukan hanya mengakibatkan harga barang naik tetapi bisnes di kilang tempatnya bekerja juga agak perlahan.
“Pekerja seperti saya yang tersepit sebab gaji makin sikit dan ada pula ura-ura elaun pengangkutan mahu dimansuhkan, jadi makin kuranglah gaji bulanan saya serta perlu bersedia bermula sekarang.
“Kalau nak ikut gaji RM1,000 itu memang tak cukup dan selalu saya ingatkan isteri supaya tidak bermewah-mewah,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, untuk menampung pendapatan, dia dan isteri membuat sewaan tapak di Pasar Pagi Selayang setiap Sabtu dan Ahad untuk meniaga aksesori tudung (kerongsang).
“Pendapatan tambahan tidak menentu dapat dalam anggaran RM80 hingga RM100 sehari dan duit itulah digunakan untuk membantu perbelanjaan harian.
“Jika nak diikutkan kami sekeluarga dah berjimat sehabis mungkin dan tak tahu nak potong bajet apa lagi untuk pastikan pendapatan yang diperoleh mencukupi,” katanya.
Zamari berkata, tekanan tetap ada, namun tetap perlu meneruskan hidup dan dia bersyukur kerana isteri serta anak-anak faham dengan situasi mereka sekeluarga.
Malahan katanya, dia tidak pernah mengabaikan permintaan anak-anak jika ada ketikanya mahu bersiar-siar atau makan di luar.
“Saya tidak sampai hati jika anak mahu makan itu dan ini, kalau sekali dia menyebut boleh dipejamkan mata tapi kalau hari-hari disebut kita akan jadi kesian.
“Kalau pakaian pun begitu, anak-anak didahulukan. Kalau nak beli baju sendiri kena fikir banyak kali kerana bimbang bajet lari,” katanya.